HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Oktober 2014

Kerajaan perlu keluarkan fatwa sokong ISIS atau tidak

 
Kerajaan bukan sahaja mewakil umat Islam tetapi perlu mewakili suara golongan yang ditindas dan yang berhadapan dengan kuasa-kuasa yang zalim di PBB.

IRAQ-SYRIA-UNREST


SHAH ALAM: Ahli Akademik dan Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik menggesa supaya kerajaan negeri dan pusat mengeluarkan fatwa sama ada menyokong kumpulan Islamic State Iraq and Syria (ISIS) atau tidak.

Menurutnya, apabila kerajaan berdiam diri tanpa menyatakan pandangan mengenai ISIS, ini menyebabkan anak-anak muda yang beragama Islam dan bukan Islam bercelaru mengenai ISIS dan makna jihad.

“Saya rasa pihak berkuasa agama, negeri dan pihak pusat seperti Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendirian mereka mengenai ISIS seperti mana yang diminta oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Ini bagi menjadi penunjuk dan rujukan kepada anak-anak muda yang beragama Islam yang bercelaru mengenai jihad,” katanya dalam Forum Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan?

Turut hadir, dalam forum tersebut,Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus.

Tambahnya, apabila kerajaan senyap, ini menyebabkan rakyat celaru, terutamanya golongan muda.
“Seperti isu anjing ini, apabila berlakunya program ini ramai yang membuat komen mengenai program tersebut.

“Apabia munculnya kes yang melibatkan golongan muda dalam ISIS ini kenapa kita diam seribu bahasa. Pihak negeri perlu keluarkan fatwa mengenai isu ini,” jelasnya.

Tegasnya, Malaysia telah mendapat kerusi di Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dan ini satu peluang yang besar untuk menyatakan pendirian mengenai ISIS.

“Bukan untuk menjadi wakil Malaysia sahaja. Tetapi lebih kepada manusia yang ditindas. Menjadi peranan kerajaan untuk mewakili suara golongan yang ditindas dan berhadapan dengan kuasa-kuasa yang zalim.

“Kerajaan juga perlu menjadi suara kepada umat Islam. Jika Malaysia memainkan peranan yang aktif seperti di Turki ia akan memberi harapan kepada anak muda bahawa kita juga konsisten terhadap golongan yang ditindas terutama golongan Islam,” ujarnya.

Katanya, di peringkat antarabangsa suara Dr Mahathir masih relevan dan beliau dilihat tinggi oleh orang luar.

“Kelantangannya itu wajib dicontohi oleh Najib atau menteri luar bagi menggunakan peluang kedudukan di majlis PBB untuk menyuarakan kelantangan pendirian seperti Tun M.
“Jihad bukan hanya sekadar berperang tetapi menyampaikan Islam, membantu orang susah dan memberi makanan itu juga jihad. Bantu mangsa perang di Syria juga jihad. Jadi bantu dalam aspek kemanusiaan juga di anggap jihad,” jelasnya.

Tiada ulasan: