Waris Ahmad Mustafa, Norazira Ahmad, 38, (tiga,kanan) menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436/2014M
Peringkat Negeri Selangor bagi pihak Allahyarham, semalam. Waris Ahmad Mustafa, Norazira Ahmad, 38, (tiga,kanan) menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436/2014M Peringkat Negeri Selangor bagi pihak Allahyarham, semalam.


SHAH ALAM - Bekas Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Allahyarham Ahmad Mustafa Mohd Sidin dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1436H/2014M peringkat negeri Selangor.

Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Disember 1974 di Kuala Kubu Bharu mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu sebelum menyambung pengajian di Markas Tahfiz Al Quran Wal-Qiraat Majid Negeri (Martah).

Bagi menambah lagi ilmu pengetahuan dalam qiraat, Allahyarham menyambung pengajian di dalam bidang Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di Darul Quran Malaysia seterusnya menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Tahassus Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Allahyarham turut mempunyai pengalaman luas di dalam bidang agama termasuk menjadi guru agama, ahli jawatankuasa (AJK) khutbah, AJK halal, AJK dakwah, AJK tauliah, AJK Ithbat Hafazan Negeri Selangor serta Ahli Mesyuarat Mais.

Selain itu, semasa hayatnya, Allahyarham telah menjadi johan dalam Ujian Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor sebanyak enam kali berturut-turut.

Allahyarham juga menghasilkan al-Quran Mushaf Tartil Berinfo Tajwid, Buku Juz Amma, CD bacaan Yasin dan Tahlil, CD Juz Amma dan buku Smart Tajwid yang ditinggalkan kepada waris di bawah naungan Syarikat Mushaf Tartil Sdn Bhd.

Pada majlis tersebut, waris Allahyarham turut menerima wang tunai RM5,000 yang disumbangkan kerajaan negeri, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi, serta sepersalinan pakaian.

Allahyarham Ahmad Mustafa meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.07 malam 10 Jun lalu dan meninggalkan seorang balu serta lima anak.