HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Februari 2008

PDRM ambil 3,000 pesara
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim




KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil 3,000 pegawai dan anggota bersara secara kontrak serta menubuhkan 107 balai baru dan 55 pondok komuniti sebagai pendekatan membanteras jenayah dan merapatkan hubungan dengan masyarakat.

Penubuhan balai baru dan pondok komuniti yang dianggar membabitkan perbelanjaan hampir RM78 juta setahun akan dimulakan 15 Februari ini, manakala pengambilan 400 pegawai dan anggota kontrak bagi fasa pertama, bermula Mac.

Bagaimanapun, pada peringkat permulaan penubuhan balai baru dan pondok komuniti itu hanya membabitkan empat negeri kritikal - Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Semua pendekatan itu dirancang dalam tempoh dua minggu selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Bukit Aman, awal bulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata kerajaan turut meluluskan permohonan PDRM untuk mengambil 500 pegawai polis dan anggota bersara sebagai tenaga pengajar di pusat latihannya. Daripada jumlah itu, sembilan adalah pesara berpangkat Senior Asisten Komisioner, 78 Superintendan, 113 Asisten Superintendan dan 300 sarjan.

Pada sidang media di Bukit Aman semalam, beliau berkata, pada peringkat awal, sembilan pegawai akan ditempatkan di Maktab PDRM dan 40 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini mulai 1 Mac ini.

Seramai 37 lagi akan bertugas di Pulapol pada 1 Julai apabila pelatih baru memasuki pusat berkenaan. Semua pegawai kontrak yang berumur tidak lebih 60 tahun itu, akan menikmati gaji dan elaun terakhir masing-masing, tetapi pegawai kontrak yang diambil untuk mengajar tidak diberi kuasa polis.

"Kita hanya pilih yang terbaik... tetapi kalau tidak produktif, saya batal kontrak," katanya sambil menambah kontrak itu berdasarkan formula 2+1.

Musa juga berkata, PDRM sedang berbincang dengan pihak tertentu untuk menggunakan pusat latihan awam bagi melatih rekrut baru supaya dapat meningkatkan pengambilan sehingga 7,000 orang setahun, berbanding 3,000 ketika ini.

"Ketika ini pun kita hanya menempatkan pelatih selama empat bulan di pusat latihan termasuk bulan terakhir sebelum ditauliahkan, manakala tiga bulan lagi membuat praktikal di balai polis," katanya.

Beliau berkata, PDRM juga akan mewujudkan pusat latihan di setiap negeri supaya pegawai dan anggota menerima latihan berterusan ketika berkhidmat.

Mengenai balai baru dan pondok komuniti, Musa berkata kedua-dua kemudahan itu akan diwujudkan di taman perumahan dan pusat komersial bagi memastikan masyarakat sentiasa merasai kehadiran polis.

Pada fasa pertama, 55 pondok komuniti dan 60 balai baru atau dikenali Balai Polis Pengoperasian (BPP) akan mula beroperasi di empat negeri berkenaan, mulai 15 Februari. Baki 47 BPP pula dibuka secara berperingkat mulai 15 Mac dan 15 April ini.

BPP beroperasi di premis seperti rumah kedai atau banglo, manakala pondok komuniti di rumah yang disewa di taman perumahan. Kedua-dua kemudahan itu akan turut dilengkapi kereta peronda.

Musa berkata, 480 pegawai polis akan ditugaskan menyelia BPP itu dengan setiap balai diketuai seorang sarjan dan dibantu seorang koperal serta enam anggota.

"Kita juga mengenal pasti 240 pegawai dan anggota yang kini melakukan tugas pentadbiran atau pejabat, untuk melaksanakan tugas operasi di balai berkenaan," katanya.

Beliau berkata, anggota yang ditempatkan di pondok komuniti pula akan tinggal bersama keluarga mereka di situ untuk memberi perkhidmatan pada bila-bila masa termasuk tugas meronda, merisik dan menerima aduan penduduk.

"Jika ada orang datang ketuk pintu rumah mereka jam 5 pagi pun, mereka kena terima aduan," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akan terus digunakan bagi membantu tugas membanteras jenayah.

"Insya-Allah dengan pendekatan ini dan kerjasama masyarakat, kita akan dapat turunkan kadar jenayah di negara ini.

"Bagaimanapun, jika nak capai sifar jenayah, mungkin tak boleh sebab (jenayah) ini dilakukan manusia, tetapi saya harap kita dapat kurangkan separuh daripada bilangan kes," katanya.

FAKTA

Langkah dilaksana PDRM
• 3,000 pegawai dan anggota bersara secara kontrak akan diambil bermula Mac.
• 107 balai baru dan 55 pondok komuniti akan diwujud.
• 500 pegawai polis dan anggota bersara sebagai tenaga pengajar di pusat latihan.
• Pengambilan rekrut ditambah sehingga 7,000 orang setahun.
• 55 pondok komuniti dan 60 balai baru akan mula beroperasi mulai 15 Februari.
• 500 pegawai polis dan anggota bersara sebagai tenaga pengajar di pusat latihan.

Tiada ulasan: