Cabaran terbuka buat menantu PM bertanding di Parlimen Seremban.
Wan Nordin Wan Yaacob.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dicabar secara terbuka bertanding di Parlimen Seremban oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin dalam satu surat terbukanya hari ini.
Menurut Badrul Hisham, angin pilihan raya semakin terasa, namun seperti biasa dalam pengamalan sistem demokrasi 'ala Malaysia' rakyat dan parti pembangkang cuma mampu berteka-teki tentang tarikh pilihan raya.
Pilihan raya kali ini dijangka akan menjadi yang terhebat dan paling kotor dalam sejarah negara, katanya.
Dalam surat terbukanya Badrul Hisham berkata, seperti diketahui umum Khairy cuba menonjolkan diri sebagai watak penting dalam percaturan BN kali ini.
Umum juga mengetahui bagaimana Khairy menggunakan kedudukan selaku menantu Perdana Menteri untuk meraih keuntungan politik dan kewangan, katanya.
"Kini saudara (Khairy) menjadi jutawan muda paling berkuasa dalam negara. Saudara juga sudah tentu menyedari bahawa bapa mertua saudara merupakan Perdana Menteri yang paling lemah pernah negara ini miliki dan kelemahan ini dipergunakan oleh saudara serta teman–teman saudara sepenuhnya untuk meraih keuntungan peribadi," tegasnya.
Justeru dengan rasa rendah diri atas nama tanggungjawab anak muda terhadap negara, Badrul Hisham mencabar Khairy bertanding di Parlimen Seremban dalam Pilihan Raya Umum ke-12 ini.
"Kerusi P128 Seremban, kerusi bandar yang bersifat campuran mungkin menjadi medan sesuai untuk saudara menguji porpulariti dan keangkuhan kenyataan dan tindakan saudara selama ini," ujarnya.
"Dan jika saudara tidak mempunyai keberanian untuk bertemu di kawasan Bandar dan campuran seperti Parlimen Seremban, saya juga bersedia mengikuti saudara ke mana–mana parlimen khususnya dalam Negeri Sembilan," ujarnya.
Badrul Hisham juga mencabar Khairy menasihatkan bapa mertua Naib Ketua Pemuda Umno itu mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal (sekurang kurangnya 60 hari sebelum pilihan raya), katanya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan