Ahli Kabinet bergambar, tanda pilihanraya hampir?
Kuala Lumpur: Semua anggota Jemaah Menteri dijadual mengambil gambar beramai-ramai di Putrajaya esok seolah-olah memberi petunjuk bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
Beberapa anggota Kabinet yang dihubungi Bernama mengesahkan bahawa satu sesi bergambar dijadualkan selepas mesyuarat Kabinet esok tetapi enggan memberikan sebarang butiran mengenainya.
"Kami diberitahu untuk berpakaian kemas bagi menghadiri mesyuarat esok. Lazimnya, ia adalah untuk bergambar beramai-ramai (apabila arahan sedemikian dikeluarkan)," kata seorang menteri yang tidak mahu dikenali semasa dihubungi.
Beliau berkata Menteri-menteri Kabinet kebiasaannya akan berkumpul bagi mengambil gambar beramai-ramai pada permulaan Kabinet baru, apabila ada rombakan Kabinet atau menjelang tempoh tamat penggal (Kabinet).
"Kelihatannya, kita kini sedang menuju ke arah itu (tamat penggal)," katanya.
Seorang lagi menteri, ketika dihubungi, juga bersependapat dengan anggapan umum bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan tidak lama lagi tetapi mengingatkan bahawa ini tidak semestinya bermakna pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat.
"Ia mungkin dalam tempoh seminggu lagi, dua minggu atau bolah jadi sebulan kemudian. Jika saya tidak silap, kali terakhir (pilihan raya) pada 2004, kami bergambar beramai-ramai adalah dua minggu sebelum pilihan raya," katanya.
Seorang penganalisis politik meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja tamat sambutan Tahun Baru Cina - seawal-awalnya pada 13 Feb, berdasarkan angka 13 yang menjadi nombor kesukaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Nombor (plat pendaftaran) keretanya adalah 13. Pilihan raya umum lepas, pada 2004, diadakan pada Rabu, 3-3 (3 Mac). Perhatikan apa sahaja nombor yang ada kaitan dengan nombor tiga," katanya.
Kabinet dijadual bermesyuarat pada 5 Feb (Selasa) dan bukannya pada hari Rabu (6 Feb) sebagaimana lazimnya, kerana hari itu merupakan hari menjelang perayaan Tahun Baru Cina.
Pada pilihan umum 2004, Parlimen dibubarkan pada 4 Mac. Hari penamaan calon adalah pada 13 Mac manakala hari pengundian 21 Mac.
"Persoalannya sekarang adalah sama ada beliau akan membubarkannya sebelum mesyuarat OIC (Pertubuhan Persidangan Islam) atau selepas mesyuarat OIC," katanya.
Abdullah dijadual menghadiri mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan OIC di Senegal pada 8 hingga 12 Mac kerana Malaysia akan menyerahkan jawatan pengerusi OIC.
"Jika pilihan raya diadakan semasa cuti sekolah (cuti penggal pertama sekolah pada 9 hingga 16 Mac), katakanlah pada 9 Mac, beliau tidak akan mempunyai masa untuk membentuk Kabinet sebelum menghadiri mesyuarat OIC," katanya.
"Yang sedemikian, jika beliau mahu mengadakan pilihan raya sebelum mesyuarat OIC, beliau perlu mengadakannya selepas sambutan Tahun Baru Cina. Jika tidak, beliau perlu menunggu sehingga beliau pulang selepas menghadiri mesyuarat OIC," katanya.
Sumber politik berkata semasa ditemuramah oleh saluran televisyen antarabangsa CNN di Davos, Switzerland minggu lepas, Abdullah memberikan bayangan jelas bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.
"Kita akan mengadakan pilihan raya apabila saya fikir semuanya berada dalam keadaan baik dan pada ketika saya fikir rakyat sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya," kata Abdullah dalam temuramah, yang diadakan di luar mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia.
Ramai pemerhati politik menjangkakan bahawa Abdullah akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum ke-12 diadakan pada pertengahan Mac meskipun mandat lima tahun parti pemerintah pimpinannya hanya akan tamat pada pertengahan tahun depan. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan