HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 April 2016

Pertelingkahan PKR, DAP mungkin berlanjutan hingga PRU14 - Bekas pemimpin DAP

Post Pic
Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pertelingkahan di antara DAP dan PKR yang tercetus akibat pertindihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, diramal akan berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, berdasarkan sikap masing-masing yang 'tamak kerusi'.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek Tan Tuan Tat berkata, parti yang didominasi 'Dinasti Lim' khususnya, sememangnya mempunyai sikap angkuh dan berasakan mereka kuat berbanding parti pembangkang yang lain.

Ujar Tuan Tat, beliau tidak hairan sekiranya DAP berkeras ingin meletakkan calon di kerusi yang sama ekoran merasakan parti mereka lebih layak kerana berjaya memperoleh bilangan kerusi yang banyak berbanding PKR pada PRN yang lalu.

"Ini (pertelingkahan) tidak boleh dielakkan lagi, ini satu kenyataan, tak boleh dinafikan. Lihatlah selepas PRU13, lihat bagaimana mereka bergaduh dengan PAS.

"Mereka langsung tak ingat, tanpa jentera PAS, anda ingat DAP boleh menangkah di tempat orang Melayu..memang tak boleh. Ini akan berlarutan," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Sama seperti hubungan DAP dengan PAS sebelum ini yang terlerai selepas PRU13, Tuan Tat meramalkan perkara yang sama akan berlaku kepada DAP dan PKR selepas PRN ini.

DAP dan PKR bakal bertembung di enam DUN iaitu Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Simanggang dan Mambong, selepas kedua-dua parti gagal mencapai kata sepakat sehingga saat akhir penamaan calon Isnin lalu.

Ekoran itu, DAP menawarkan 'perdamaian' dengan PKR sebagai langkah mengatasi kemelut tersebut, iaitu meminta agar PKR menarik balik calonnya di lima kerusi bertindih.

Sebagai tukaran, DAP akan melepaskan Batu Kitang sekiranya PKR berhenti berkempen di lima kerusi lain.

"Tempat ada DAP, PKR kena sokong kalau di kerusi yang tidak berlaku pertindihan. Tapi di tempat yang ada PKR dan DAP, mereka (PKR) harus undi untuk DAP. Ini sungguh lucu," katanya, merujuk kenyataan Pengerusi DAP Sarawak. Chong Chieng Jen.

"Mereka kata (pengundi) hanya boleh sokong DAP saja, parti lain tak boleh disokong walaupun calon (lain) yang diletakkan bagus, tapi (mereka) mahu DAP menang.

"Perkataan itu sungguh angkuh, pentingkan diri dan tamak," katanya lagi.

Walau ditawar beberapa langkah 'perdamaian' oleh DAP, PKR enggan berundur daripada enam kerusi kontroversi itu dan menegaskan sebarang isu berbangkit yang timbul berhubung pertembungan kerusi dengan DAP itu hanya akan diselesaikan selepas PRN, 7 Mei depan.

Zaid tak perlu campur urusan Pakatan Harapan, kata Abdullah Sani

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


SHAH ALAM: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diminta supaya tidak mencampuri urusan keluarga Pakatan Harapan tegas Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) ada cara sendiri menyelesaikan isu dalaman mereka apabila selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei ini.

"Tidak perlu campur itu urusan keluarga kami. Kita fokus pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ini. Jadi ada apa-apa kita bincang (selepas) 7 Mei ini.

"Untuk dia meletakkan satu pandangan itu saya kira (dia) tidak perlu campur urusan keluarga Pakatan Harapan ini. Biar kami selesaikan masalah kami dengan cara terbaik," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Abdullah mengulas tindakan Zaid mahu mengundang pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang ke majlis makan malam menjelang pilihan raya Sarawak 7 Mei dan menyatakan kepada tokoh DAP itu supaya melupakan sahaja perjanjian pilihan raya bersama PKR.

Zaid yang pernah berjuang bersama PKR selepas meninggalkan Umno berkata beliau sedih melihat Lim perlu memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana kengganan PKR mematuhi perjanjian.

DAP dan PKR kini bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas gagal menyelesaikan isu pengagihan kerusi.

Menerusi perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang ditandatangani antara PKR dan DAP pada 7 April lalu, kerusi Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga telah diperuntukkan kepada PKR.

Sementara kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum akan ditandingi DAP.

Bagaimanapun, PKR dilihat 'mencabuli' persetujuan pembahagian kerusi itu dengan bertanding menentang DAP di Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum.

DAP pula membalas dengan meletakkan calonnya menentang PKR di Batu Kitang.


PRN Terengganu bakal jadi referendum, kata penganalisis

BORHAN AHMAD


Pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu formula terbaik atasi krisis politik negeri itu.Pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu formula terbaik atasi krisis politik negeri itu.


Jika ia diadakan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu bakal menjadi referendum untuk menguji kedudukan terkini parti-parti politik di negara ini dalam menentukan sokongan di kawasan pengundi Melayu, kata penganalis mengulas cadangan agar Terengganu mengadakan PRN bagi menghadapi kemelut yang ada.

Mohamad Hisomuddin Bakar, Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, sebuah pusat kajian bebas berkata, PRN Terengganu akan menentukan sikap pengundi terhadap keputusan PAS untuk membuat blok ketiga bersama Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).

PRN ini juga, katanya, akan menentukan apakah BN masih diterima rakyat atau tidak selepas krisis menteri besar Terengganu itu dan juga skandal 1MDB yang melanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bahkan, melalui PRN ini juga parti baru, Parti Amanah Negara (Amanah) akan dinilai penerimaannya oleh rakyat khasnya di kawasan pengundi Melayu, kata penganalisis bebas itu.

"Bagi saya, jika PRN ini benar-benar berlaku, ia akan menjadi medium yang baik untuk menguji populariti parti-parti politik di negara ini. Saya anggap ini satu referendum," kata Hisomuddin kepada Malaysia Dateline.

Hisomuddin mengulas perkembangan terkini politik Terengganu yang kemungkinan akan berhadapan dengan PRN ekoran kemelut yang ada.
Menurut sumber, PRN terpaksa menjadi pilihan utama selain melantik MB baru kerana kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu yang tidak mempunyai majoriti yang jelas.
Barisan Nasional (BN) melalui Umno hanya mempunyai 17 Adun daripada 32 anggota semuanya kini mempunyai 16 sahaja selepas Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan undi tidak percaya kepada MB.

Ahmad juga dikatakan mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi penyokong menjadikan kedudukan dalam DUN Terengganu adalah BN (14) dan pembangkang 17 iaitu PAS (14), Bebas (3) dan PKR (1).

Istana Terengganu menarik semua gelaran yang dianugerahkan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman Jumaat lepas. Ekoran itu, Umno Terengganu berpecah dalam soal siapakah yang sepatutnya menggantikan Razif.

PAS pula kini berpecah selepas muktamarnya tahun 2015 apabila kumpulan profesional progresif dalam parti itu membentuk parti baru iatu Amanah.

Ahli parlimen PAS Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah kini menyertai Amanah dan menjadi pengerusi parti itu di negeri Terengganu. Turut menyertai Raja Bahrin adalah beberapa bekas Adun manakala beberapa Adun lagi terus berada dalam PAS tetapi bersama Amanah.

PRN Sarawak: PKR mahu fokus menang, tak hirau bertindih kerusi

ARIF ATAN


Nurul Izzah AnwarNurul Izzah Anwar


Sidang media PKR hari ini yang sepatutnya menjawab isu pertindihan kerusi PKR dengan DAP dilihat masih gagal menjawab kontroversi menyelubungi Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, 7 Mei ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, partinya hanya mahu terus melangkah maju dengan memberi fokus untuk menumbangkan BN di negeri terbesar di Malaysia itu tanpa mahu digugat dengan isu pertindihan kerusi dengan rakan gabungan dalam Pakatan Harapan.

Pengarah Pilihan Raya PKR itu dilihat yakin pertembungan kerusi dengan DAP tidak akan menjejaskan hubungan mereka dalam Pakatan Harapan.

"Saya benar-benar gembira kerana kita terus berkongsi hubungan dengan DAP. Kita memberi fokus pada calon bertanding yang menentang BN," katanya di ibu pejabat PKR, hari ini.

Penglibatan PKR dalam PRN Sarawak, tambahnya, bertitik tolak daripada satu matlamat utama untuk menentukan hala reformasi di negeri itu.

"Kita cukup bertuah kerana diberi peluang untuk meletakkan asas bagi reformasi dalam PRN 2011 lalu di Ba'Kelalan, Krian dan Batu Lintang," jelasnya lagi.

Enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang menjadi rebutan PKR dan DAP itu adalah di N19 Mambong, N32 Simanggang dan N49 Ngamek termasuk tiga kerusi baharu di N13 Batu Kitang, N66 Murum dan N78 Mulu.

Kelmarin, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar bertegas untuk kekal bertanding di kesemua kerusi bertindih terbabit.

Calon PKR, Voon Shiak Ni bagi Dun Batu Kitang, ujarnya lagi, telah bekerja sehingga 15 tahun dan lebih dikenali berbanding calon dari parti lain.

Pada PRN yang membabitkan keseluruhan 82 Dun kali ini, PKR meletakkan calon di 40 kerusi manakala DAP bertanding di 31 kerusi Dun.

1,232 kes penemuan ular di Terengganu


 
 
Rata-rata kes penemuan ular itu tertumpu di kawasan kediaman, di mana jumlah tersebut meningkat setiap bulan.


JPAM


KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu merekodkan 1,232 kes penemuan ular oleh penduduk sehingga bulan lalu.

Timbalan Pengarah Operasinya, Amirsarifudin Zalman berkata, rata-rata kes tertumpu di kawasan kediaman, malah jumlah tersebut meningkat setiap bulan.

Ia berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini, menyebabkan reptilia itu mencari kawasan kediaman untuk berlindung.

“Berdasarkan jumlah laporan yang kita rekodkan sehingga Mac 2016, sebanyak 1,232 kes melibatkan kawasan kediaman, rumah, sekolah dan rumah kedai.

“Kebanyakan ular yang masuk ke kawasan kediaman juga disebabkan cuaca panas melampau dan jumlah tersebut semakin meningkat setiap bulan. Malah, pada musim panas sebegini juga merupakan musim untuk reptilia itu mengawan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Amirsarifudin berkata, sehingga kini, belum ada kes melibatkan mangsa patukan ular di Terengganu seperti yang berlaku di negeri lain.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak mereka bermain di kawasan lembab, kerana bimbang diancam reptilia itu.

Pada 19 April lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Nuri Nadirah Ruslan, 7, maut dipercayai dipatuk seekor ular di betis kirinya di perkarangan Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Pengkalan Chepa di Kelantan.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan sebagai berkata, sekurang-kurangnya 730 kes patukan ular direkodkan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu sehingga kelmarin, termasuk satu kematian di Kelantan.

Kedah mempunyai kes patukan ular tertinggi, iaitu 195 kes, diikuti Perak (107 kes) dan Selangor (78 kes)

Ayam 'stres', tauke rugi RM1 juta






DETK DAILY


KUALA NERANG: Cuaca panas berpanjangan akibat fenomena El Nino menyaksikan ramai penggiat di dalam industri penternakan ayam daging di Kedah terpaksa menanggung kerugian besar.

Tauke-tauke ayam kebanyakannya bergelut untuk meminimumkan kadar kematian ayam ternakan akibat faktor suhu yang panas.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di ladang ternakan ayam milik Kumpulan Bismi, kadar kematian haiwan tersebut meningkat sehingga lapan peratus.

Pengurus Kanan Operasinya, Mohd Gary Gan memaklumkan syarikat tersebut setakat ini menanggung kerugian mencecah RM1 juta.

"Kematian sehingga lapan peratus ini adalah situasi melebihi kematian biasa kerana ayam mengalami 'heat stress'.

"Suhu memang kita tidak boleh kawal, apa yang kami boleh lakukan ialah mandikan ayam guna sistem 'sprinkler' atau pancutan air," kata Mohd Gary ketika memantau keadaan di sebuah reban di Kampung Rambutan, di sini hari ini.

Tambahnya, kos operasi turut meningkat kerana terpaksa menggunakan sistem pancutan air 24 jam sehari bagi mengurangkan suhu panas di dalam reban.

Katanya lagi, cuaca panas berpanjangan ini juga menyaksikan tempoh matang ayam ternakan kini lebih panjang.

"Jika cuaca panas ini berlarutan, kami terpaksa mengehadkan kemasukan ayam ternakan bagi meminimumkan kematian dan kerugian syarikat," ujarnya.

Setakat ini, operasi syarikat berkenaan di Kampung Rambutan hanya memberi fokus kepada menguruskan 165,000 ekor ayam daging.
Cuaca panas berterusan sejak awal tahun ini menyaksikan Kuala Nerang mencatat suhu konsisten di antara 35 hingga 36 darjah Celsius setiap hari terutama di sebelah siang.

Malaysia gesa Filipina cari pembunuh John Ridsdel

Astro Awani
 
Malaysia gesa Filipina cari pembunuh John Ridsdel
Ridsdel, bersama dua orang lelaki dan seorang wanita, diculik pada September 2015 ketika mereka berada di atas kapal layar di sebuah marina berdekatan bandar Davao.
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Filipina untuk memperhebatkan usaha membawa mereka yang terlibat di dalam kes pembunuhan warga Kanada, John Ridsdel di Selatan Filipina pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memberitahu, Filipina perlu memastikan kumpulan yang terlibat dalam jenayah tersebut ke muka pengadilan selain meneruskan usaha untuk membebaskan mangsa-mangsa penculikan yang lain.

"Kerajaan Malaysia turut menyampaikan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Kanada, terutamanya keluarga mangsa yang terlibat," jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, Presiden Benigno Aquino III mengarahkan Angkatan Tentera Filipina dan Polis Kebangsaan Filipina untuk menggunakan kuasa penuh undang-undang dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengesahkan bahawa Ridsdel telah dibunuh oleh pengganas.

Dilaporkan, dua lelaki yang menunggang motosikal meninggalkan kepala Ridsdel yang diletakkan di dalam beg plastik, di jalan di Jolo, Sulu, sebelum melarikan diri.

Perginya 'Romeo & Juliet Teluk Intan', bawa cinta, tinggalkan ilmu untuk kita

Kohilah Sekaran, Astro Awani
 
Perginya 'Romeo & Juliet Teluk Intan', bawa cinta, tinggalkan ilmu untuk kita
'Romeo & Juliet Teluk Intan' ini menemui maut selepas terlibat dalam satu kemalangan langgar lari Teluk Intan pada Selasa lalu. - Foto Facebook
 
 
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”

Itulah perumpamaan yang dikaitkan dengan pasangan orang kelainan upaya ini dari Teluk Intan.

Hampir semua warga Teluk Intan mengenali pasangan berbangsa Cina ini kerana mereka sentiasa berada di tepi jalan raya sekitar bandar itu, mengutip kotak dan tin.

Digelar sebagai "uncle" dan "aunty", pasangan tersebut dikatakan mencari rezeki dengan hanya mengutip barangan kitar semula, menggunakan basikal roda tiga.

Bekerja lebih dari 10 tahun, pasangan istimewa ini merupakan pasangan yang dikasihi ramai.

‘Uncle’ dan ‘aunty’ dilihat sebagai ‘pahlawan kehidupan’ oleh warga bandar itu kerana selama ini, mereka berdua secara tidak langsung mengajar orang di sekelilingi erti tabah mengharungi hidup.

Bukan itu sahaja, mereka merupakan pasangan setia yang sentiasa bersama.

Bagaimanapun, baru-baru ini, warga Teluk Intan dikejutkan dengan berita kematian mereka yang sangat menyayat hati.

Pasangan cinta sejati ini maut selepas terlibat dalam satu kemalangan tragis. Mereka telah dilanggar lari oleh sebuah lori di simpang lampu isyarat Kampung Banjar Teluk Intan, pada Selasa lalu.

Lebih sayu, tubuh mereka dikatakan berpelukan.

Susulan kejadian tersebut, berita sedih itu mula viral di media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih mereka terhadap pasangan malang ini.

Mereka turut berkongsi kisah mereka serta ajaran yang disampaikan oleh pasangan tersebut sepanjang kehidupan merekaa.

Rata-rata meyifatkan pasangan berdua ini sebagai Romeo dan Juliet kerana berkongsi cinta yang luar biasa.

TELUK INTAN
Kredit Gambar: Facebook Escar Ong

Seorang netizen, Bila Cikgu Emmet menulis, berkata, “Penduduk Teluk Intan sentiasa tersentuh melihat "aunty" ini mengelap peluh suaminya yang letih mengayuh basikal roda tiga itu.

Mereka dilihat kerap berpanas dan berhujan bersama. Mereka pasangan setia sepanjang masa bersama.”

Ema’s Yunan pula berkata, pasangan yang tidak sempurna pada pandangan mata itu  memang romantis.

“Jalan berpegangan tangan dan sebagainya. Sebab mereka saling memerlukan.”

Malah, pasangan istimewa itu turut digelar sebagai ‘guru’ oleh netizen.

Hal ini, menurut mereka, sepanjang perjalanan kehidupan mendiang, mereka berdua sering menunjukkan sikap atapun perbuatan yang sungguh mengagumkan.

Nur Najihah berkata, mereka tidak pernah susahkan orang walaupun hidup dalan keadaan begitu susah.

“Sungguh saya kagum. Mereka kini tinggal memori.”

“Insan yang tidak pernah meminta walapun tiada, malah sering memberi apa yang ada kepada insan lain yang lebih memerlukan,” kata Ahmad Faisal Zakaria.

Nirzawati Mohd Ridzwan pula berkata apa yang dilihat selama ini akan dijadikan teladan.

Teluk Intan
Kredit Gambar: Facebook 

“Bila terlihat mereka di sekitar Teluk Intan, memang selalu menyuarakan kekaguman melihat kasih sayang mereka pada suami.. kesempatan itu mungkin ilmu dan teladan buat saya dan suami,”

Cikgu Emmert berkata, Teluk Intan kehilngan seorang guru yang berharga dan selepas ini, mereka tidak akan dapat melihat kelibat mendiang.
“Selepas ini Teluk Intan tak akan melihat kelibat uncle dan aunty ini bersama basikalnya berkembara di sekitar bandar ini.

“Tiada lagi lambaian tangan setiap kali mendengar hon dari pemandu yang beramah mesra dengannya. Damailah uncle dan aunty. Damailah bersama cinta mu yang sejati. Damailah,” katanya.
 

Pilihanraya Sarawak: 'Saya apai besar Malaysia, saya akan jaga semua' - Najib

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
 
Pilihanraya Sarawak: 'Saya apai besar Malaysia, saya akan jaga semua' - Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Kampung Triboh Albert Moni Igang (kiri) berupa gambar Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika melakukan tinjauan mesra di Kampung Triboh. - Foto Bernama
 
 
SERIAN: Amalan persaudaraan seperti satu keluarga besar di dalam Barisan Nasional (BN) menjadi formula kejayaan kerajaan kepada rakyat selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelbagai agenda besar yang disalur kepada rakyat Sarawak menjadi bukti perancangan BN menjadi realiti.

"Ia  jauh berbeza dengan sikap pembangkang yang hanya tahu menabur janji namun tidak dilaksana.

"Macam saya apai besar Malaysia. Saya kena jaga semua, dari Perlis sampai ke Sarawak semua saya jaga.

"Kampung Triboh, Kampung Ulu Lachau, apa juga saya akan jaga. Inilah semangat BN, kita satu keluarga yang besar," katanya semasa program walkabout di Kampung Triboh sempena minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini hari ini.

Pada 1966, Tun Abdul Razak Hussein merasmikan Kampung Triboh, iaitu sebuah perkampungan Iban yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Bandaraya Kuching.

Dalam pada itu kata Najib, rakyat Sarawak perlu memberi undi kepada BN demi memastikan semua projek pembangunan negeri yang dirancang dapat disempurnakan.

"Sebagai contoh, Lebuhraya Pan Borneo yang akan memberi banyak kelebihan serta kemudahan kepada rakyat negeri ini.

"Saya menyambung jasa yang dibuat ayahanda saya dahulu, ini tugas saya untuk menabur bakti kepada rakyat negeri ini," ujarnya.
Pada majlis sama, Najib mengumumkan pembinaan dewan baharu Kampung Triboh yang pada masa ini kelihatan daif dan hanya mampu menampung bilangan yang kecil.

Proses pengundian bagi 80 kerusi DUN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon BN tanpa bertanding pada hari penamaan calon. 
 
 

Jangan marah Mahathir lagi!




 
Oleh SUBKY LATIF


BARU-baru ini saya ke utara Semenanjung. Ramai penyokong datang berjumpa menanyakan tentang tindakan Dr. Mahathir mengadakan Deklarasi Rakyat.

Rata-rata tidak memihak kepadanya kerana mereka tidak boleh melupakannya dan mereka masih marah Dr. Mahathir.
Kata saya, cukuplah marah kita kepadanya dulu dan sekarang jangan marah dia lagi!

Lepas dia tidak berkuasa, dia pun sudah banyak menghadapi kecederaan daripada orangnya sendiri termasuk orang-orang yang dikehendakinya menjadi gantinya.

Banyak dasar dan projeknya tidak diterusnya. Tentulah semua itu amat pahit dirasanya. Mari ke zaman Najib ini lebih banyak yang melukakan hatinya. Dan dia sekarang lebih dihina oleh Umno dan macam-macam mereka sumpit dia. Penghinaan orang Umno sekarang lebih teruk daripada penghinaan orang PAS ke atasnya dan kemarahan Umno lebih teruk daripada kemarahan orang PAS.

Biarkanlah Umno terus marah dan menghinanya. Kita semua jangan menyusahkan dia lagi kerana puaka penindas yang dilakukan oleh regim yang ada lebih teruk dari zamannya.

Bahkan dia sekarang membantu orang ramai dan bersama orang ramai untuk menukar Najib dengan orang lain. Orang luar termasuk orang PAS tidak dapat buat banyak bagi menggatikan Najib dan tidak dapat buat secukupnya bagi menukar sistem yang dipakai sejak dulu terutama sekarang.

Dr. Mahathir seorang diri pun tidak banyak buat apa untuk menyuruhnya berundur. Tetapi kalau bercampur dua pihak yang hendak menjatuhkan Najib, maka Najib lebih mudah tunggang-langgang.

Kalau pun bercampur dua seteru belum tentu Najib dapat digugurkan, tak bersatu menumbangkannya lagi payah.

Sekarang Umno amat marah kepada Mahathir, jika semua kita marah pula kepada Mahathir, itulah yang Umno dan Najib suka. Suara menentangnya tidak sekuat sepatutnya.

Keadaan sekarang. Jika kita marah Dr. Mahathir, itu yang disukai oleh Najib dan Umno. Secara tidak langsung suara terus marahkan Mahthir itu seperti menyokong sikap dan tindakan Umno kepada Mahathir sekarang.

Umno dan Najib sekarang mahu Dr. Mahaahir mati kering seorang diri. Jika Mahahir terpencil dan terpinggir sekarang, itu yang disukai oleh Najib dan Umno dan bermahajalelalah Najib melakukan kerosakan di muka bumi kita ini.

Apa yang dibuat Mahathir sekarang ialah menentang kezaliman dan penindasan Umno terhadap rakyat dan negara.

Mungkin matlamat terakhirnya tidak sama antara Mahathir dan yang lain yang hendak membuang Najib, tapi kedua-danya adalah betul untuk menekan Najib keluar. Moga-moga kerja hari tua Mahathir dapat menebus segala kesilapannya yang lalu.

Marahkan Mahathir sekarang tidak guna. Kita marah orang tidak kena masanya. Masa ini bukan masa marahkan Mahathir tetapi masa ini masa orang semua mesti marah Najib dan Umno.