HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Oktober 2019

Penunggang boleh lapor Foodpanda ke Suruhanjaya Persaingan

 
   

Penghantar makanan Foodpanda yang tidak berpuas hati dengan syarikat itu boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya dengar akan ada laporan yang dibuat kepada MyCC, yang berkaitan dengan monopoli dan amalan anti-persaingan, oleh penunggang Foodpanda. Mereka sedang berhubung.

"Kita mesti mengikut proses yang sewajarnya, tetapi mereka yang mempunyai rungutan selain aduan ke pejabat buruh juga perlu membuat laporan ke MyCC," kata Syed Saddiq kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai penyelesaian jangka pendek terhadap mogok yang dilancarkan oleh penunggang syarikat penghantaran makanan itu.

Penunggang Foodapanda melancarkan mogok terhadap skim pembayaran baru yang berkuat kuasa bagi penghantaran di luar Lembah Klang sejak 30 September lalu.

Skim itu akan menggantikan kadar rata setiap jam bagi penunggang dengan pembayaran yang lebih tinggi bagi setiap penghantaran.
Penunggang berkata skim baru itu akan mengurangkan pendapatan mereka kerana kadar pesanan yang rendah.

Semalam, syarikat itu berkata ia akan tetap dengan pelan baru walaupun kabinet menasihati mereka untuk kembali kepada skim asal.

Pengarah Urusan syarikat itu, Sayantan Das juga berkata penghantar Foodpanda berhak melancarkan mogok, tetapi menasihatkan mereka agar bertukar syif dengan mereka yang masih mahu bekerja.
Syed Saddiq malam tadi mengingatkan syarikat itu agar tidak bersikap angkuh.

Bagaimanapun menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan itu merupakan pendapat peribadinya.

Perdana Menteri,  Dr Mahathir Mohamad berkata kepada pemberita di Parlimen hari ini bahawa kenyataan Syed Saddiq itu tidak mewakili pendirian kerajaan.

"Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam kabinet langsung.

"Itu bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Kabinet bermesyuarat Jumaat

Sementara itu, Syed Saddiq berkata kerajaan juga mempunyai rancangan jangka panjang untuk melindungi kepentingan pekerja gig ekonomi seperti penghantar  makanan.

"Kami menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji pindaan jangka panjang untuk memastikan penunggang dan pekerja dalam ekonomi gig akan dilindungi," katanya.

Jawatankuasa ini terdiri daripada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan.

Syed Saddiq berkata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran telah memberikan taklimat kepada jawatankuasa itu bahawa kertas kerja telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk diperbaiki.


Tiada ulasan: