HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

KIMMA nafi runding dengan Pejuang

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menyangkal segala fitnah kononnya kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran dengan parti Pejuang.

Setiausaha Agungnya, Hussein Jamal Mahamad menyifatkan tindakan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggangjawab yang sengaja mengambil kesempatan menabur fitnah dan mereka cerita untuk mencemar nama baik pemimpin dan parti KIMMA.

“Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kononnya kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran dengan parti Pejuang.

“Saya ingin menegaskan bahawa Dato’ Seri Presiden KIMMA atau saya sendiri selaku Setiausaha Agung atau mana-mana pemimpin tertinggi KIMMA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan parti Pejuang dan perkara itu tidak pernah terlintas di pemikiran kami.

“Ini merupakan satu tohmahan yang sengaja dicetuskan pihak tertentu demi survival dan kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini terdapat kenyataan media yang mengaitkan KIMMA dengan parti Perjuang yang dipimpin oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hussein, parti itu akan tetap bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menyokong pentadbiran kerajaan.

Katanya, hala tuju parti itu adalah jelas dan sekiranya terdapat perubahan ianya akan hanya ditentukan oleh Majlis Tertinggi KIMMA dan para perwakilan dari seluruh negara di Perhimpunan Agung KIMMA.

“Saya berharap agar semua pihak yang cuba menangguk di air yang keroh menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

“Kini, tindakan tegas mengikut undang-undang Malaysia sedang diambil terhadap pihak yang berkenaan,” jelasnya lagi.

KIMMA merupakan sebuah parti gabungan Umno yang mempunyai Perlembagaan dan struktur pentadbiran teratur yang memperjuangkan kesejahteraan masyarakat India Muslim khususnya dan rakyat Malaysia amnya. – HARAKAHDAILY

Hargai institusi raja, jangan porak peranda negara

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Rakyat yang cintakan kemananan seharusnya menghargai institusi raja yang memayungi tanah air ini, kata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Katanya, sebagai rakyat yang taat dan setia kepada raja dan perlembagaan negara sudah tentu mahukan negara terus berada dalam keadaan aman dan selamat sepanjang bergelut dengan Covid-19, masalah ekonomi dan kemelesetan negara, bukannya dianaktirikan oleh pemimpin politik yang rakus tidak henti berusaha merebut takhta pemerintahan negara.

“Kita sedia maklum, baru-baru ini Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim telah cuba mencabar usaha proklamasi darurat yang telah diumumkan oleh kerajaan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook UMMAH.

Katanya, kemudian usaha itu diteruskan pula dengan strategi mencabar keputusan menggantung sesi persidangan dewan parlimen.

Berdasarkan perkara itu, ujarnya usaha yang dibawa oleh Anwar sebenarnya tidak lebih daripada percubaan untuk menghasut dan memporak perandakan kestabilan negara.

Tambahnya, Ketua Pembangkang yang sepatutnya memahami keperluan semasa negara yang tenat dilihat berniat menghasut dan ingin menggugat keabsahan keputusan dan perkenan yang telahpun dibuat oleh Agong atas nasihat kerajaan semasa.

Menurutnya, peruntukan perlembagaan telahpun menyatakan Perkara 150(8)(a), Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh memperkenankan Darurat: (Yakni) setelah Baginda berpuas hati dan kepuasan hati baginda berkenan membuat keputusan darurat adalah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mana-mana mahkamah di dalam negara ini. Ini bermakna nasihat yang diberikan oleh kerajaan semasa kepada YDPA sebelum YDPA membuat keputusan adalah sudah dinilai dengan teliti manakala keputusan Baginda YDPA adalah mutlak dan sah.

Justeru, tambahnya UMMAH mengambil sikap dan pendirian yang tegas berlandaskan hak dan prinsip perlembagaan ingin menasihatkan agar pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti dari sebarang usaha mengkucarkacirkan sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

UMMAH juga, ujarnya ingin menegaskan bahawa jika ada usaha yang berniat menghasut, mencabar, memporak perandakan keadaan negara yang sedang tenat ini perlu diambil tindakan yang tegas oleh pihak keselamatan.

“Kita sebagai rakyat yang cintakan kemananan di negara ini seharusnya bersatu padu dalam usaha membaik pulih negara, ekonomi dan menghargai institusi raja yang memayungi tanah air ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY

Fakta sebenar Darurat Kelantan 1977

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Pembentangannya di Parlimen bukan untuk penuhi kehendak Perlembagaan tetapi untuk penuhi kehendak nafsu serakah.

 

BEBERAPA orang pemimpin PAN mendakwa pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 adalah bukti Ordinan Darurat 2021 juga perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Seperti telah berkali-kali dijelaskan, keperluan untuk membentang dan meluluskan Ordinan (mahupun Proklamasi) Darurat di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia boleh dikuatkuasakan langsung tidak terdapat di dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum 31 Mei 1960 memang ada peruntukan yang menyebut Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa jika ia tidak dibentang dan diluluskan di Parlimen selepas habis tempoh dua bulan Proklamasi itu dikeluarkan tetapi peruntukan ini sudah tiada selepas 31 Mei 1960.

Sebelum 15 Mei 1981 juga memang ada peruntukan menghendaki Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang tetapi peruntukan ini sudah dimansuhkan selepas 15 Mei 1981.

Tesis PhD Dato’ Dr Cyrus V. Das mengenai darurat di Malaysia dari Brunel University juga menyatakan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana sesuatu Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan kerajaan tidak perlu segera berbuat demikian.

Perlu diketahui bahawa Darurat Kelantan 1977 adalah Darurat Politik yang berpunca daripada tindakan 20 ADUN PAS Kelantan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Mohamad Nasir selaku Menteri Besar Kelantan dalam sidang DUN pada 15 Oktober 1977.

Datuk Mohamad Nasir adalah pemimpin PAS yang dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan atas kehendak Umno dan, walaupun PAS dan Umno adalah rakan gabungan dalam BN, 14 ADUN Umno (dan MCA) Kelantan tidak menyokong usul undi tidak percaya tersebut.

Saya sendiri pernah bertemu dengan beberapa orang berpangkat Tan Sri dan Datuk yang mengakui, dan berbangga, mengenai penglibatan mereka di dalam usaha untuk cuba mencetuskan suasana huru-hara di Kelantan ekoran penggulingan Datuk Mohamad Nasir.

Tiada ancaman serius wujud terhadap keselamatan di Kelantan di mana tiada sebarang kematian atau kecederaan serius dilaporkan, malah perintah berkurung pun terhad di Bandar Kota Bharu pada 19 Oktober 1977 dan di Kubang Kerian pada 22 Oktober 1977 sahaja.

Begitupun, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku TPM pada waktu itu telah memaklumkan kepada PAS Kelantan, yang sedang berusaha membentuk kerajaan baru, pada 25 Oktober 1977 bahawa Kelantan akan didaruratkan dan ini beliau umumkan terus pada 4 November 1977.

Ekoran pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad ini, mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 6 November 1977 mengarahkan semua ahli Jemaah Menterinya meletakkan jawatan bagi membolehkan mereka menentangnya di Kabinet dan di Parlimen pada 8 November 1977.

Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, sewaktu menggulung perbahasan ke atas rang undang-undang ini pada jam 1:53 pagi 9 November 1977 menyebut, mengikut Perlembagaan, ia tidak perlu dibawa ke Parlimen tetapi ia tetap dibawa kononnya bagi menghormati demokrasi.

Bila ia dibawa untuk diundi secara belah bahagi menjelang jam 2:45 pagi 9 November 1977, maka terzahirlah nama Ahli-ahli Parlimen PAS berikut sebagai mereka yang tidak bersetuju, iaitu:

1. Datuk Haji Mohd. Asri bin Haji Muda (Nilam Puri).
2. Datuk Haji Abu Bakar bin Umar (Kota Setar).
3. Tuan Mustapha @ Hassan bin Ali (Kuala Terengganu).
4. Tuan Mohd. Zahari bin Awang (Kuala Krai).
5. Tuan Haji Abdul Wahab bin Yunus (Dungun).
6. Tengku Zaid Al-Haj bin Tengku Ahmad (Pasir Mas).
7. Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Pengkalan Chepa).
8. Tuan Haji Mohd. Zain bin Abdullah (Bachok).
9. Wan Sulaiman bin Haji Ibrahim (Pasir Puteh).
10. Tuan Haji Ahmad Shukri bin Haji Abdul Shukor (Padang Terap).
11. Tuan Haji Zakaria bin Haji Ismail (Rantau Panjang).

(Tuan Haji Yusof Rawa @ Haji Yusof Bin Haji Abdullah (Ulu Muda), tidak hadir).

Setelah itu, PAS tiba-tiba dihadapkan dengan arahan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang ini dari menjadi ahli PAS kerana ia dikatakan melanggar Fasal 14 Perlembagaan BN.

Ayat rasmi lebih muluk yang dikemukakan oleh Umno pada waktu ini adalah berbunyi ‘parti-parti anggota BN yang ahlinya didapati menentang arahan party whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin dengan memecat mereka itu dari menjadi ahli-ahli partinya’.

Logikkah untuk Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memecat keahlian Datuk Haji Mohd. Asri bin Haji Muda yang merupakan Presidennya, atau Datuk Haji Abu Bakar bin Umar yang merupakan Naib Presidennya, atau Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang merupakan Ketua Dewan Ulamaknya, atau Tuan Mustapha @ Hassan bin Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemudanya?

Dan inilah yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 7 Disember 1977, iaitu PAS tidak sanggup memecat ‘orang-orang yang akan menentukan masa depan PAS’ ini, PAS sedia ‘menerima apa saja tindakan dari Dewan Tertinggi BN’, tetapi PAS berharap ‘sebarang keputusan hendaklah (diasaskan kepada) kebaikan perpaduan orang-orang Melayu sendiri’.

Setelah menerima jawapan PAS, Dewan Tertinggi BN sekali lagi bermesyuarat pada 13 Disember 1977 dengan agenda ‘memecat PAS dari BN’ tetapi disebabkan pemimpin PAS yang dijangka tidak hadir turut hadir maka agenda ini diubah menjadi lebih muluk, iaitu ‘memberi tempoh kepada parti yang menentang party whip untuk memecat ahli-ahli partinya’.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 ini pada akhirnya memutuskan untuk mengarahkan PAS untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang ini dari menjadi ahli PAS sebelum 17 Disember 1977, dan jika PAS gagal berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977 maka PAS akan terpecat dengan sendiri dari BN.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Disember 1977, setelah membincangkan perkara ini, pun mengutuskan sepucuk surat kepada Setiausaha Agung BN berbunyi begini:

‘Setelah memerhati dan memahami bentuk dan isi keputusan Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977, jelaslah menunjukkan bahawa hasrat pemimpin-pemimpin Umno untuk menyingkirkan PAS dari BN terbukti dengan nyatanya. Adapun tempoh yang diberikan itu tidaklah memberi erti apa-apa kerana PAS telah pun menyatakan sikap tegasnya tidak bersedia memecat ahli-ahlinya seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 di mana dapat difahami bersama bahawa adalah tidak wajar bagi sesebuah parti politik untuk mengambil tindakan yang sedemikian rupa. Oleh itu, sesuai dengan semangat keputusan Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 dan sikap tegas PAS itu, maka tidaklah mustahak lagi bagi BN menunggu tempoh seperti yang ditetapkan, dan dengan demikian pada hakikatnya PAS telah pun dipecat dari BN mulai tarikh 13 Disember 1977 itu juga’.

Pada akhirnya, tidakkah kesemua urutan peristiwa ini menunjukkan bahawa pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 sebenarnya bukanlah bukti kedemokratikan pemimpin Umno pada waktu itu tetapi adalah bukti kejahatan mereka yang mahu menggunakannya sebagai alasan untuk menendang PAS keluar dari BN?

Pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 ini juga sebenarnya bukanlah untuk memenuhi kehendak mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, tetapi adalah untuk memenuhi kehendak nafsu serakah untuk berkuasa pemimpin Umno pada waktu itu semata-mata.  – HARAKAHDAILY

PdPR: Pemuda UMNO Kedah Sumbang Tablet Kepada Anak Yatim 9 Beradik

Oleh: Nurul Saadah Latib 


KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO Kedah di atas inisiatif membantu sembilan orang anak yatim dengan menyampaikan tablet bagi memudahkan mereka untuk mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Asyraf, bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli dan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

“Alhamdulillah, Pemuda UMNO Kedah terus menyerahkan dua tablet beserta talian untuk dimanfaatkan oleh keluarga ini.

“Utusan Malaysia melaporkan perihal 9 adik-beradik yatim yang hanya bergantung kepada telefon bimbit ibu mereka, Saaidah Puteh untuk bergilir-gilir mengikuti kelas PdPR.

“Tahniah buat Pergerakan Pemuda UMNO Kedah kerana cepat bertindak turun membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Asyraf turut menggesa kerajaan mengambil langkah terbaik untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mengikuti PdPR.

“Hakikatnya kita tak mungkin mampu untuk membantu semua yang hadapi kekangan menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ketika ini.

“Sebab itulah Pemuda UMNO Malaysia mengharapkan kerajaan segera mendatangkan dengan pelan tindakan jangka pendek bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan daripada sistem pendidikan tatkala pandemik melanda,” ujarnya. – UMNO Online

UMNO Selangor tidak desak Presiden 'berehat' - Noh Omar

TANJONG KARANG: UMNO Selangor berpegang teguh kepada peraturan dengan menghormati institusi Presiden yang dipilih oleh perwakilan ketika segelintir pihak mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ia juga selaras dengan peraturan dan perlembagaan parti.

"Kita kena ingat, masing-masing ada pengikut. Presiden pun ada pengikut, orang yang nak suruh Presiden berhenti pun ada pengikut. Jadi, mengapa kita mesti bertembung sesama kita?

"Kita mengamalkan demokrasi, jadi tunggulah waktu pemilihan. Kalau nak tukar Presiden, lawanlah dan ia terbuka," katanya, hari ini.

Noh ditemui selepas program Sanitasi Prihatin di luar perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, di sini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyelar desakan segelintir pihak dalam parti yang mendesak Ahmad Zahid berundur dan menyifatkannya sebagai mahu menjatuhkan imej Presiden.

"Bagi saya, jangan tengok Presiden, tetapi kena tengok institusi Presiden. Sudahlah kita (UMNO) dalam keadaan lemah, ditambah pula dengan cubaan memecah belahkan serta mempersoalkan (institusi Presiden) lagi.

"Saya bimbang, bukan sahaja lawan, malah kawan juga tidak hormat pada kita. Kalau nak UMNO kembali kukuh, ikutlah peraturan dan saluran yang sepatutnya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan antaranya Ketua Pemuda UMNO Pontian, Helmi Buang; Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman mendesak supaya Ahmad Zahid 'berehat secara terhormat'.

COVID-19: Macam-macam nasihat saya beri, akhirnya saya juga salah? - Najib

Firdaus Azil
COVID-19: Macam-macam nasihat saya beri, akhirnya saya juga salah? - Najib
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak sangka ada pihak menyalahkan 
dirinya kerana peningkatan kes sehingga menghampiri 6,000 semalam. - 
Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan kekesalan kerana beliau juga yang dipersalahkan ekoran situasi COVID-19 membimbangkan di negara ini.
 
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak sangka ada pihak menyalahkan dirinya kerana peningkatan kes sehingga menghampiri 6,000 semalam.
 
Ujarnya lagi, pihak tersebut mendakwa beliau tidak memberi nasihat yang sewajarnya kepada Kerajaan, dan cuba menjadi ‘hero’ kerana ingin menyalahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
“Yang beri amaran bahawa kuarantin rumah bagi pelawat asing akan cetus gelombang baru COVID-19, Najib. Yang tak setuju Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan, Najib.
 
“Yang bidas kerajaan kerana proses kuarantin bagi mereka pulang dari PRN Sabah lembab, Najib Yang suruh kawal ketat dan sekat rentas negeri seluruh Semenanjung Malaysia di peringkat awal selepas PRN Sabah pada ketika kerajaan suruh kita tenang dan dakwa keadaan masih terkawal, Najib,” katanya lagi.
 
Selain itu, beliau turut berkongsikan beberapa lagi kritikannya terhadap Kerajaan, yang turut dilaporkan secara meluas oleh media.
 
Najib berkata, beliau sebelum ini turut mengkritik tindakan Kerajaan memansuhkan sekatan rentas negeri, serta melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika kes semakin naik.
 
“Yang desak untuk naikkan semula tempoh kuarantin ke 14 hari (tapi tak dibuat kerajaan) dari 7 hingga 10 hari pada ketika mutasi UK semakin mengganas, Najib.
 
“Yang suruh kerajaan ambil tindakan tegas pada masa kes COVID mencecah 100,000 (tapi juga tidak dibuat kerajaan), Najib,” katanya lagi.
 
Malah, Najib berkata, beliau turut menegaskan beberapa kali bahawa Kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan amat ketat untuk tempoh dua minggu.
 
Katanya lagi, ia bagi memastikan segala usaha dan penat-lelah petugas barisan hadapan, tidak sia-sia begitu sahaja.
 
“Tapi akhirnya selepas PKP 2.0 separuh masak selama 17 hari masih gagal, kes baru cecah 5,700 kes dan jumlah kes melepasi 200,000, Najib juga yang salah sebab tak nasihatkan kerajaan?” soalnya lagi.

Isu Thaipusam: Kenapa MIC 'takut' dengan Pas? - Muhamad Arafat

Rahimah Abdullah
Isu Thaipusam: Kenapa MIC 'takut' dengan Pas? - Muhamad Arafat
MUHAMAD ARAFAT: Naib Presiden MIC, Sivarraajh langsung tidak memberi 
respons perkara yang dibangkitkan, mungkin sengaja elak menjawab. - Foto 
Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR Negeri Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menyifatkan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh sengaja mengelak untuk memberi jawapan tepat mengenai pendirian parti berhubung isu pergerakan pedati sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dan Kedah.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta menegaskan, tindakan itu seolah-olah parti kaum India terbesar berkenaan 'dikawal' oleh Pas di Kedah dan pusat kerana takut hilang kedudukan dalam kerajaan. 
 
"Naib Presiden MIC, Sivarraajh langsung tidak memberi respons perkara yang dibangkitkan, mungkin sengaja elak menjawab.
 
"Kenapa MIC hanya minat berusaha untuk mendapatkan kebenaran di negeri-negeri diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) sahaja, tetapi usaha dan minat yang sama untuk mendapatkan kebenaran di Perak dan Kedah tidak berlaku?
 
"Malah, saya difahamkan ada permintaan kepada MIC untuk membantu mendapatkan kebenaran pergerakan pedati di Perak." katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu. 
 
BACA: ADUN PKR perlu faham isu pergerakan pedati - Sivarraajh
 
Katanya, ini jelas menunjukkan MIC sebenarnya yang berpolitik dalam kepentingan agama, adat dan ritual penganut Hindu di Malaysia.
 
Mengenai cuti peristiwa di Kedah, kata beliau, Timbalan Presiden MIC sebagai Menteri Sumber Manusia sebenarnya boleh berusaha mendapatkan pelepasan sambutan Thaipusam di peringkat kerajaan persekutuan khusus untuk penjawat awam yang beragama Hindu.
 
Timbalan Presiden MIC sebagai Menteri Sumber Manusia pula tengasnya, boleh berbincang dengan syarikat swasta di Kedah untuk memberi pelepasan sambutan Thaipusam untuk pekerja beragama Hindu apabila Kedah pimpinan Pas tidak memberikan cuti seperti mana diberi sebelum ini.
 
"Ini menunjukan seolah-olah MIC dikawal Pas di Kedah dan pusat kerana 'takut' hilang kedudukan dalam kerajaan. 
 
"Saya nasihatkan MIC sebagai parti dalam kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN) menjalankan amanah dengan ikhlas, saksama dan adil dalam isu masyarakat India dan penganut Hindu, bukan berlakon kononnya memperjuangkan isu dan hak masyarakat India," ujarnya.

Peraturan baru PKP 2.0: Apa yang berubah?

 MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini bagi perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0).

Beberapa perubahan memberikan penjelasan lebih terpeinci mengenai aktiviti tertentu. Namun, ada juga beberapa perubahan yang kabur. Berikut beberapa perubahan terkini:

Adun, MP dibenar rentas negeri

SOP yang dikemas kini menyatakan Adun dan Ahli Parlimen dibenarkan merentas daerah dan negeri masing-masing dalam tempoh PKP dengan tujuan urusan rasmi atau melawat kawasan.

Kebenaran terhadap suami isteri rentas negeri

Kebenaran rentas negeri dibenarkan bagi pasangan suami isteri jarak jauh namun perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

Lebih banyak perniagaan dibenarkan dibuka

Lebih banyak perniagaan seperti kedai cermin mata dan pasar malam kini dibenarkan dibuka.

Sebahagiannya diumumkan sejurus selepas SOP pertama dikeluarkan.

Senarai pengecualian pelitup muka

Pelitup muka tidak diwajibakan bagi aktiviti dan tempat seperti berikut:

1. Kediaman sendiri dan melibatkan ahli isi rumah

2. Bilik hotel/penginapan berbayar bersendirian dan melibatkan ahli isi rumah

3. Ruang kerja bersendirian.

4. Aktiviti sukan & rekreasi Indoor dan Outdoor.

5. Kenderaan sendiri dan melibatkan ahli isi rumah.

6. Kawasan dan tempat awam indoor / outdoor tanpa ada individu lain; dan

7. Sewaktu makan dan minum di tempat awam tanpa ada individu lain.

Definisi pusat jagaan diperluas

Pusat jagaan harian bagi Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas, Wanita dan Pusat Jagaan Pelbagai dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Had penumpang kenderaan

Pergerakan kenderaan persendirian, jabatan kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

Sebelum ini, pengecualian bagi had kenderaan hanya diberikan kepada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak.

Bagaimanapun, had penumpang selain daripada yang dinyatakan di atas tetap tertakluk kepada dua penumpang bagi setiap kenderaan.

Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar mendapatkan rawatan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer

Kedai dalam kompleks beli-belah

SOP terbaru mentakrifkan kedai apa yang boleh buka dalam kompleks membeli-belah.

Ini termasuk departmental store yang hanya menjual makanan, keperluan harian, keperluan bayi dan kanak-kanak, perubatan, peralatan elektrik dan berkaitan perlindungan Covid-19.

Apa yang tidak disebut

SOP lama menyatakan bahawa pusat tuisyen, salon, pusat refleksologi, kelab malam dan pawagam tidak dibenarkan.

Senarai ini tidak terdapat pada SOP baru tetapi setakat ini, tidak dapat dipastikan apakah perniagaan seumpama ini boleh dibuka.

SOP baru (27 Jan) boleh didapati di sini. Anda juga boleh membaca SOP lama (12 Jan) di sini.

Biar mahkamah tentukan Annuar langgar SOP atau tidak - MP

MALAYASIAKINI

Malaysiakini

Isu sama ada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melanggar operasi standard (SOP) Covid-19 ataupun tidak sepatutnya diputuskan mahkamah, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Annuar yang mempertahankan gambar yang menunjukkan dia bersenam bersama dua individu lain sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0).

Menjawab dakwaan melanggar SOP, Annuar semalam berkata gambarnya bersama bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar selepas bertemu secara "kebetulan".

"Jika itu penjelasannya, maka jelaskan kepada majistret. Dakwanya (Annuar) di mahkamah dan biarkan dia jelaskannya (di mahkamah)," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Menurut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), kegiatan berjoging setakat ini hanya dibenarkan di sekitar kawasan rumah dengan berseorangan atau berdua sahaja.

Annuar yang merupakan ahli Parlimen Ketereh memuat naik gambar itu di Twitter dua hari lalu.

Susulan itu, dia dikecam warganet yang mendakwanya melanggar SOP ketika PKP.

Semalam, Annuar dalam penjelasannya berkata ketiga-tiga mereka pada mulanya berjalan berasingan dari rumah masing-masing dan secara kebetulan bertemu.

Dalam pada itu, Lim berkata ramai rakyat biasa telah dikenakan denda atau tindakan dan tiada peluang untuk menjelaskan diri mereka.

Katanya, tidak boleh ada layanan berat sebelah antara menteri dan rakyat biasa, justeru polis tidak boleh "menutup mata" terhadap dakwaan pelanggaran oleh Annuar.

“Rakyat layak mendapat penjelasan daripada polis mengenai sama ada Annuar melanggar SOP ataupun tidak,” katanya.

Mereka yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000. Sekiranya dihadapkan ke mahkamah, pesalah juga boleh dipenjara hingga enam bulan.

Lim juga mendakwa pihak berkuasa sering memberikan alasan terhadap pelanggaran SOP melibatkan VIP, dengan membangkitkan denda RM1,000 terhadap seorang wanita kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar daripada keretanya di Segamat, Johor pada 20 Januari lalu.

Pada Ogos lalu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali didenda RM1,000 kerana gagal menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memutuskan “tiada tindakan lanjut” untuk kes itu.

Pada April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali turut didakwa di mahkamah dan didenda RM1,000 kerana melanggar PKP pertama yang dilaksanakan tahun lalu

Azmin sebut amalan 'tak bermoral' Anwar punca dia tinggalkan PKR

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim merupakan salah satu sebab Azmin Ali membuat keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Gombak itu dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya.

Azmin berkata, 'amalan seksual yang tidak bermoral' dilakukan Anwar menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap presiden PKR itu.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan melalui firma guamannya Tetuan Zharid Nizamuddin, Azmin berkata Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan seorang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi perdana menteri Malaysia.

"Dakwaan ini disokong oleh beberapa dakwaan kukuh berhubung perlakuan dan/atau amalan seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang tidak bermoral sebagai seorang beragama Islam, khususnya semenjak DSAI kembali menjadi presiden PKR dan telah bebas untuk bergerak," katanya.

Azmin merujuk dua kes membabitkan tuduhan dibuat oleh Mohammed Yusoff Rawther mengenai serangan seksual dilakukan Anwar dan tuduhan yang sama dibuat oleh individu bernama Aidil Azim Abu Adam.

Anwar bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku seksual.

Untuk rekod, Azmin pada 2019 juga terpalit dengan skandal seks luar tabie apabila video yang memaparkan individu mirip wajarnya tersebar.

Namun dia menafikan tuduhan berkenaan sebagai usaha menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.

Azmin dalam pernyataan pembelaannya juga berkata dia meragui status pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.

Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 atas dakwaan meliwat bekas pembantunya tetapi diberi pengampunan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 2018.

Azmin yang juga menteri perdagangan, antarabangsa dan industri juga menafikan dakwaan bahawa dia gagal menunaikan janji pilihan raya terhadap pengundi di kawasan Gombak.

Katanya, manifesto pilihan raya tersebut merupakan satu deklarasi niat dan polisi yang ingin dilaksanakan oleh PH secara kolektif dan bukan individu.

Bagaimanapun Azmin berkata dia masih komited untuk memerangi dan menghapuskan rasuah meskipun tidak bersama PKR dan telah menyertai Bersatu.

"Memandangkan “undi adalah rahsia”, bagaimana boleh plaintif- plaintif membuktikan dengan kukuh bahawa mereka dengan benar dan jujur telah memilih defendan semasa PRU-14 dan/atau kertas undi masing-masing tidak rosak bagi tujuan pengiraan undi?" tambahnya.

Azmin berkata dia merupakan ahli parlimen dan Adun yang bertanggungjawab terhadap seluruh warganegara Malaysia yang bermastautin di kawasan parlimen dan Dun serta bukan hanya terhad kepada mana-mana pemilih.

Katanya, perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mana-mana warganegara Malaysia untuk membentuk persatuan.

Azmin juga menafikan bahawa dia bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

Sebaliknya, katanya, kerajaan PH tumbang disebabkan peletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Pada Februari tahun lalu, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk mengeluarkan Bersatu daripada Pakatan Harapan.

Dia disertai oleh sekumpulan pemimpin PKR yang diketuai Azmin, yang pada masa itu merupakan timbalan presiden PKR.

Bersama pembangkang mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional Plus yang baru.