HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Mac 2015

Kenyataan Abduh tidak bantu penyatuan Pas


Suhaizan Suhaizan
 
 
SHAH ALAM –  Dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz mengenai kewujudan kelompok ‘barua’ dalam Pas tidak membantu dalam penyatuan ummah, sebaliknya ia dilihat membantutkan langkah Pas dalam arena politik tanah air.

Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan tersebut seperti yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dilihat seolah-olah melebarkan lagi jurang antara ahli dalam parti tersebut.

“Adalah lebih baik untuk membawa Pas ini ke hadapan. Benda ini (isu yang dinyatakan) terlalu kecil untuk dibangkitkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Nik Abduh dalam kenyataannya mendakwa terdapat golongan yang dilabelkan sebagai ‘barua’ dalam Pas yang lebih wala’ (ketaatan kepada pimpinan) PR lebih tinggi daripada wala’ terhadap perjuangan sebenar Pas.

Beliau berkata, terdapat kelompok yang cuba dikesan cuba memisahkan pemikiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bapanya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nik Abduh: Telahan Nik Aziz jadi kenyataan]

Selain itu, Nik Abduh turut mendakwa berlaku juga usaha memecah-belahkan parti agar menyimpang daripada perjuangan sebenar.

Dalam pada itu, Suhaizan turut menyifatkan tindakan melabel yang dilakukan Nik Abduh sesuatu yang tidak patut dilakukan oleh seorang yang berjawatan dalam parti tersebut.

“Tidak ada konsep melabel (memberi gelaran) terhadap mana-mana golongan atau ahli dalam Pas. Kita mahu satukan semua orang dibawah parti ini.

'Pandangan Zuhdi mungkin ada benarnya'


Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian
 
 
SHAH ALAM – Pandangan dan dakwaan yang dikemukakan oleh Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marsuki mungkin dibuat berdasarkan beberapa krisis Pas yang berlangsung sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugam Pandian berkata, kewujudan perpuakan dalam parti tersebut dikatakan semakin jelas dilihat, sekaligus membuktikan andaian yang dinyatakan oleh Mohd Zuhdi.

“Pandangan dilontar oleh Dr Zuhdi yang juga merupakan salah seorang strategis Pas. Sudah pasti ada kebenaran dan dilihat kepada beberapa isu kebelakangan ini. Kewujudan kelompok yang bersifat politik dalam parti seolah-olah tidak dapat dielakkan lagi dan terlalu jelas diperlihatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Mohd Zuhdi seperti  meramalkan perpecahan dalam Pas selepas berakhirnya muktamar tahunan yang akan berlangsung pada Jun depan.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎ Pas berpecah kerana Pasma, bukan ulama-profesional]

Menurut Mohd Zuhdi, beliau yakin perkara tersebut akan berlaku selepas membuat penilaian dan kajian mendalam terhadap konflik dalaman yang tidak dapat diselesaikan dengan baik oleh pemimpin Pas.

“Pasti ada yang tidak bersetuju namun pandangan beliau (Mohd Zuhdi) perlu diambil serius oleh Pas kerana beliau merupakan salah seorang yang menyumbang kepada perkembangan strategi Pas,” katanya lagi.

Guling presiden: Mat Sabu, Hatta disiasat


Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
 
 

KOTA BHARU - [KEMASKINI] Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Bendahari Agung parti, Dr Hatta Ramli akan dipanggil Jawatankuasa Khas siasatan parti untuk disiasat berhubung dakwaan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kedua-dua pemimpin kanan parti itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Yang buat tuduhan, kita panggil. Yang kena tuduh, pun kita akan panggil," katanya.

Dalam satu himpunan di hadapan Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur awal bulan lalu, sekumpulan ahli parti itu yang diketuai Ketua Dewan Pemuda Pas Kuantan, Fadhli Ibrahim mendesak komplot yang didakwa diketuai Dr Hatta melepaskan semua jawatan dalam parti kerana dikatakan terlibat dengan gerakan mahu menjatuhkan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas.

Dalam pada itu, Mustafa yang ditemui selepas majlis agihan bantuan banjir di Dewan Jubli Perak, semalam yakin Abdul Hadi akan mengekalkan jawatan tanpa pertandingan pada pemilihan Jun ini.

Ini kerana pada pandangannya, tidak ada calon lain mampu mencabar Abdul Hadi.

“Desas-desus kononnya Datuk Seri Presiden akan digulingkan tidak mungkin terjadi, sebaliknya kita yakin Presiden akan terus mendapat sokongan penuh untuk mengekalkan jawatannya, malah selepas 2015 kita akan terus saksikan Abdul Hadi kekal menerajui Pas,” katanya.

Ditanya pula mengenai kemungkinan jawatan timbalan presiden yang disandang Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan parti itu nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal dipertandingkan.

“Saya yakin Abdul Hadi kekal sebagai presiden. Timbalan, saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka ada pertandingan seperti biasa,” katanya.

Kepimpinan Abdul Hadi kini didakwa goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan tertentu dalam parti itu yang ingin menjatuhkannya sehingga ada secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mat Sabu untuk bertanding merebut jawatan presiden.

Pulangkan royalti Kelantan jika hormat Tok Guru




Oleh Mohd Sany Hamzan


Laporan media minggu lalu melaporkan keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Chempaka pada 22 Mac ini perlu ditanggapi dengan penuh hati-hati oleh seluruh penyokong dan ahli PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan Umno dan BN mengiktiraf perjuangan PAS yang ditunjangi allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) yang pernah dipertanggungjawabkan sebagai menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS ketika hayat beliau, namun rakyat Malaysia umumnya dan Kelantan khususnya tidak akan pernah lupa tekanan dan sekatan sewaktu allahyarham memimpin Kelantan dulu.

Bagaimana status royalti Kelantan yang selama ini gigih diperjuangkan allahyarham? Rakyat Kelantan sehingga hari ini masih lagi menuntut kerajaan persekutuan memulangkan kembali tunggakan royalti minyak yang dinafikan selama ini.

Sehingga perkara tersebut menjadi realiti, ungkapan presiden Umno untuk tidak meletakkan calon dalam PRK yang kononnya demi menjaga perpaduan ummah atau menghormati pemergian allahyarham Nik Aziz tidak lebih dari sekadar sandiwara politik semata-mata.

Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia juga ingin terus mengulangi ingatan kepada jentera pilihan raya Pemuda seluruh negara agar membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi PRK ini tanpa ada beza sama ada Umno bertanding atau tidak. Lebih penting, jangan sekali-kali membiarkan polemik yang sedang melanda parti ketika ini menjejaskan tumpuan masing-masing.

Kemenangan dengan majoriti yang lebih besar bakal menjadi tanda aras rakyat Kelantan masih lagi mahu mengekalkan legasi Tok Guru. Tidak terhenti setakat itu, kemenangan dengan majoriti lebih besar ini juga akan menguatkan lagi tekad pimpinan PAS dan Kelantan untuk memastikan impian rakyat Kelantan yang selama ini dinafikan secara zalim menjadi realiti.

Selaku penggerak utama jentera pilihan raya Pemuda PAS Malaysia, saya ingin memberikan jaminan dan komitmen menyeluruh kita akan terus bekerja dari sekarang – tidak hanya sekadar menghadapi PRK ini, bahkan konsisten pada setiap saat dan ketika untuk membantu PAS dan PR menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU14. Kita mahu menjadi sebahagian daripada jentera yang akan menang pilihan raya, seterusnya menawan Putrajaya dengan reda Allah.

* Penulis ialah pengarah pilihan raya Pemuda PAS Malaysia.

Isnin, 2 Mac 2015

Motif Pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Siapa Arah UTK Sirul Azhar? Najib Razak Terlibat?




Najib Altantuya



Motif Pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Siapa Arah UTK Sirul Azhar? Najib Razak Terlibat? : Hantu Altantuya bangkit langi. Kali ini berkeliaran mencari “watak-watak penting” disebalik pembunuhan ke atas dirinya. Kali ini semakin meningkat apabila akhbar di seluruh dunia terutamanya di Australia sudah mula menunjukkan minat dan memerhatikan secara dekat bagaimana pengakhiran kes pembunuhan Altantuya yang cukup berprofil tinggi di Malaysia ini.

Ini kerana sehingga ke hari ini motif pembunuhan Altantuya masih lagi tersimpul rapi dan “masih kabur berjerebu”. Sehingga Berita Semasa terfikir sejenak, siapa sebenarnya yang paling mendapat manfaat disebalik kematian Altantuya ini?

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan jawapan yang agak kontroversi di mana kapasitinya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dilihat memperlekehkan tindakan figura yang bernama Sirul Azhar pada ketika ini di Australia yang bagi Berita Semasa sendiri, tindakan Datuk Seri Najib Razak akan terus memberikan persepsi buruk terhadap dirinya dalam memebrikan jawapan kepada media.

Walaubagaimanapun, bagi Berita Semasa sendiri, jujur untuk mengatakan di sini yang mana Berita Semasa merasakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu ini.
  • Datuk Seri Najib Razak bukan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu
  • Najib Razak hanya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan
Bagi Berita Semasa, jika ingin benar bermain dengan spekulasi, kita perlu kembali semula ke masa berlakunya pembunuhan Altantuya pada tahun 2006 :

 

Siapa Yang Beruntung Disebalik Pembunuhan Altantuya Shaariibuu?

  1. Apakah keadaan politik negara pada tahun 2006 ketika itu?
  2. Yang berkuasa?
  3. Yang tidak berkuasa?
  4. Yang hampir kehilangan kuasa?
  5. Yang hendak dinaikkan pangkat bagi mendapatkan kuasa?\Yang akan mendapat manfaat paling besar iklim politik pada ketika itu?
UTK adalah bertanggungjawab mengawal ketat keselamatan Perdana Menteri. Dikawal oleh siapa? Adakah sesiapa sahaja boleh mengangkat telefon dan memberikan arahan kepada pihak keselamatan UTK Perdana Menteri untuk pergi ke sana dan sini? 

Berita Semasa yakin dan percaya Perdana Menteri tidak mempunyai keberanian untuk terlibat dalam sesuatu yang rumit seperti ini. Apatah lagi beliau hanya selangkah sahaja lagi untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada ketika itu.

Dan kita semak semula iklim politik hari ini pada tahun 2015?
  1. Siapa yang sedang berkuasa?
  2. Yang tidak berkuasa?
  3. Siapakah yang akan kehilangan kuasa?
  4. Yang hampir dinaikkan untuk mendapatkan kuasa?
  5. Yang akan mendapat faedah besar pada iklim politik pada ketika ini? Siapa?
P/S : Dalam pada masa yang sama berikan peluang kepada Sirul Azhar kepada dunia apa sebenarnya yang berlaku walaupun agak terlibat. “Better late than never”

ABIM: Melaka perlu bincang dan selamatkan pekerja Islam daripada jual arak

 Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Selain menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman keras di Melaka, kerajaan negeri itu juga disarankan untuk mengadakan perbincangan dengan pengusaha premis agar tidak mengupah pekerja daripada kalangan mereka yang beragama Islam.
 
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata ini kerana adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menyelamatkan mereka ini daripada dosa menjual arak.
 
"Cadangan kerajaan negeri Melaka ini satu yang baik tapi perlu juga ada satu mekanisma untuk pastikan 7E yang menjual arak ini tidak dijaga oleh pekerja muslim bagi memastikan mereka ini dapat diselamatkan daripada dosa-dosa arak itu sendiri.
 
"Kerajaan negeri Melaka perlu berbincang dengan 7E yang menjual arak ini supaya pekerja yang menjual minuman keras itu bukan dari kalangan Islam.
 
"Jadi kita wajib selamatkan mereka ini daripada dosa menjual arak," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos baru-baru ini.
 
Katanya, sudah tertulis dalam hadis 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT kerana arak. 
 
"Sebab bila sebut tentang arak ini ada hadis yang mengatakan akan laknat Allah kepada 10 golongan yang berkaitan dengan arak ini. Bukan peminum saja...orang yang minum arak, menjual arak, menghidang arak, memerah buah itu sendiri dan banyak lagi, pendek kata dalam hadis Nabi tentang isu arak ini laknat Allah kepada 10 golongan yang konklusif kepada semua yang terlibat yang memberikan saham dalam aspek arak ini," jelasnya.
 
Sehubungan itu, beliau mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri berkenaan bekerjasama sepenuhnya dalam menjayakan pelaksanaan cadangan tersebut.
 
"Cuma dari aspek kerjasama di peringkat PBT harus beri kerjasama yang sepenuhnya kepada kerajaan negeri termasuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang majoroiti dan majoriti bukan muslim bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan," katanya.
 
Malah, langkah kerajaan negeri Melaka ini wajar dijadikan ikutan kepada negeri-negeri lain bagi memastikan apa yang disebut sebagai negara Islam dapat dijelmakan dalam aspek praktikal.
 
"(Cadangan Kerajaan negeri Melaka) seharusnya ianya dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk memastikan apa yang disebut tentang Islam sebagai agama rasmi negara dan agama persekutuan dapat dijelmakan dalam aspek praktikal," tambahnya.
 
Terdahulu, kerajaan Melaka menetapkan penjualan minuman keras di semua kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven di negeri ini akan dikaji mengikut komposisi kaum.
 
Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron memberitahu, bagi melaksanakan arahan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat kajian terperinci mengenai taburan penduduk mengikut kaum bagi mendapatkan kebenaran penjualan minuman keras di 76 kedai serbaneka 7-Eleven di negeri berkenaan.
 
Sekiranya 90 peratus daripada kawasan 7-Eleven itu didiami oleh penduduk Melayu atau Islam, maka kerajaan negeri melarang penjualan sebarang jenis minuman keras termasuk arak dan bir.
 
Langkah itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka selepas mengadakan pertemuan dengan wakil 7-Eleven di negeri tersebut.

'PAS Kelantan lambat serah draf sebab masalah cetak berikutan banjir....'

 Oleh Shawaliah Hadir

 
Post Pic

 
 
PETALING JAYA: "Mungkin PAS alami masalah cetak draf itu, sebab baru dilanda banjir," kata Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berseloroh kerana parti itu sehingga kini gagal membentangkan Draf Pindaan Enakmen Undang-Undang Syariah II kepada Pakatan Rakyat.
 
Beliau mendesak PAS membuat pembentangan itu segera agar tidak timbul salah faham serta pada masa sama membolehkan PKR  menyatakan pendirian secara rasmi.
 
"Kita minta supaya PAS jelaskan kepada pimpinan dan rakyat kerana akhirnya penjelasan itu tidak merebak ke bawah.
 
"Jadi kita merayu kepada pimpinan PAS untuk terangkan perkara ini sebab banyak orang keliru dan saya fikir ramai juga pimpinan yang keliru apa yang jadi.
 
"Enakmen-enakmen yang ingin diwujudkan di Kelantan harus diperjelaskan, terlalu banyak perkara yang mereka kena jelaskan.
 
"Mungkin mereka perlukan masa muktamar akan berlangsung, mungkin mereka sibuk dengan muktamar mungkin tidak siap cetak sebab banjir ke... Jadi kita tunggu je,"katanya di sidang media sebentar tadi.
 
Pada masa sama, beliau menafikan PKR kecewa dengan sikap PAS yang sehinga kini berdiam diri tentang penjelasan tersebut.
 
Beliau turut berharap PAS khususnya di kalangan pimpinannya bijak membuat keputusan dan tindakan agar bukan sahaja perkara ini dapat diterima oleh bukan muslim tetapi juga dapat memberi pemahaman jelas kepada PR.
 
"Sudah tentu apabila kita bercakap tentang hudud ia sangat luas dan saya yakin yang perlu ditekankan adalah dengan kebijaksanaan kepimpinan PAS, mereka boleh jelaskan dengan sangat jelas supaya bukan setakat muslim, bukan muslim juga nak tahu apa yang jadi sebenarnya," ujarnya.
 
Dijadualkan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat (MPPR) akan diadakan 8 Mac ini dan DAP dan PKR menunggu penjelasan terperinci daripada PAS tentang bagaimana pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) sebelum dibawa ke persidangan Parlimen 9 Mac ini. 
 
Untuk rekod, sekutunya sendiri iaitu DAP seringkali dengan lantang menolak perjuangan parti Islam itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan walaupun maklum bahawa parti itu sudah berniat melaksanakannya lebih 20 tahun sejak memerintah Kelantan. 
 
MPPR yang lalu sebelum Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dalam kes Liwat IInya gagal memuktamadkan isu ini. 

Pendedahan email ‘rompakan terbesar’ dana 1MDB, DAP gesa Najib jangan lepas tangan

tony pua

Roketkini.com


PETALING JAYA: DAP hari ini mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk bertanggungjawab atas kecuaian dan kegagalannya memantau 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ekoran pendedahan terbaru Sarawak Report berkaitan dana RM3.5 bilion kepada 1MDB Petrosaudi.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini menyatakan, pendedahan email komunikasi antara semua pihak yang terlibat dalam transaksi 1MDB Petrosaudi itu membuktikan bahawa wang 1MDB telah disalurkan secara haram ke akaun bank syarikat milik Jho Low, rakan baik keluarga Najib.

Menurut Tony, sekiranya dokumen-dokumen yang didedahkan itu tulen, kerajaan perlu menjelaskannya kerana 1MDB adalah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

“Dalam keadaan sedemikian, Dato’ Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB perlu dipertanggungjawabkan kerana 1MDB adalah projek beliau sendiri sejak awal.

“Perdana Menteri tidak boleh menghindari tanggungjawab dengan mendakwa bahawa beliau ‘tidak terlibat dalam perjalanan harian 1MDB,” tegas Tony dalam sidang akhbar hari ini yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Sejauh ini Najib dilihat cuba menjarakkkan diri daripada 1MDB yang beban hutangnya telah mencecah RM42 bilion.

Akhbar UK The Sunday Times yang turut melaporkan pendedahan bukti penyelewengan itu menerbitkan respons daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1 Mac yang menyebut “Kerajaan Malaysia berkata bahawa perdana menteri tidak terlibat dalam operasi harian 1MDB yang dikendalikan oleh sepasukan kakitangan profesional dan berpengalaman. Akaunnya diaudit oleh Deloitte.”

Respons JPM turut cuba mencemarkan citra pihak yang mendedahkan penyelewengan dengan menyebut bahawa ia bermotifkan politik.

Bagi Tony, soal motif politik tidak berbangkit dalam kes ini.

“Saya sendiri, contohnya, akan cuba mendedahkan semua kegiatan rasuah kerajaan yang sedang memerintah untuk menyingkirkan mereka dalam pilihanraya umum lalu.

“Namun, yang lebih penting untuk dijawab adalah sama ada semua dokumen dan email yang didedahkan itu adalah tulen,” ujar Tony.

Semalam, Sarawak Report menerbitkan laporan bertajuk “Heist Of The Century – How Jho Low Used PetroSaudi As A Front to Siphon Billions Out Of 1MDB!” (Rompakan Terbesar Abad Ini – Bagaimana Jho Low guna PetroSaudi sebagai muslihat untuk larikan berbilion ringgit daripada 1MDB!)

Laporan itu mendedahkan pelbagai dokumen, termasuk emel komunikasi antara semua yang terlibat dengan transaksi pelaburan 1 bilion dolar Amerika (RM 3.5 bilion) kepada 1MDB Petrosaudi.

“Apa yang mengejutkan dokumen-dokumen dan emel tersebut jelas menunjukkan adanya hubungan antara Petrosaudi dan Jho Low, menimbulkan tanda tanya terhadap wang 1 bilion dolar yang dilarikan dari 1MDB ke bank di Switzerland sebenarnya dimiliki oleh taikun Jho Low menerusi syarikat di bawah kawalannya Good Star Limited,” jelas Tony.

Dalam pada itu, Dr Ong menyatakan agak pelik apabila 1MDB tidak mempunyai wakil dari Kementerian Kewangan sebagai salah seorang lembaga pengarahnya.

“1MDB ini milik sepenuhnya kementerian itu, sudah jadi amalan biasa bagi kementerian melantik seorang wakil dari kementerian dalam majlis lembaga pengarah syarikat untuk menjaga kepentingan kementerian itu.

“Sebagai Menteri Kewangan, kenapa Najib tidak lantik wakil daripada kementeriannya duduk dalam majlis lembaga pengarah 1MDB?” soal Kian Ming.

Justeru itu, ketiga-tiga ahli parlimen berkenaan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap 1MDB yang merupakan “ibu segala ibu skandal” itu.

“Ini adalah supaya warga Malaysia tahu kebenaran bukan saja secara lengkap, bahkan semua penjahat yang bersubahat dengan penipuan dana rakyat ini, dapat dihukum dan dipenjarakan,” tegas Tony lagi. -Roketkini.com

Ibu tiba di Sydney, jumpa Sirul esok

MALAYSIAKINI


 


Bekas anggota polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu dijadual bertemu ibunya Piah Ahmad, 74, dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar esok.

Bendahari PAS Asmuni Awi, yang turut mengikuti rombongan itu, berkata pertemuan itu akan berlangsung di pusat tahanan imigresen di Villawood, dekat Sydney.

“Kami sudah mendaftar masuk ke hotel dan dijadual bertemu Sirul esok,” kata Asmuni, yang bertindak sebagai peguam Mahfuz, kepada Malaysiakini melalui SMS.

Asmuni berkata mereka sampai ke Sydney kira-kira jam 11,30 pagi (8.30 pagi waktu Malaysia) selepas penerbangan panjang.

Sirul pada 13 Januari lalu diputuskan bersalah membunuh Altantuya bersama Azilah Hadri. Mereka dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul tidak dapat dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia kerana undang-undang Australia tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara hukuman disabitkan.

Beliau kini menjadi perhatian dunia selepas mengugut untuk membongkar “segala-galanya” berhubung kematian wanita Mongolia itu.

Ini kerana, walaupun hukuman dijatuhkan, motif pembunuhan itu sehingga ini masih tidak terungkai.

Pencarian MH370 berakhir dalam masa terdekat?


MH370
 
 
CANBERRA -  AUSTRALIA. Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss, memberitahu bahawa terdapat kemungkinan pencarian MH370 akan ditamatkan dalam masa beberapa minggu lagi.
 
Truss yang juga Menteri Pengangkutan Australia berkata, satu keputusan perlu difikirkan sebelum menyambung pencarian pada kawasan seluas 1.1 juta kilometer persegi atau sebaliknya.
 
"Terus-terang kita tidak dapat mencari (pesawat tersebut) selama-lamanya, tapi kami mahu melakukan apa yang termampu untuk mengesan pesawat tersebut," kata Truss menerusi laporan Channel News Asia.
 
"Kita mengeluarkan perbelanjaan yang kita percaya ia sangat diperlukan untuk melakukan operasi ini menggunakan kelengkapan paling terbaik yang ada.
 
"Kita juga perlu membuat keputusan, contohnya sampai bila operasi ini perlu diteruskan," tambah Truss.
 
Truss juga memberi amaran bahawa pencarian di kawasan yang lebih besar adalah mustahil tanpa bantuan antarabangsa.