BANGI: Sebuah program mengenai bahaya Akta Hasutan bertukar menjadi
"pengajaran secara langsung" bagi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) semalam apabila penceramah jemputan, Prof Madya Dr Azmi Sharom
"dihalau" pengawal keselamatan UKM.
Azmi, yang didakwa menghasut pada 2 September, dijemput Gabungan
Mahasiswa UKM (GMUKM) merasmikan gerakan anti-Akta Hasutan di kampus UKM
di Bangi, malam tadi.
Profesor Universiti Malaya yang baru-baru ini didakwa di mahkamah atas
tuduhan menghasut itu berkata, beliau terpaksa melalui beberapa sekatan
jalan di dalam kampus bertujuan untuk menyekat beliau dan media daripada
menghadiri program tersebut.
"Salah seorang penganjur mengambil saya di pintu masuk, dan memberitahu
kami terpaksa masuk berjalan kaki akibat sekatan jalan raya itu," kata
Azmi dipetik kepada The Malaysian Insider.
"Oleh itu, kami menyelinap ke dalam kampus, dan dihalau keluar oleh
pengawal keselamatan apabila sampai ke tempat majlis. Mereka tidak
memberikan apa-apa sebab. Mereka hanya berkata pengurusan universiti itu
telah 'haramkan' program tersebut.
"Beratus-ratus pelajar telahpun tiba di tempat itu, tetapi pengawal dengan sopan namun tegas mengarah saya supaya keluar.
"Oleh itu, kami berkumpul di tempat letak kereta di luar kampus, dan
saya memberi ucapan selama 20 minit kerana suasana benar-benar panas dan
gelap serta tidak selesa di samping masa sudah lewat."
Walaupun begitu, Azmi merasa lucu dengan pengalamannya, sambil
menyifatkannya "pengajaran secara langsung" bagi pelajar melihat
bagaimana pihak berkuasa menyekat kebebasan bersuara.
"Ia lebih menarik daripada saya bercakap dengan mereka jika program itu berjalan lancar."
Terdahulu, usaha pihak media memasuki premis tersebut untuk membuat
liputan gagal kerana dikawal ketat pengawal kampus menghalang media.
"Kami mendapat arahan dari Naib Canselor untuk menghalang mana-mana
media malam ini daripada memasuki universiti," kata seorang pengawal di
pintu masuk universiti.
"Penceramah itu juga sepatutnya tidak masuk, kerana ada kebimbangan dia
akan menghasut pelajar dan melakukan hasutan malam ini," katanya,
menunjukkan gambar Azmi dalam poster program.
Tulisan tangan di bahagian atas poster tersebut memberitahu "Media tidak dibenarkan masuk".
Menurut pengawal tersebut, program itu tidak diluluskan universiti, dan berkata GMUKM merupakan "kumpulan pembangkang".
Polis turut kelihatan di kampus ketika kereta bergerak ke premis itu,
dan setiap kenderaan diperiksa di beberapa sekatan di sepanjang jalan.
Pihak media dipaksa keluar di sekatan kedua, selepas seorang pegawai polis mengesahkan bahawa program itu telah dibatalkan.
Ketika dihubungi, ahli GMUKM Jason Ng berkata, permohonan mereka
mengadakan program makan malam itu ditolak oleh universiti, tetapi
mereka masih mahu teruskan.
"Anda tahu bagaimana rasanya... apabila kita cuba untuk menjemput
orang-orang seperti Profesor Azmi, mereka merasakan ia tidak sesuai,
mereka tidak akan membenarkannya," katanya.
Bulan lepas, Azmi didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c)
Akta Hasutan, ekoran komen beliau mengenai krisis menteri besar Selangor
seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Jika sabit kesalahan, Azmi boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan