HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Oktober 2019

Cadangan Kuan Yau “awamkan” TAR UC dibidas

MalaysiaGazette
MGF13042019_PENJUMLAHAN-UNDI_24
Wee Ka Siong


KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China, Hew Kuan Yau berhubung cadangannya untuk “mengawamkan” Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Ka Siong berkata, walaupun bekas pemimpin DAP itu yang menerima gelaran “Superman” mempunyai kelayakan kedoktoran dalam sejarah, tetapi mempunyai “otak yang terlalu mudah” apabila mencadangkan transformasi TAR UC kepada sebuah universiti awam.

Katanya, tindakan Kuan Yau yang mengaitkan TAR UC sebagai “sekolah parti MCA” juga mengarut kerana universiti itu telah melahirkan sejumlah menteri dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Teresa Kok, selain Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Pada masa itu, kerajaan bersetuju memperuntukkan dana padanan 1:1 atas setiap ringgit yang berjaya dikumpulkan untuk Kolej Tunku Abdul Rahman, tetapi pengambilan pelajarnya tidak terikat dengan sistem kuota.

“Disebabkan tiada kuota, ramai pelajar keturunan Cina yang tidak dapat memasuki universiti awam atau tidak mampu belajar di luar negara telah mendapat peluang pendidikan melalui kolej ini yang kemudian dinaik taraf sebagai TAR UC,” katanya dipetik China Press.

Jelasnya, TAR UC mencapai persetujuan dengan kerajaan pada 2012 untuk menukar status kolej tersebut sebagai institusi pengajian tinggi swasta

bagi memastikan sistem pengambilan pelajar sedia ada diteruskan, apabila ia dinaik taraf daripada kolej kepada kolej universiti.
 
“Kabinet juga bersetuju supaya peruntukan maksimum sebanyak RM60 juta diberikan,” katanya.
 Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kuan Yaw supaya MCA melepaskan TAR UC agar ia menerima transformasi menjadi sebuah universiti awam.

Ka Siong sebelum ini berasa kecewa dengan penurunan peruntukan kepada TAR UC daripada RM5.5 juta pada tahun ini kepada RM1 juta untuk 2020. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: