Tengku Adnan makin gelisah, Khairi tanding Putrajaya?.
Tarmizi Mohd Jam.
KUALA LUMPUR (Hrkh) -Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Mansor makin gelisah dan menafikan sekeras-kerasnya beliau akan digugurkan dari menjadi calon di kawasan itu dalam pilihan raya umum ke-12 nanti, ekoran tersebarnya khabar angin kononnya Putrajaya akan ditandingi oleh menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.
Menurut Yang Dipertua PAS Putrajaya, Ustaz Mohd Nazir Zakaria, beberapa tekanan yang diberikan oleh Perdana Menteri agar Tengku Adnan bekerjasama penuh dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap isu penyelewengan klip video Tourisme serta isu klip video konspirasi hakim yang sedang disiasat Suruhanjaya Siasatan Diraja, membuktikan terdapatnya usaha untuk "menyingkirkan" beliau.
Tengku Adnan katanya, makin kelam-kabut dengan membuat percubaan berani mengelak dari dituduh terlibat dalam konspirasi hakim yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Diraja, dengan mendakwa VK Linggam sebagai mabuk dan gila, dan beliau sendiri tidak tahu kenapa namanya disebut dalam perbualan itu.
Mohd Nazir percaya, Khairy sedang berusaha untuk bertanding di Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang dan keadaan ini makin menyulitkan Menteri Pelancongan itu.
Putrajaya, jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu, akan dijadikan pangkalan Khairy untuk mensasarkan target politiknya dalam kabinet mertuanya, Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum ke-12 nanti.
"Kalau Khairy tak rebut sekarang, peluang ini mungkin tak akan datang lagi. Tengku Adnan sudah dipalit kotor. Saya percaya, peluang ini sedang digunakan Khairy untuk melobi bertanding di sini," tegas beliau ketika dihubungi.
Sebelum ini, PAS Putrajaya dalam kenyataannya tidak menolak kemungkinan Naib Ketua Pemuda Umno itu akan bertanding di Putrajaya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan