HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2014

Ahli Parlimen tertidur itu adalah 'non-issue', yang lain pun tidur



Saya hanya hendak memberikan komen tentang isu Ahli Parlimen Batu Sapi Linda Tsen yang didapati tertidur dalam parlimen semasa Dewan itu bersidang awal minggu lepas. Beliau telah dibela oleh bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu (DAP), Hiew King Cheu,  yang kini telah berhijrah ke BN dan kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Luyang, Sabah.

Hiew berkata apabila mata itu tertutup ia tidak semestinya tidur kerana pangalaman beliau sendiri sebagai Ahli Parlimen dahulu pun ada terjadi dimana matanya tertutup tetapi telinganya masih terbuka. Adegan ‘tidur’ Linda Tsen itu tersiar dalam U-Tube dan dilihat oleh ramai pengunjung internet.

Tetapi itu adalah perkara biasa kerana di dalam Dewan Parlimen itu sekarang ini, tidak seperti dahulu dalam mana Ahli-Ahli Parlimen tekun mengikuti perbahasan kerana semasa itu isu yang dibahaskan adalah isu-isu yang relevan dan menjadi tumpuan rakyat.

Isu pemimpin tidur ini sudah menjadi isu yang lumrah. Ia bukan sahaja berlaku kepada Ahli Parlimen, tetapi ia pernah berlaku kepada seorang Perdana Menteri yang berimejkan kaki tidur walaupun dalam majlis-majlis rasmi kerajaan.

Malahan hampir kesemua Ahli Parlimen kita sedang nyenyak tidur. Jika mereka tidak tertidur masakan banyak isu yang tidak dapat diselesaikan dan berbagai-bagai undang-undang dan akta digubal dengan tidak berapa tepat dan betul dengan matlamatnya. Ahli-Ahli Parlimen kita hanya selalu tidur dan tidak menumpukan perkara-perkara penting yang dibahaskan di dalam Dewan Persidangan itu walaupun mata mereka luas terbuka.

Tidur tidak semestinya tertutup mata. Ramai yang tidak tertidur dan jaga kelopak mata mereka tetapi keputusan dan tindakan mereka seperti orang tidur sehinggakan tidak terasa bahana dan bahaya terhadap keputusan yang diambil oleh Dewan Parlimen itu.

Jika benar pun YB Linda Tsen tidur dalam Parlimen itu, mungkin itu ada perkara yang patut beliau lakukan kerana yang tidur dan yang jaga pun memberikan ‘consequence’ yang sama juga. Jika hasil di antara mereka yang jaga dan yang tidur itu sama sahaja maka lebih baik tidur dan merehatkan mata yang telah terlalu terbeban dengan melihat segala perkara yang tidak senonoh berlaku didalam kepimpinan negara mahu pun dari kepimpinan pembangkang.

Tertidur ini bukan sahaja berlaku dalam Parlimen. Dalam masjid semasa khatib membaca khutbah pun ramai yang tidur. Malahan ada beberapa guru-guru fekah agama (ustaz) menyindir jika sesiapa yang mempunyai masalah tidur, pergilah bersolat fardhu Jumaat dan semasa khutbah itu ramai yang tertidur dengan mudah, tidak ada masalah.

Saya berpendapat Linda Tsen batalkan sahaja niatnya untuk menyaman mereka yang memuatkan adegan beliau tertidur dalam Parlimen di U-Tube itu. Linda Tsen bukan keseorangan, ramai lagi yang tertidur dengan mata mereka terbuka dalam Dewan itu.

Dimana-mana pemimpin tidur nyenyak tanpa mengetahui apa yang mereka lakukan. Bagi mereka yang terjaga tetapi tidak tahu apa yang mereka lakukan itu, sama sahaja seperti orang tidur. Malahan semua pimpinan kerajaan sekarang ini semuanya tidur kerana tidak terasa apa yang sedang dirasakan oleh rakyat. Orang tidur sememangnya tidak nampak dan terdengar apa yang sedang berlaku kepada rakyat yang dipimpin mereka.

Perkara ini adalah ‘non-issue’ dan tidak perlu dijadikan isu politik. Sekarang ini kita sedang memperkayakan slogan 'Malaysia Boleh'. Berbohong boleh, menipu pun boleh dan tentulah tidur dalam Dewan itu lebih boleh lagi. Tidak ada hal...

Dalam tidur mereka pun boleh lagi mereka menggunakan kuasa untuk mendapatkan 'ill gotten wealth' dengan begitu banyak....semuanya mereka lakukan semasa tidur.

Tiada ulasan: