Ismail Sabri Yaakob
 
 
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui jawatankuasa kos sara hidup bagi memantau kenaikan harga barang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memastikan kepentingan golongan petani dan juga pengguna tidak terjejas susulan kenaikan harga minyak.

“Kalau letak harga barang terlampau rendah, petani akan terjejas. Namun, kalau dinaikkan harga kesannya akan dirasai pengguna pula.

“Oleh itu, kita sentiasa berbincang dengan KPDNKK untuk seimbangkan kepentingan kedua-duanya. Kita mahu kedua-duanya dapat keuntungan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Tak Nak Sirip Ikan Yu, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini kenaikan harga minyak dilihat tidak menjejaskan golongan petani dan nelayan.

“Bantuan kepada petani dan nelayan akan diteruskan macam biasa. Golongan nelayan misalnya dapat subsidi diesel.

“Walaupun harga diesel naik, subsidi mereka tidak berubah. Jadi tidak timbul masalah kepada nelayan melainkan kerajaan melakukan perubahan subsidi diesel itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai perlu mengubah persepsi bahawa kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang.

“Ia hanya persepsi dan belum tentu akan berlaku. Lagipun, KPDNKK dah beri jaminan harga barang tak naik.

“Jadi kita jangan cepat buat kesimpulan bila harga minyak naik, harga barang akan naik. Kita kena tunggu dan lihat dulu bagaimana,” katanya,