HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Oktober 2019

Tun Mahathir mengaku kerajaan pimpinan Melayu sekarang tidak kuat

Manzaidi Mohd Amin
MGF06102019_Kongres-Maruah-Melayu_31
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menjulang tangan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kiri), Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kanan) pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku kerajaan pimpinan orang Melayu sekarang ini tidak sekuat kemelayuannya kerana perlu menjaga hati orang lain bagi mengelak kalah dalam pilihan raya.

Berucap di hadapan puluhan ribu peserta Kongres Maruah Melayu di sini, katanya, itu hakikat dan kebenaran yang terpaksa diakui lantaran orang Melayu membiarkan tugas-tugas tertentu dipikul oleh orang asing sehingga melemahkan bangsa Melayu itu sendiri.

“Saya nak mengaku di sini, kerajaan dipimpin orang Melayu sekarang ini tetapi tidak sekuat kemelayuannya kerana kita kena ambil kira perasaan orang lain. Kalau kita tidak tidak ambil kira datang pilihan raya kita akan kalah.

“Inilah hakikat, inilah kebenaran yang kita dapat di negara kita, oleh itu saya menyeru jangan kita biarkan tugas-tugas tertentu ini dipikul oleh orang asing,” katanya.

Percaya kongres setengah hari itu bertujuan mengambil tindakan memperbaiki nasib bangsa Melayu, Dr Mahathir berulang kali mengingatkan kaum itu baik yang hadir di Stadim Tertutup Malawati mahupun menonton di kaca televisyen berkata, maruah bangsa Melayu dihina dan dipandang rendah disebabkan kesalahan orang Melayu itu sendiri.

Beliau mengimbau sejarah sewaktu kemerdekaan tanah air di mana orang Melayu merupakan kaum terbesar dengan 60 peratus komposisi penduduk adalah berbangsa Melayu.

“Demokrasi memberi orang Melayu sebagai puak terbesar maka kita akan terus berkuasa. Ini adalah pemberian, tetapi kita tidak menghargai pemberian ini. Oleh kerana demokrasi juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja maka kita berpecah kepada kumpulan kecil-kecil.

“Sehingga menjadi enam badan kecil dan tidak mampu menguasai 50 peratus sokongan rakyat,” katanya.

Menurut pemimpin yang menjangkau usia 94 tahun dan terlalu banyak pengalaman mentadbir Malaysia, perpecahan dalam kalangan orang Melayu juga berpunca dari orang Melayu sendiri sehingga wujud kumpulan-kumpulan kecil yang berlawan sesama sendiri.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan orang Melayu terpaksa bergantung kepada orang lain kerana terhutang budi dan takut tanpa sokongan mereka maka orang Melayu tidak akan mendapat tempat untuk diri sendiri.

Dengan nada kesal dan sedih, Dr Mahathir berkata, perubatan seumpama itu sama seperti menggadakan kuasa yang diberi kepada orang Melayu hanya kerana mereka berpecah-belah sehingga bangsa terpaksa digadaikan.

Turut hadir dalam Kongres Maruah Melayu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: