Hati-hati memandu, tanah runtuh di Lebuhraya Timur-Barat
JELI: Pengguna Lebuhraya TimurBarat dinasihatkan berhati-hati ketika melalui jalan itu berikutan terdapat beberapa kejadian tanah runtuh kecil di sepanjang Jeli-Pergau sejak semalam.
Tinjauan Bernama di Jalan Jeli-Gerik mendapati sekurang-kurang lima kejadian tanah runtuh kecil berlaku dan pengguna perlu berhati-hati ketika melalui Kilometer 123 dan 124 Lebuhraya Timur-Barat memandangkan laluan itu hanya boleh dilalui satu lorong sahaja.
Syarikat yang dipertanggungjawabkan menyelenggara lebuh raya itu, Belati Wangsa Sdn Berhad sedang sibuk membersih laluan yang terjejas dengan tanah rumah itu.
Selain itu, Bernama juga mendapati berlaku beberapa kejadian pokok tumbang di laluan yang sama dengan kejadian tanah runtuh yang boleh membahayakan pengguna terutama pada waktu malam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim meminta pengguna jalan raya supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli atau Gerik untuk mendapat maklumat lanjut.
Beliau berkata jika boleh, pengguna harus elakkan melalui jalan itu pada waktu malam disebabkan cuaca yang gelap dan membahayakan keselamatan pengguna.
"Hujan yang berterusan di kawasan pedalaman Jeli itu menyebabkan jalan-jalan kampung mengalami kerosakan dan berlopak, pengguna diminta tidak memecut laju kenderaan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Jalan Rantau Panjang-Jeli kini ditutup kepada semua lalu lintas apabila air naik setinggi satu meter di Kampung Lalang Pepuyu sejak awal hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan