Oleh: Amirul Azhan
KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri hairan dengan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sedangkan harga pasaran minyak dunia turun pada waktu ini.
Beliau menolak alasan kerajaan bahawa langkah rasionalisasi subsidi dibuat demi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.
“Kerajaan Umno BN sudah terbeban dengan hutang piutang melampau dan saya jangkakan bahawa negara jual beli minyak dunia dengan kontrak hadapan yang tidak menguntungkan,” kata Yahya.
Pada 1 Oktober 2014, media antarabangsa melaporkan bahawa harga minyak dunia merosot dengan kontrak utama Amerika Syarikat jatuh 3.6 peratus kerana permintaan yang rendah dan lembab.
Harga minyak dunia kini berada pada USD90.73 setong, iaitu jatuh mendadak berbanding harga pada bulan Julai iaitu USD103 setong.
Tambah Yahya, kerajaan dilihat tidak bijak ekoran tindakan menaikkan harga minyak sehingga mengakibatkan rakyat yang akhirnya menanggung kesan.
Selain itu, katanya, kenaikan harga bahan bakar itu akan menjejaskan kesemua sektor ekonomi dan mengakibatkan harga barangan lain turut mengalami kenaikan, apabila kos pengangkutan meningkat.
“Walaupun kenaikan hanya bernilai 10 sen atau 20 sen, ia tetap akan memberikan kesan kepada rakyat untuk mengurus kehidupan seharian,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan