HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Disember 2007

Mengapa Pemuda Umno tak desak MIC nyatakan pendirian?
Harakahdaily- Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat para pemimpin Pergerakan Pemuda Umno cuba menutup kedayusan sendiri apabila terus cuba mengaitkan pembangkang sebagai dalang kepada perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) di ibu negara, Ahad lalu.

Sedangkan di masa sama rakyat negara ini dihidangkan dengan berbagai maklumat betapa suara dan pandangan yang seakan menyetujui perhimpunan tersebut turut datang daripada beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Bahkan, pendedahan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan MIC agar menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji tuntutan dan pelbagai masalah yang membelenggu masyarakat India negara ini mengukuhkan lagi tanggapan umum bahawa parti itu seakan 'merestui' apa yang diperjuangkan Hindraf.

Akhbar-akhbar harian, Jumaat (30 November) menyiarkan dakwaan Samy Vellu bahawa pihaknya telah diarahkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menubuhkan jawatankuasa khas tersebut. Menurut Presiden MIC itu, Abdullah mahu jawatankuasa itu menyediakan laporan lengkap mengenai tuntutan masyarakat India untuk dipertimbangkan kabinet.

Kata Samy Vellu lagi, arahan itu dikeluarkan Abdullah dalam pertemuan antara mereka berdua Rabu lalu. Beliau turut mendakwa telah membangkitkan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India, termasuk peluang pekerjaan di sektor awam, pendidikan dan pembinaan kuil.

Sudah barang tentu, jika ditanya apakah tuntutan dibuat MIC itu ada hubungkait atau turut mengambilkira apa yang dikemukakan Hindraf, tidak akan ada mana-mana pemimpin MIC mengakuinya.

Namun, apakah semudah itu untuk rakyat negara ini percaya betapa arahan Abdullah kepada Samy Vellu itu hanya secara kebetulan dibuat Rabu lalu, iaitu selepas tiga hari Hindraf berhimpun?

Apakah Pemuda Umno terlepas pandang untuk mewujudkan persamaan antara beberapa perkara yang dilaungkan Hindraf dengan apa yang dikemukakan MIC kepada PM?

Perlu diingat, kita bercakap bukan atas dasar perkauman. Kita juga bukan mahu mempertikaikan apa-apa yang dituntut MIC, mahu pun Hindraf. Persoalan utama di sini ialah tentang sikap Pemuda Umno yang terus-terusan cuba mengheret pembangkang dalam setiap tuntutan rakyat yang gagal dipenuhi kerajaan.

Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dipetik akhbar Jumaat (30 November) mencabar pembangkang supaya menyatakan pendirian mereka terhadap tindakan Hindraf Ahad lalu. Beliau tanpa selindung mendakwa Hindraf didalangi oleh pembangkang.

"Tidak mungkin Hindraf dapat bergerak kalau tidak ada dalang di belakang, yang ada kepentingan politik yang nazak dan tiada modal lain sehingga sanggup mewujudkan suasana yang kucar-kacir," dakwanya.

Untuk itu Hishammuddin mendesak parti-parti pembangkang yang sebelum ini menegaskan tidak terlibat dengan penganjuran perhimpunan Hindraf agar membuat pendirian.

"Nyatakan sama ada dia (pembangkang) setuju atau tidak dengan perkara itu," katanya.

Soalnya, mengapa desakan serupa tidak diajukan kepada parti kerabat BN yang dilihat berkongsi sebahagian tuntutan Hindraf itu?

Sebenarnya pendirian MIC telah dapat dibaca sedari awal. Bahkan, apabila isu perhimpunan Hindraf dibangkitkan di Dewan Rakyat, seorang wakil MIC turut meluahkan simpati. Isnin lalu, K. Devamany (BN-Cameron Highlands) mencelah semasa sessi soal jawab apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Abdul Rahman Suliman sedang menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Lim mendakwa demonstrasi anjuran Hindraf Ahad lalu ialah luahan rasa tidak puas hati masyarakat India negara ini dan bertanya adakah itu menandakan kerajaan gagal mengagihkan kekayaan negara secara adil.

Apabila Abdul Rahman menjelaskan bahawa kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum, Devamany bangun dan mencelah: "Tetapi 50,000 orang telah berhimpun di sana. Itu membuktikan kegagalan (kerajaan). Oleh itu saya rasa isu ini patut dilihat secara serius."

Dalam konteks perbahasan yang dibangkitkan Lim ketika itu, kenyataan wakil MIC itu disifatkan sebagai menyokong Hindraf. Tanggapan itu diperjelaskan lagi dengan reaksi spontan beberapa wakil BN di Dewan Rakyat.

Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz menyelar kenyataan wakil MIC itu dan menjanjikan tindakan sewajarnya. Nazri, yang dipertanggungjawabkan menangani hal ehwal parlimen, mengibaratkan tindakan Devamany itu seperti Robin Hood. Meski pun dia dianggap hero kerana merompak orang kaya dan memberi kepada orang miskin, tetapi dia tetap melanggar undang-undang.

"Patutkah kita menggalakkan rakyat menjadi popular di kalangan masyarakat (kaum) tertentu dengan melanggar peraturan?" kata Nazri.

Baginya, Devamany telah melanggar peraturan apabila menyifatkan kerajaan telah gagal menangani permasalahan dihadapi masyarakat India negara ini.

Amat mengejutkan, kecaman wakil-wakil BN lain itu bagaimana pun tidak disertai para pemimpin utama MIC. Sebaliknya Presiden dan Setiausaha Agung parti itu tampil mempertahankan apa yang dibangkitkan wakil mereka itu.

Bahawa apa yang disuarakan Devamany itu adalah hasrat yang sememangnya diperjuangkan MIC. Ia adalah untuk kebaikan masyarakat India dan bukan bermaksud mencabar pendirian kerajaan.

MIC nampaknya tidak kisah langsung sekali pun kenyataan wakilnya itu begitu mudah dikaitkan dengan apa yang dilakukan Hindraf sehari sebelumnya. Parti itu boleh menafikan keterlibatannya dengan Hindraf. Tidak mustahil ia boleh membuktikan hakikat itu.

Bagaimana pun, MIC tidak dapat menolak hakikat bahawa sebahagian tuntutan Hindraf adalah juga menjadi tuntutan MIC. Paling tidak kita boleh katakan bahawa MIC telah menangguk di air keruh. Ia mengambil kesempatan di atas kegawatan dicetuskan Hindraf untuk mendesak dan menekan kerajaan agar memenuhi tuntutan masyarakat India.

Sepatutnya, Pemuda Umno tidak buat-buat terlepas pandang hakikat tersebut. Tidak juga terhadap tindakan seorang Anggota Exco Pulau Pinang yang mengutus surat kepada sebuah laman web propembangkang mempertikaikan tindakan kerajaan yang tidak membenarkan perhimpunan oleh Hindraf itu diadakan.

Mana suara Pemuda Umno untuk sekurang-kurangnya menegur sikap dan pendirian rakan-rakan dari kerabat BN itu? Apakah mereka hanya mahu menunjukkan jagoan dengan mendesak pembangkang dan tidak berani menyentuh rakan kongsi sendiri?

'Kuman di seberang sungai mereka nampak, gajah di depan mata tidak nampak'. Kentut orang rumah sebelah dia boleh dengar, tempik sorak orang dalam rumah sendiri dia tak dengar?

Ataukah Pemuda Umno sengaja buat-buat tak nampak dan tidak dengar? Jangan-jangan mereka itu memang buta dan pekak badak, kot!

Tiada ulasan: