PUTRAJAYA: Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah
binti Airol Anizam adalah antara nama terpanjang di Malaysia seperti
yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
'Ahmad', 'Alex' dan 'Ravi' pula adalah antara nama paling popular rakyat Malaysia yang didaftarkan JPN.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling berkata, nama
'Ahmad' yang direkodkan ialah sejumlah 63,049 orang, diikuti 'Alex'
16,992 orang dan 'Ravi' 10,866 orang.
"Nama-nama berkenaan paling banyak digunakan dan didaftarkan di negara
ini," katanya ketika berucap pada Hari Pendaftaran Negara dan Hari
Inovasi 2014 di Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.
Sulaiman berkata, 1 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran
Negara sempena tarikh pengeluaran kad pengenalan pertama negara yang
juga dikenali sebagai kad beras.
"Kad keras dikeluarkan kepada orang awam secara sistematik dan teratur
mulai 1 Oktober 1948 dengan kad yang pertama bernombor siri 0000001
dikeluarkan kepada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan Negara.
"Kad keras pada mulanya dikeluarkan sebagai pengenalan identiti di
samping bertindak sebagai satu daripada langkah untuk membendung anasir
komunis di tanah air," katanya.
Katanya, warga JPN melihat pemilihan 1 Oktober sebagai Hari Pendaftaran
Negara sebagai bertepatan dan sesuai dengan peranan JPN sebagai
satu-satunya organisasi di Malaysia yang menguruskan dokumen rekod
pengenalan diri bermula dari awal kelahiran hinggalah rekod selepas
kematian.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi
Tuanku Jaafar yang merasmikan majlis itu berkata, berdasarkan Laporan
Perbelanjaan JPN dalam tempoh tiga tahun, sejumlah RM1.13 bilion telah
dibelanjakan merangkumi tanggungan pengeluaran MyKad.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM46 juta untuk projek percetakan teragih MyKad di 43 pejabat cawangan terpilih.
"Dengan bertambah pusat percetakan teragih, urusan permohonan dan pengeluaran kad (MyKad) dapat dipercepatkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan