HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

Undi18 adalah umpan politik Pakatan Harapan semata-mata

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
 

KEMELUT mengenai penangguhan pelaksanaan Undi18 segera mengingatkan saya kepada catatan Peguam Negara Kerajaan Pakatan Harapan, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam buku biografi beliau mengenai asal usul pindaan Perlembagaan yang dibuat mengenainya.

Tidak dinafikan bahawa dalam PRU14 agenda Undi18 dimasukkan ke dalam Manifesto Pakatan Harapan sebagai Janji 17 yang berbunyi ‘Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan pendaftaran automatik’.

Arkitek kepada pindaan Perlembagaan yang mendapat liputan istimewa Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku biografi beliau dengan menyifatkannya sebagai ‘satu kemenangan (‘a triumph’) untuk Kerajaan Pakatan Harapan’ ialah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Membantu Syed Saddiq ialah Tan Sri Tommy Thomas sendiri yang menyebut bahawa pindaan Perlembagaan ini pasti akan berjaya kerana tiada sebuah parti atau seorang Ahli Parlimen pun yang akan berani untuk menentangnya kerana tidak mahu menjauhkan pengundi muda.

Ini ayat Tan Sri Tommy Thomas: ‘One cannot imagine any political party or any individual Member of Parliament not supporting the reduction of voting age. Their self-interest would propel them to support it because they could not afford to alienate young voters.’

Seperti mereka jangka, bila RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mengandungi kedua-dua janji Pakatan Harapan ini, selain penurunan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun, dibentangkan di Parlimen pada 16 Julai 2019, ia disokong sebulat suara.

Selepas pindaan Perlembagaan ini diluluskan kerja mereka dikira selesai kerana pelaksanaannya adalah menjadi tanggungjawab SPR selaku Suruhanjaya yang ‘mendapat kepercayaan awam’ yang tidak terikat secara langsung dengan pihak kerajaan.

Tarikh pelaksanaan pakej Undi18 ini diumumkan sendiri buat pertama kalinya di laman web SPR oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pada 10 Oktober 2019 selain disebut di Parlimen hari itu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Kenyataan di laman web SPR oleh Pengerusi SPR itu menyebut ‘Umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijadualkan akan dikuat kuasa untuk dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021’.

Kenyataan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula menyebut ‘SPR menjangkakan tarikh pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021’.

Setelah Kerajaan Perikatan Nasional berkuasa, bila ditanya oleh Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, sekali lagi mengulangi, pada 3 November 2020, jawapan awal Pengerusi SPR dan Menteri terdahulu.

Jawapan ini diberikan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak kerajaan walaupun tercatat dalam Penyata Rasmi Parlimen betapa Datuk Takiyuddin Hassan sendiri menyebut sewaktu membahaskan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada 16 Julai 2019 ini:

(1) ‘Perlu diingat bahawa tidak mudah untuk kita menyelaraskan ataupun menyelesaikan masalah yang mungkin timbul dalam hal pendaftaran automatik ini terutamanya apabila berlaku kepelbagaian atau bermacam-macam alamat di kad pengenalan rakyat Malaysia yang mungkin alamat tersebut sudah tidak wujud pada masa ini.’

(2) ‘Saya hendak menyarankan selagi masalah-masalah pendaftaran ini tidak dapat diselesaikan oleh pihak SPR dan juga pihak yang berkenaan, maka pelaksanaan atau penguatkuasaan pindaan ini tidak sewajarnya dilaksanakan dan ia perlu ditangguhkan.’ 

(3) ‘Oleh sebab itulah pembangkang sebelum ini menyarankan supaya pihak kerajaan mempersiapkan terlebih dahulu segala prasarana ataupun infrastruktur berkaitan dengan pendaftaran ini sebelum membawa pindaan ini ke dalam Parlimen.’

‘Reservation’ dan ingatan sama mengenainya juga telah turut diberikan oleh Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, yang kini merupakan Menteri Kanan Kerja Raya Kerajaan Perikatan Nasional, yang turut menyebut dalam ucapan perbahasan beliau pada 16 Julai 2019 ini:

(1) ‘Saya hendak mencadangkan pada kerajaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan hanya mengumumkan penguatkuasaan ini setelah Menteri ataupun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bila semua technicalitiestelah pun diselesaikan, apa yang saya katakan legal technicalities tadi iaitu pindaan kepada undang-undang yang berhubung kait dengan untuk menurunkan umur 18 tahun, automatic registration dan juga kepada kelayakan menjadi calon di peringkat pilihan raya.’

(2) ‘Sistem di antara polis, KDN, SPR, Jabatan Penjara dan juga Jabatan Pendaftaran Negara perlu synchronize supaya mereka boleh berhubung antara satu sama lain, supaya siapa-siapa yang tidak layak untuk menjadi pengundi boleh dikeluarkan ataupun ada sistem untuk alert.’ 

(3) ‘Kalau ini semua dapat diselesaikan, barulah penguatkuasaan ini boleh kita laksanakan. Kalau tidak ianya akan menimbulkan banyak permasalahan lain kepada sistem. Hasrat baik ini nanti akan menimbulkan kepada suatu yang hasilannya tidak baik.’

Begitupun, di sebalik ‘reservation’ dan ingatan ini bila Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, mengumumkan bahawa jangkaan perlaksanaannya kini berubah kepada ‘selepas 1 September 2022’ peliknya Datuk Takiyuddin Hassan menjadi mangsa terbesar kecaman.

Datuk Takiyuddin Hassan disifatkan sebagai penipu manakala Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Kerajaan Perikatan Nasional pula tidak semena-mena dilabelkan sebagai kerajaan pengecut yang kononnya takut untuk berhadapan dengan pengundi muda.

Walhalnya, pemimpin Pakatan Harapan pun sebenarnya tahu, dan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun, sendiri pun berkali-kali mengakui, kesukaran untuk melaksanakannya, malah mereka sendiri tidak berbuat apa-apa sehinggalah kerajaan mereka tumbang.

Perkara ini pula berada di bawah SPR, dan mempertikaikan secara berlebihan keputusan SPR dalam perkara ini adalah umpama mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja yang melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang Ahlinya.

Sebab itulah, pada hemat saya, Undi18 ini sebenarnya adalah umpan politik para pemimpin Pakatan Harapan semata-mata bagi menunjukkan kononnya mereka telah menunaikan janji-janji pembaharuan undang-undang yang terkandung di dalam Manifesto Pakatan Harapan. 

Sebab itulah juga, pada hemat saya, Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku biografi beliau sudah menyifatkan kelulusan pindaan Perlembagaan ini sebagai ‘satu kemenangan’ untuk Kerajaan Pakatan Harapan kerana yang dipentingkan adalah ‘kemenangan’ semata-mata.  – HARAKAHDAILY

Ismail Sabri, Dr Adham antara menteri UMNO bertemu PM di Perdana Putra

Bernama
Ismail Sabri, Dr Adham antara menteri UMNO bertemu PM di Perdana Putra
Antara menteri yang dilihat keluar dari bangunan itu selepas bertemu 
Muhyiddin ialah Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera. - Gambar
 fail/ Bernama
 
PUTRAJAYA: Beberapa menteri daripada UMNO mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini petang tadi.
 
Pertemuan itu difahamkan bermula pada 5.30 petang dan berlangsung lebih sejam.
 
Kenderaan yang membawa menteri terbabit dilihat mula keluar meninggalkan perkarangan kompleks Pejabat Perdana Menteri pada 6.45 petang.
 
Antara menteri yang dilihat keluar dari bangunan itu ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong.
 
Kenderaan membawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut dilihat meninggalkan kawasan itu.
 
Usaha media yang menunggu di pintu masuk kompleks Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan butiran pertemuan itu tidak membuahkan hasil selepas semua menteri berkenaan tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap dengan pemberita.
 
Semalam, Perhimpunan Agung UMNO 2020 di ibu negara mengambil ketetapan untuk memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
 
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan parti yang menghadiri perhimpunan tersebut.
 
Perhimpunan tahunan itu turut meluluskan usul ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.
-- BERNAMA

Hubungan UMNO-Bersatu: Amaran awal sudah saya berikan - Tun M

Abd Hadi Che Awang
Hubungan UMNO-Bersatu: Amaran awal sudah saya berikan - Tun M
Dr Mahathir ketika mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, 
Langkawi pada Selasa. -Astro AWANI
 
LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau telah memberikan amaran awal kepada kepimpinan parti itu mengenai kesan kerjasama dengan UMNO sebelum ini.
 
Jelasnya, adalah tidak mudah bagi Bersatu sebagai sebuah parti baharu menjalinkan hubungan dengan sebuah parti yang kuat dan telah lama bertapak di negara ini.
 
Namun, menurut beliau, perkara berkenaan tidak diambil peduli dengan kebanyakan pemimpin di dalam Bersatu menyatakan mampu menangani sebarang masalah berbangkit susulan kerjasama tersebut.
 
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau turut ditawarkan untuk mengetuai gabungan baharu berkenaan namun terpaksa menolak atas prinsipnya yang tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana individu yang dihadapkan ke mahkamah.
 
"Waktu itu (sekitar penghujung Februari 2020), ada juga cadangan hendak lantik saya jadi Perdana Menteri dalam gabungan baharu.
 
"Saya kata tidak boleh hendak bekerjasama dengan orang yang dihadapkan ke mahkamah, dan saya bagi amaran bukan senang bagi Bersatu hendak bekerjasama dengan UMNO.
 
"UMNO lebih kuat dari Bersatu dan Bersatu parti baharu, jadi mereka kata boleh tangani masalah.
 
"Sekarang ini kita lihat, UMNO tidak mahu Bersatu, dan dia pun ada masalah dengan parti lain. Parti PAS juga ada masalah," kata Dr Mahathir.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.
 
Terdahulu, usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir pada Ahad.
 
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas menggulung perbahasan, berkata perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

UMNO perlu belajar hormat rakan komponen

Datuk Sivarraajh Chandran
UMNO perlu belajar hormat rakan komponen
Kepimpinan tertinggi UMNO diingatkan supaya jangan terlalu sombong dan 
syok sendiri. - Bernama
 
SAYA terbaca kenyataan Ketua Puteri UMNO Sungai Siput yang meminta agar Parlimen Sungai Siput diserahkan kepada UMNO kerana calon-calon MIC sebelum ini kalah untuk tiga kali berturut-turut.
 
Pertama saya ingin mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO supaya berhenti menggunakan taktik 'baling batu, sembunyi tangan' seperti ini.
 
Jika kamu tidak berpuas hati dengan MIC, anda boleh bercakap terus terang dengan kami.
 
Tidak perlu menghantar wakil bercakap tentang perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi soal Parlimen Sungai Siput yang merupakan kerusi tradisi Presiden MIC.
 
Jangan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN diam seribu bahasa, tapi di luar menghantar orang untuk membuat kerja-kerja yang memalukan sebegini.
 
Jangan sombong
 
Kedua saya juga ingin mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO supaya jangan terlalu sombong dan syok sendiri. Berhenti dahulu perangai hendak meminta semua kerusi untuk bertanding seolah-olah kamu boleh menang di semua tempat.
 
Kepimpinan tertinggi UMNO perlu belajar menghormati rakan-rakan komponen. MIC dan MCA setia bersama UMNO dalam BN sejak penubuhan lagi. MIC mahupun MCA tidak pernah lari daripada UMNO atau BN sewaktu susah.
 
Susah atau senang, MIC dan MCA tetap bersama BN. Apa yang pimpinan UMNO susah sangat hendak faham soal hormat-menghormati antara rakan-rakan komponen?
 
Pada asalnya kamu yang mahu berkerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN).
 
Kemudian apabila kerjasama itu tidak menepati kemahuan, kamu bergaduh pula dengan mereka tanpa berbincang dengan kami. Bila perbincangan kerusi dengan mereka tidak menepati kemahuan, kini kamu mahu mengambil kerusi-kerusi tradisi rakan komponen pula.
 
Kenapa tidak berani berbincang soal ini dalam Majlis Tertinggi BN?
 
Kamu mahu BN bersama kamu. Bukan main lagi memuji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung UMNO 2020 di atas kesetiaan dan sebagainya tetapi tidak sampai dua hari kemudian, kamu hendak menikam rakan komponen? Selesaikan dahulu masalah dalaman kamu sebelum campur tangan dalam hal ehwal rakan komponen.
 
Tanya UMNO
 
Kalau hendak dikatakan rakan-rakan komponen tidak bertolak ansur dengan UMNO, saya mencadangkan kita bertanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'mengapa' dan 'untuk selamatkan siapa' apabila MIC melepaskan kerusi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tempoh hari?
 
Untuk selamatkan saya atau untuk selamatkan satu-satunya kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN ketika itu? Cuba jawab Presiden UMNO.
 
Kalau diikutkan logik kenyataan tersebut, sepatutnya Cameron Highlands pun dipulangkan semula kepada MIC.
 
Saya menang Parlimen Cameron Highlands pada PRU14. Calon-calon MIC sebelum saya juga tetap menang. Kenapa selepas PRK Cameron Highlands tempoh hari, UMNO mahu mengekalkan Cameron Highlands sebagai kerusi UMNO walaupun pada asalnya perjanjiannya adalah hanya untuk 'meminjam'?
 
UMNO harus menghargai pengorbanan kami, walaupun semasa pembentukan Kabinet di bawah PN tahun lalu, Presiden UMNO tidak membawa nama MIC untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Senator selain hanya mencadangkan pemimpin UMNO untuk dilantik sebagai ahli Kabinet dan Senator.
 
Adakah Presiden UMNO boleh menafikan perkara ini?
 
 
Bagaimanapun, atas dasar perjuangan BN, kami masih setia dengan UMNO sehingga hari ini. Jangan beranggapan kesetiaan parti-parti komponen ini membuta tuli.
 
Kami setia bersama kamu dalam BN. Belajar untuk menghormati Perlembangaan BN dahulu. Belajar untuk menghormati prinsip hormat-menghormati antara rakan komponen yang terkandung dalam Perlembagaan BN.
 
Jangan anggap MIC atau MCA hanya sekadar menjadi 'pak turut'. Kesetiaan kami pun ada hadnya.
 
Jawab dahulu persoalan yang dibangkitkan Presiden MIC. Siapakah calon Perdana Menteri BN untuk PRU 15? Tetapkan jawapan untuk soalan ini terlebih dahulu sebelum kamu hendak menyentuh hal ehwal rakan komponen dan berunding kerusi-kerusi komponen bagi pihak MIC dan MCA.
 
Jangan anggap semua perkara perlu dan akan berlaku berdasarkan kemahuan anda semata-mata. Seperti mana kamu berhak untuk mengambil keputusan demi parti kamu, kami juga berhak untuk mengambil keputusan demi parti kami. Tidak semestinya kedua-dua keputusan itu sama.
 
Hormat rakan komponen terlebih dahulu jika mahu rakan komponen menghormati kamu. Jika UMNO merasakan mereka terlalu kuat dan tidak memerlukan sokongan rakan-rakan komponen, baiklah bertanding pada PRU15 nanti dengan memakai lambang mereka sahaja.
 
Tidak perlu lagi bertanding sebagai BN.

* Penulis adalah Naib Presiden MIC.

Undi18: Jangan halang hak anak muda mengundi - Tengku Razaleigh

Irwan Muhammad Zain
Undi18: Jangan halang hak anak muda mengundi - Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh menyanggah pandangan sesetengah pihak yang beranggapan 
bahawa mereka yang berusia 18 tahun belum matang untuk turut serta dalam 
menentukan kepimpinan negara. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar anak muda yang berusia 18 tahun dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
 
Beliau membuat gesaan itu kerana ia sejajar dengan pindaan Perlembagaan yang dilakukan untuk membolehkan golongan tersebut terlibat dalam proses demokrasi negara.
 
Tengku Razaleigh menyanggah pandangan sesetengah pihak yang beranggapan bahawa mereka yang berusia 18 tahun belum matang untuk turut serta dalam menentukan kepimpinan negara.
 
"Saya percaya mereka yang berumur 18 tahun sudah dewasa kiranya dan mereka tahu apa akibatnya kalau tidak membuat keputusan yang bijak. Saya percaya mereka akan membuat keputusan yang bijak.
 
"Jadi peraturan benarkan umur 18 tahun mengundi ini kita tentukan dalam Perlembagaan, kita bersusah payah melobi, buat penerangan dan sebagainya untuk meminda Perlembagaan untuk bagi hak mengundi.
 
"Sekarang ini tidak mahu bagi pula? Ini pada saya satu tapak nak maju, dua tapak nak ke belakang. Saya rasa tak patut, mereka sudah sah kita beri hak, sepatutnya tidak halang mereka untuk mengundi," katanya kepada Astro AWANI.
 
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai had umur mengundi yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2010 dan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019.
 
Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
 
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menasihati semua pihak agar memberikan masa dan ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan penurunan had usia undi minimum pada usia 18 tahun.
 
Jelasnya, terdapat beberapa prosedur yang masih perlu diselesaikan termasuk berkaitan kawasan mengundi yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

UMNO Sabah-Bersatu belum mula runding kerusi PRU15

Radhi Muslim

UMNO Sabah-Bersatu belum mula runding kerusi PRU15
Ronald berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga belum dimulakan buat 
masa ini, namun rundingan akan dimulakan jika ada keperluan. - Gambar fail
 
BELURAN: Pembahagian kerusi Parlimen antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO Sabah belum dimulakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga belum dimulakan buat masa ini, namun rundingan akan dimulakan jika ada keperluan.
 
"Kita sedang dalam darurat sehingga 1 Ogos... Rundingan belum bermula tetapi jika ada keperluan tentu akan dibuat mengikut keperluan," katanya pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin, di sini, pada Selasa.
 
BACA: UMNO Sabah terus pertahan kerajaan GRS - Bung Mokhtar
BACA: Pertahan GRS: Bersatu Sabah puji pendirian Bung Moktar
BACA: Kenapa Bersatu dijadikan "punching bag" UMNO? - Ronald Kiandee
 
Terdahulu, UMNO Sabah dan Bersatu mengambil keputusan mengekalkan kerjasama melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun selepas PRU15 yang dijangka bakal diadakan tahun ini.
 
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan mengulangi pendiriannya untuk terus mempertahankan kerajaan GRS.
 
Beliau berkata, sebarang pergolakan politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia tidak akan memberi kesan kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri ini.

‘Kita tak boleh terus begini’, Khairy beritahu Umno

Staff Writers   MALAYSIA NOW

Gesaan Khairy itu dilihat sependapat dengan Annuar Musa, rakan sejawatnya dari Umno dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Khairy Jamaluddin turut mendukung gesaan agar pemilihan Umno diadakan bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang selepas pemimpin parti itu memulakan usaha kerjasama baru bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Dalam sebuah catatan di akaun Instagram, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata bahawa parti Melayu itu hanya boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang di bawah kepimpinan yang memiliki mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat.

“Segerakan pemilihan parti. Lakukan perkara yang betul, Majlis Tertinggi. You know, we cannot continue like this,” katanya dalam tulisan di akaun Instagram.

Gesaan Khairy itu dilihat sependapat dengan Annuar Musa, rakan sejawatnya dari Umno dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Annuar turut menggesa pemilihan parti diadakan sebagai kaedah terbaik bagi melancarkan perjalanan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pada fikiran saya setakat ini kita tidak ada satu sebab pun untuk menangguhkan (pemilihan),” kata Annuar dalam sebuah program bual bicara.

“Katakanlah sekarang (Ahmad) Zahid (Hamidi) mengemukakan satu gagasan untuk bertanding solo, untuk tidak bekerjasama dengan si anu, si anu, si anu.

“Cara terbaik bukan sahaja perwakilan kita yang terdiri daripada pengerusi perhubungan, buat endorsmeent, bagi pada ahli, serah mandat pada ahli,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2020 menyaksikan pemimpin-pemimpin parti itu memberikan sokongan kepada presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa untuk Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN.

Zahid, dan bekas perdana menteri Najib Razak kini mengepalai siri serangan terhadap kerajaan walaupun ada sebahagian pemimpin Umno turut dilantik memegang jawatan kementerian dalam Kabinet PN.

Umno menunda pemilihan pada 2018 sebelum pilihan raya umum yang menyaksikan parti Melayu itu terpaksa menyerahkan pentadbiran kepada Pakatan Harapan (PH).

Pemilihan parti itu kemudian dilaksanakan pada 30 Jun 2018.

Dalam pemilihan tersebut, Zahid mengalahkan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden.

Zahid kemudian “bercuti” selepas beliau dijatuhi pelbagai pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah laku, namun kembali menjalankan tugas sebagai pemimpin utama parti itu selepas enam bulan.

Jawab siapa calon PM BN sebelum ambil kerusi, kata MIC kepada Umno

Staff Writers   MALAYSIA NOW

Umno dianggap membelakangi MIC dalam keputusan-keputusan politik gabungan politik Barisan Nasional.

Belum selesai kemelut dalaman yang melanda Umno, kini parti itu dipersoalkan rakan komponen Barisan Nasional (BN), MIC, kerana membelakangi mereka dalam banyak keputusan selain menggesa parti Melayu itu menamakan siapa calon perdana menteri gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Naib Presiden MIC Sivarrajah Chandran mengingatkan pimpinan tertinggi Umno supaya jangan terlalu sombong dan “syok sendiri” sehingga boleh meminta semua kerusi termasuk kerusi tradisi parti itu untuk ditandingi mereka.

“Jawab dulu persoalan yang dibangkitkan oleh presiden MIC. Siapakah calon perdana menteri Barisan Nasional untuk PRU 15?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Tetapkan jawapan untuk soalan ini terlebih dahulu sebelum kamu hendak menyentuh hal ehwal rakan komponen dan berunding kerusi-kerusi komponen bagi pihak MIC dan MCA.”

Sebelum ini Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, salah satu masalah yang perlu diselesaikan jika BN ingin bertarung bersendirian pada pilihan raya umum akan datang adalah siapa yang akan menjadi calon perdana menteri.

“Jika kamu akan berperang, kamu memerlukan kapten.

“Wajah siapa yang akan menghiasi poster untuk BN? Ini perlu diselesaikan. Kita tidak boleh bertanding pilihan raya dengan bendera tanpa kapten,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini semalam.

Semalam, Ketua Puteri Umno Sungai Siput Norazura Abdul Karim berkata sudah sampai masanya MIC memberi laluan kepada partinya untuk bertanding di kerusi kerusi Parlimen Sungai Siput.

Sungai Siput merupakan kerusi tradisi MIC yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

Norazura berkata demikian susulan kegagalan MIC untuk merampas kerusi Sungai Siput di Perak bagi tiga pilihan raya umum (PRU) berturut-turut sejak 2008.

Sivarrajah berkata, Umno perlu belajar menghormati rakan-rakan komponen dalam BN.

“Bukan main lagi puji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung Umno diatas kesetiaan dan sebagainya.

“Tapi tak sampai dua hari kemudian, kamu hendak ‘tikam’ rakan komponen sebegini?” katanya.

SPRM enggan bertindak, RCI perlu untuk siasat ‘kartel polis’, kata Guan Eng

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan 
kewujudan sekumpulan pegawai polis yang membentuk sebuah kartel 
bagi mendominasi pasukan polis demi kepentingan mereka sendiri.

PETALING JAYA: DAP menyeru agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan “kartel polis” ekoran keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas isu itu.

Setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, penubuhan RCI diperlukan bagi mencari punca masalah itu dan “membersihkan pasukan polis”.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador mendedahkan kewujudan sekumpulan pegawai polis lebih muda yang membentuk sebuah kartel bagi mendominasi pasukan polis dan menjatuhkan beliau demi kepentingan mereka sendiri.

Susulan itu, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata, agensi itu tidak bercadang menyiasat isu itu kerana ia masalah dalaman polis.

Lim menyifatkan rasional Azam bagi tidak membuat siasatan sebagai “aneh dan tidak masuk akal”.

“Rasuah bukanlah masalah dalaman yang harus diselesaikan secara dalaman tetapi jenayah yang mesti diselesaikan secara terbuka di mahkamah.

“Azam perlu tahu bahawa amalan terbaik antarabangsa terhadap rasuah, memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan dan bukannya siasatan dalaman yang cenderung untuk meminimumkan atau menutup kesalahan yang berlaku,” kata beliau.

Mengikut logik Azam, kata Lim, SPRM tidak perlu menyiasat dan menahan pegawai polis atas rasuah, memandangkan ia dapat diselesaikan secara dalaman.

“Apakah keadaan yang menjadikan pelakuan rasuah satu masalah dalaman dan siapa yang memutuskan sama ada ia dapat diselesaikan secara dalaman?” soal beliau.

Lim menuduh SPRM melepaskan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009, dan berkata, keengganan suruhanjaya itu menyiasat dakwaan Hamid akan mempengaruhi kredibilitinya.

Menteri Umno tak berani letak jawatan, pengecut, tak setia, kata Nazri

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz, mengingatkan menteri Umno
dalam Kabinet PN supaya mempertahankan maruah diri.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Aziz, menyifatkan menteri Umno yang tidak berani meletak jawatan sebagai pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.

Pendapat Ahli Parlimen Padang Rengas itu senada dengan amaran seorang pemimpin tertinggi PPBM terhadap pemimpin Umno yang mengertak atau mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya sokong sepenuhnya seruan Rosol Wahid (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM) supaya menteri, timbalan Umno letak jawatan tanpa letak syarat.

“Kenapa nak cakap kalau disuruh baru nak berhenti? Berhenti sahaja tanpa syarat, tidak susah. Kena dengar suara akar umbi,” kata Nazri kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan Rosol mencabar Umno menarik balik sokongan terhadap PN tanpa syarat.

“Sekarang bukan zaman ugut, seperti yang Tok Mat (Mohamad Hassan) kata, bukan main silat pulut, kita main boh terus. Nak tumbuk, tumbuk jer la, tidak perlu main acah-acah sahaja.

“Ini tidak, ada syarat itu, syarat ini, hendak tarik (sokongan), tarik lah, bukan main gertak sahaja,” kata beliau.

Dalam pada itu, Nazri mengingatkan menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional supaya mempertahankan maruah diri.

Kata beliau, menteri dan timbalan menteri Umno perlu memutuskan sama ada mereka mahu kekal dengan Umno atau bersama PPBM.

“Kalau (mereka) letak jawatan sekarang, tak jejaskan kerajaan sebab darurat.

“Kalau teragak-agak, kita tak setia pada parti dan tiada harga diri. Jangan label diri pejuang kalau tidak berani,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata isu letak jawatan ini tidak perlu timbul kerana kerajaan sekarang hanya “sementara” dan menunggu masa untuk dibubarkan.

“Tidak payah nak bising-bising. Tiba sahaja pembubaran Parlimen, Covid-19 selesai, sudah tentu akan kembalikan mandat pada rakyat,” katanya.

Ahad lalu, Umno dalam perhimpunan agungnya di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dan bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata partinya tidak akan mendukung PN kerana PPBM berniat menghapus dan menggantikan Umno.