KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenaikan harga minyak petrol dan Diesel yang berkuat kuasa hari ini sebagai “Hadiah BN” kepada rakyat Malaysia.
“Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu “hadiah” iaitu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen (Seliter),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
“Sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula,” ujarnya yang juga Adun Seri Setia.
Menurut Nik Nazmi, rakyat Malaysia kini sangat bergantung kepada harga minyak yang murah, daripada pekerja di bandar hingga lah golongan nelayan di luar bandar.
“Apatah lagi, implementasi GST yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Tambahan pula, pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar.
“Kumpulan ini pasti akan menghadapi kesusahan yang amat serius disebabkan kenaikan tersebut,” ujarnya.
Katanya, kenaikan itu boleh dielakkan sekiranya kerajaan tidak melakukan pembaziran dan kebocoran kewangan negara yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa.
“Umno BN dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang penting.
“Pentadbiran Najib Razak tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang “Mendahulukan Rakyat” apabila mereka tanpa ragu-ragu membebankan masyarakat yang paling lemah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan