HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Oktober 2019

MAHATHIR PENYUMBANG TERBESAR PERPECAHAN MELAYU



Hasil carian imej untuk FOTO MAHATHIR

Antara perkara yang disentuh Tun Mahathir Mohamad dalam amanatnya di Kongres Maruah Melayu semalam adalah tentang perpecahan orang Melayu dalam politik.
Katanya, oleh sebab politik Melayu sekarang ini berpecah kepada enam kumpulan, tiada mana-mana parti mampu mendapat sokongan melebihi 50 peratus.

Akibatnya, tambah beliau, mereka terpaksa bergantung kepada kaum lain untuk mendapatkan kemenangan.

“Kita sendiri lakukan perpecahan. Apabila ini berlaku kita menjadi kumpulan kecil dan berlawan sesama sendiri, maka kita terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan kemenangan.

“Kalau bergantung kepada orang lain, sedikit sebanyak kita terhutang budi kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu jugalah Tun Mahathir mengakui kerajaan sekarang tidak lagi kuat kemelayuannya berbanding BN sebelum ini.

“Kalau dahulu kita boleh harap kerana kerajaan dipimpin oleh orang Melayu, memang kuat.

“Sekarang tidak kuat kerana mahu tidak mahu, kita kena ambil kira perasaan orang lain,” tambahnya lagi.

Siapakah yang bersalah dalam konteks perpecahan orang Melayu dalam politik ini?

Jika diimbas kembali, berbanding tangan mana-mana Perdana Menteri, di tangan Tun Mahathirlah sebenarnya orang Melayu paling banyak berpecah.

Perpecahan pertama ialah selepas pemilihan UMNO 1987 yang menyaksikan Tun Mahathir menang bagi jawatan Presiden UMNO dengan kelebihan hanya 43 undi berbanding pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Akibat pertikaian mengenai keputusan itu kemudiannya di bawa ke mahkamah dan UMNO seterusnya diisytiharkan haram pada 1988, Tun Mahathir lantas menubuhkan UMNO Baru dengan larangan kepada semua pengikut Tengku Razaleigh daripada menyertainya.

Disebabkan tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru, Tengku Razaleigh telah menubuhkan Semangat 46 bagi meneruskan perjuangan politiknya bersama penyokong-penyokongnya.

Lantaran tidak setuju dengan Tun Mahathir, dua bekas Presiden UMNO yang masih hidup ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn memilih untuk tidak menyertai UMNO Baru dan kedua-dua negarawan itu akhirnya meninggal dunia di luar UMNO.

Itulah perpecahan pertama orang Melayu yang dilakukan oleh Tun Mahathir kerana tidak membenarkan orang Melayu yang tidak menyokongnya daripada menjadi ahli UMNO Baru tajaannya.

Pada 1996, Tun Mahathir secara tiba-tiba berdamai dengan Tengku Razaleigh dengan mengajak beliau serta pengikutnyan secara beramai-ramai kembali menyertai UMNO.

Pada awalnya, langkah itu dilihat sebagai keikhlasan Tun Mahathir untuk menyatukan orang-orang Melayu, tetapi ternyata kemudian ia adalah helahnya untuk memudahkan tindakan memecat Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Dalam perkiraan Tun Mahathir, jika beliau memecat Anwar dalam keadaan Semangat 46 masih wujud dan mungkin menyebabkan Anwar bergabung dengan Tengku Razaleigh menentangnya, ia mungkin mendatangkan masalah yang terkawal baginya.

Maka itulah sebelum memecat Anwar, Ku Li diajaknya menyertai UMNO dan Semangat 46 mesti dibubarkan terlebih dahulu.

Hasil daripada pemecatan Anwar itulah tertubuhnya PKR dan bangkitnya semangat reformasi dalam negara ini.

Selepas perpecahan pertama yang menyebabkan wujudnya Semangat 46 dan kemudian ditautkan kembali pada 1996, tetapi perpecahan kali kedua orang Melayu pada 1998 yang berpunca daripada tangan Tun Mahathir memecat Anwar demi mengekalkan kuasa, ternyata lebih besar dan berlarut-larutan lagi.

Walaupun dengan memecat Anwar itu, Tun Mahathir dapat mengekalkan kuasa Perdana Menterinya sehingga bersara pada 2003, perpecahan Melayu yang disertai dengan kegigihan Anwar bersama PKR dan Pakatan Rakyat telah berjaya menolak BN hingga ke dinding dengan kehilangan majoriti dua pertiga BN pada PRU 2008, hilang undi popular pada 2013 dan seterusnya tumbang kepada PH pada PRU 2018.

Jika tanpa perpecahan yang disebabkan oleh tangan Tun Mahathir, BN dengan kerajaan majoriti Melayu mungkin masih kekal sehingga ke hari ini.

Perpecahan ketiga yang dilakukan oleh Tun Mahathir ialah dengan menubuhkan Bersatu bagi menumbangkan UMNO dan BN pada 2016 lalu.

Meskipun tindakan beliau menubuhkan Bersatu dan bergabung dengan PH untuk menumbangkan BN disertai dengan alasan-alasan yang boleh diterima berdasarkan situasi ketika itu, realitinya menubuhkan satu lagi parti Melayu adalah suatu tindakan memecah-belahkan komuniti itu.

Sementara diakui ada perpecahan lain seperti Amanah yang lahir daripada Pas atau Pas yang lahir daripada UMNO sebelum itu misalnya, realiti berpecahnya orang Melayu di era Tun Mahathir dan oleh perbuatan tangannya sendiri adalah yang paling memberi kesan serta memudaratkan sekali.

Maka, jika hari ini Tun Mahathir berasa kesal dengan perpecahan orang Melayu sehingga terpaksa bergantung kepada kaum lain untuk menang pilihanraya, salahnya ialah beliau sendiri.

Pernahkah Tun Mahathir insaf dan kesal?

Kalau dalam masa-masa terdekat ini, beliau bercakap lagi tentang perpaduan Melayu, niat dan tujuannya belum tentu ikhlas dan benar-benar ke arah itu

Tidak mustahil, seperti mana tiga perpecahan Melayu yang dilakukannya sebelum ini, perpaduan Melayu kali ini juga adalah sandiwara yang bermotif politik untuk mengekalkan kuasa, menaikkan pemimpin pilihan dan memungkiri janji peralihan serta akhirnya menyebabkan orang Melayu bakal berpecah sekali lagi.

Setelah agenda yang diingininya ity tercapai nanti, Melayu tetap begitu juga.

Apakah kita mahu tertipu lagi?

Tiada ulasan: