HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Oktober 2019

Jangan spekulasi jawatan PM, perjanjian bertulis ada, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata mesej disampaikan adalah jelas kepada 
masyarakat sewaktu pilihan raya umum lalu iaitu untuk tempoh 
interim, Mahathir akan jadi perdana menteri.
 
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa ada perjanjian bertulis menyatakan beliau akan dilantik sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Anwar berkata, perjanjian bertulis membabitkan peralihan kuasa itu bukan lagi perkara rahsia, sebaliknya turut diketahui dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Mesej disampaikan adalah jelas kepada masyarakat sewaktu pilihan raya umum lalu. Untuk tempoh interim, Mahathir akan jadi perdana menteri dan Wan Azizah akan jadi timbalan perdana menteri.

“Apabila Anwar dibebaskan (dari penjara), beliau akan ambil alih,” kata beliau sewaktu berucap pada Persidangan Kepimpinan Apex, hari ini.

Mahathir dilihat berhadapan dengan tekanan pelbagai pihak yang menggesa beliau menetapkan tarikh khusus bagi Anwar menyerahkan kuasanya sepertimana dipersetujui PH.

Mahathir yang kembali menjawat tugas sebagai perdana menteri selepas PH menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu kerap kali menyatakan bahawa beliau akan memegang janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Terdahulu, Anwar berkata pimpinan PH bersetuju tarikh untuk Mahathir menyerahkan kepimpinan tidak akan dimaklumkan kepada umum memandangkan ia dilihat akan menganggu tugas Mahathir sebagai perdana menteri.

Anwar berkata, Mahathir sendiri sudah memaklumkan kepadanya bahawa perdana menteri itu tidak suka apabila sering diajukan soalan oleh media dan pihak-pihak lain bila beliau akan meletakkan jawatannya.

“Itu yang dikatakan kepada saya, dan saya hargai tindakannya. Dia beritahu saya bahawa beliau sudah membuat janji dan akan memegang janji berkenaan.

“Dia tidak suka orang memaksa. Bilakah tarikh sebenar beliau akan meletakkan jawatan, beliau tidak mahu jadi pemimpin tidak berfungsi. Beliau mahu berkhidmat,” katanya.

Menurut Anwar, dalam isu ini rakyat tidak harus melihat apa yang beliau mahukan, sebaliknya menegaskan rakyat dan negara memerlukan polisi baru bagi meningkatkan keyakinan ekonomi negara.

“Apa yang saya ingin katakan adalah, isu ini sudah selesai. Saya tidak rasa ia tindakan adil buat Mahathir, juga kepada saya serta negara sekiranya rakyat terus melakukan spekulasi,” katanya.

Tiada ulasan: