AMK cabar kerajaan berhadapan dengan Hindraf secara terbuka
KeADILan
Kuala Lumpur - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) hari ini mencabar kerajaan untuk berhadapan dengan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) secara terbuka tanpa memainkan sentimen perkauman melalui media, sebaliknya menggunakan kebijaksanaan mendahulukan kepedulian rakyat melebihi nawaitu politik perkauman mereka.
Dalam satu kenyataan media AMK yang dikeluarkan melalui Naib Ketuanya, Khairul Annuar Ahmad Zainudin,mengecam keras kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengaitkan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dengan badan-badan pengganas antarabangsa bagi meraih simpati ke atas pergerakan bertubuhan tersebut.
Kenyataan Musa yang mendapat liputan meluas media Umno-BN hari ini adalah satu kenyataan yang menggambarkan betapa polis sudah tidak lagi bertindak sebagai pengawal keamanan rakyat, sebaliknya hanya menjadi alat Umno-BN untuk menakut-nakutkan rakyat daripada realiti permasalahan yang sebenar.
“Kenyataan Musa bersifat terlalu longgar, di saat beliau mengaitkan Hindraf dengan kumpulan pengganas antarabangsa, tetapi tidak menamakan hatta satu pun kumpulang pengganas yang berhubungkait dengan Hindraf,” jelas Khairul.
Khairul menambah, AMK akui bahawa sebahagian tuntutan Hindraf adalah keterlaluan, tetapi strategi Umno-BN menggunakan polis untuk berhadapan dengan mereka menggunakan kecaman dan tuduhan seumpama ini adalah satu tindakan pengecut.
“Hak Hindraf untuk berhimpun secara aman adalah sah di sisi perlembagaan, pun begitu sanggahan Hindraf ke atas Islam dan Artikel 153 adalah keterlaluan.
“Wajar difahami oleh Hindraf, kemelut ekonomi yang melanda rakyat bukanlah berpunca daripada Melayu dan Islam, sebaliknya inilah akibat dasar yang pro kapitalis amalan BN,” tambah beliau.
Ini menurut Khairul, ditambah dengan pengurusan ekonomi yang lemah, rakyat kini cuba dialunkan dengan lagu perkauman untuk meraih kembali sokongan politik yang kian terhakis di kalangan rakyat menjelang Pilihanraya Umum yang hanya menanti ilham Perdana Menteri.
AMK kekal menyatakan prinsip untuk mengangkat perjuangan rakyat yang tertindas, dalam keadaan realiti sebenar hubungan kaum di Malaysia ini tidaklah separah yang digambarkan media Umno-BN, sebaliknya yang cuba disembunyikan adalah penderitaan rakyat bawahan tanpa mengira agama dan bangsa, katanya.
“AMK dengan ini menggesa pihak polis bertindak secara profesional dengan berhadapan dengan Hindraf, tanpa perlu mengikut telunjuk politik Umno-BN,” tegas Khairul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan