HULU SELANGOR: Usaha membaik pulih dan memantau pergerakan tanah di
Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, di Bukit Beruntung di sini terus
dipergiatkan hari ini.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati seawal pukul 9 pagi, dua buah
kren dan sebuah lori pengangkut sudah melakukan kerja-kerja membaiki
tembok runtuhan, membersihkan kawasan tanah, mengangkut sisa-sisa
pecahan tembok yang bertaburan di kawasan terbabit.
Turut kelihatan beberapa pasukan penyelamat seperti Jabatan Kerja Raya
(JKR) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor bagi memantau pergerakan
tanah serta mengawasi kawasan runtuhan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal laluan keluar-masuk kenderaan
penduduk di kawasan itu yang disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
(JPAM) dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Pasukan penyelamat seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia
(Smart Team) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) turut berada di
lokasi kejadian bagi merawat jika ada mangsa yang cedera.
Difahamkan pemantauan pergerakan tanah dilakukan dari atas cerun tanah
di kawasan terbabit oleh JKR, bomba, ahli Geologis, dan JPAM.
Penduduk di dua blok terlibat juga dibenarkan untuk masuk ke rumah
masing-masing hari ini untuk mengambil barang milik mereka selama 10
minit dengan diawasi oleh pasukan RELA.
Sehingga kini, sebanyak 219 keluarga membabitkan 860 penduduk yang
menetap di dua blok Apartment berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira
10 pagi semalam.
Mereka kini ditempatkan di tiga penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan
Taman Bunga Raya 1 (142 keluarga, 517 orang), Sekolah Kebangsaan Taman
Bunga 2 (45 keluarga, 196 orang) dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1
(32 keluarga, 147 orang).
Kejadian itu menjejaskan kira-kira 1,500 penduduk Apartment Teratai,
Taman Bukit Raya di Bukit Beruntung dipindahkan ke pusat pemindahan
sementara di Sekolah Kebangsaan Bunga Raya ekoran kejadian tanah
runtuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan