HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Disember 2007

Monsoon Cup: Belanja besar, manfaat untuk rakyat tiada
Suhaimi al-Maniri

Ahad 2 Disember 2007 merupakan hari terakhir Monsoon Cup edisi ke-3 yang diadakan sejak minggu lepas bermula 28 November 2007.

Seperti tahun 2006, saya tidak balik ke Kuala Terengganu kerana program ini. Saya diberitahu, tahun ini pun tidak ramai yang hadir. Pada saya cukuplah sekali bawa anak-anak ke dataran Syahbandar di hadapan Pejabat Pos dan Istana Maziah, Kuala Terengganu pada tahun 2005, yakni pertama kali diadakan.

Pada tahun tersebut tidak ada rakyat Terengganu yang hendak tengok program yang menelan belanja ratusan juta itu. Seorang pak cik memberitahu saya, tengok perlumbaan motor penambang zaman dulu-dulu sempena pertabalan Sultan Terengganu lagi meriah.

Malah katanya perlumbaan rakit berhias dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu sempena 700 tahun penemuan Batu Bersurat yang dianjurkan oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 2003 lalu lagi meriah.

Saya diberitahu, Monsoon Cup telah dijadikan agenda terpenting kerajaan Islam Hadhari Terengganu Bestari. Jabatan hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) juga telah menyediakan khutbah jumaat menyeru rakyat percaya Monsoon Cup ini tidak bercanggah dengan Islam dan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Terengganu.

Saya tertarik rencana dalam akhbar Berita Harian bertarikh 21 November 2007 oleh Kamal Ahmad bertajuk Monsoon Cup jana ekonomi Terengganu.

Monsoon Cup jana ekonomi Terengganu?

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Terengganu, Dato' wan Hisham Wan Salleh yang juga Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, syarikat yang diberikan hak penganjuran ekslusif Monsoon Cup berkata projek Kelab Teluk Warisan (HBC) dan Monsoon Cup telah berjaya mempromosi Terengganu ke seluruh dunia.

Saya bukan pakar ekonomi. Tetapi saya tahu menguruskan perrniagaan. Saya yakin dan percaya Wan Hisham seorang kontraktor sebelum ini pasti tidak akan melabur ratusan juta ringgit setahun hanya untuk mendapat pendedahan media sahaja.

Tapi inilah yang berlaku bagi penganjuran monsoon cup ini. Dengan meleburkan duit rakyat Terenganu ratusan juta setahun, dilaporkan hasil yang negeri Terengganu dapat adalah pendedahan media bernilai RM 73 juta (2005), RM 123 juta (2006), RM 150 juta (2007) dan disasarkan RM 200 juta pada tahun 2008.

Sebelum ini pada 29hb Mac 2007, akhbar-akhbar tempatan terutama News Strait Times (saya tak pasti Utusan Malaysia dan Berita Harian ada melaporkan atau tidak, sebab saya tak baca) melaporkan ‘Monsoon Cup 2006 Event Valuation Report’, maknanya Laporan Penilaian Acara Monsoon Cup 2006, bukannya satu Laporan Kewangan!

Kenyataan ini menyebut nilai, bukan jumlah sebenar yang diterima. "Nilai ketara berjumlah RM277,630,300, manakala nilai tidak ketara pula ialah RM37,365,611. Jika ditolak kos penganjuran acara itu sebanyak RM20,067,997, nilai acara yang diaudit mencapai jumlah RM294,927,920."

Juga di sebut sebagai "Penilaian kasar Media TV mencatat peningkatan sebanyak 69 peratus (RM111,643,728), manakala jumlah kehadiran pengunjung sebanyak 35 peratus membabitkan kehadiran 33,700 orang."

Dari sumber lain berhubung dengan laporan kewangan dengan jelas menyatakan masalah akaun penerimaan dan pembayaran penganjuran Monsoon Cup 2005 dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung.

Ia dinyatakan dengan jelas didalam mukasurat 35, Laporan Ketua Audit Negara Didalam Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu 2005 seperti dibawah; b) Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup Negeri Terengganu Dan Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung.

Kedua akaun amanah ini ditubuhkan pada awal September 2005. Akaun Amanah Program Penganjuran Monsoon Cup bertujuan untuk mengakaunkan pembiayaan program penganjuran sukan kapal layar yang dikenali sebagai Monsoon Cup Negeri Terengganu yang akan diadakan setiap tahun.

Manakala Akaun Amanah Projek Pembangunan Pulau Duyung pula adalah untuk mengakaunkan perbelanjaan bagi projek pembangunan Pulau Duyung Negeri Terengganu. Kedua akaun ini dikawal oleh Pegawai Kewangan Negeri.

Sumber utama akaun ini adalah melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan. Mengikut arahan amanah, penyata penerimaan dan pembayaran tahunan hendaklah dikemukakan untuk diaudit tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun. Semakan Audit mendapati perkara seperti berikut:

i) Penyata Penerimaan Dan Pembayaran kedua-dua akaun tersebut secara terperinci tidak dikemukakan untuk diaudit.

ii) Kedua-dua akaun amanah tersebut telah ditubuhkan mengikut Seksyen 9, Akta Acara Kewangan 1957. Akaun amanah ini sepatutnya ditubuhkan di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan kerana sumbernya adalah wang kerajaan. Mengikut penjelasan daripada pihak Perbendaharaan Negeri, perkara di atas berlaku kerana ia tidak melibatkan wang Kerajaan Negeri dan penubuhan akaun ini bertujuan untuk mengakaun sementara terimaan daripada Kerajaan Persekutuan sebelum dibayar kepada Agensi Negeri dan syarikat yang melaksanakan aktiviti tersebut.

iii) Tidak semua perbelanjaan berkaitan diakaunkan terutamanya perbelanjaan yang dibuat di peringkat Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat.

Manakala Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan Integriti yang dipengerusikan oleh Wan Hashim Wan Teh, Ahli Parlimen Grik bersetuju Monsoon Cup ini membazir dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat. - buletinonline.net

Tiada ulasan: