Bom ditemui di Jalan Raja Muda Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Sebutir bom ditemui di laluan pejalan kaki di Jalan Raja Muda Abdul Aziz bertentangan Menara Celcom, kira-kira setengah kilometer dari Wisma Bernama di sini, Khamis.
Penemuan itu menyebabkan kedua-dua arah Jalan Raja Muda Abdul Aziz ditutup dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas selama kira-kira dua jam di Jalan Tun Razak.
Bom berkenaan diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia pada pukul 10.15 malam.
Jurucakap polis berkata bom itu ditemui seorang pekerja di gerai makan berhampiran Menara Celcom kira-kira pukul 8 malam.
"Kami sedang menyiasat jenis bom itu. Serpihan bom yang telah diletupkan itu akan dihantar ke jabatan forensik untuk dianalisis," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan itu dan berkata: "Kami masih menyiasat jenis bom itu dan tidak tahu sama ada ia masih aktif atau tidak".
Sementara itu, Mohd Falini Mokhtar, 25, berkata beliau ternampak satu objek bulat berwarna hitam berdekatan sebatang pokok di kawasan itu.
"Saya yang ingin tahu, pergi lebih dekat untuk mengetahui apakah objek itu dan terkejut apabila melihat bentuknya seperti sebiji bom. Saya memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan yang bertugas di Menara Celcom dan beliau menghubungi polis," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan