Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Tidak cukup minta maaf, penganjur program 'I Want To Touch A
Dog' perlu dikenakan tindakan, demikian tegas Presiden Ikatan Muslimin
Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Katanya, ucapan maaf sahaja tidak akan menjamin program seumpama ini akan dianjurkan lagi pada masa-masa hadapan.
Justeru, pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM)
perlu lebih tegas dalam memainkan peranannya dengan memanggil penganjur
dan menyiasat objektif insiden ini dengan lebih mendalam.
Tindakan tegas katanya, diharap dapat menimbulkan rasa takut pada semua
pihak sebelum bertindak menganjurkan apa-apa program yang menyentuh
sensitiviti beragama di negara ini.
"Itu sebab saya minta JAKIM mengambil tindakan dengan lanjut sebab saya
rasa tidak cukup dengan mohon maaf sebab kita tak dapat memastikan ia
tidak berulang di masa akan datang," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi.
Hari ini Syed Azmi Alhabshi, penganjur program sentuh anjing itu
berkata kempen itu bertujuan menyediakan masyarakat untuk menangani
haiwan itu dalam keadaan-keadaan tertentu.
Beliau menafikan kempen itu untuk memesongkan akidah di kalangan umat Islam.
Abdullah menolak alasan Syed Azmi dan berkata kempen itu sengaja
diadakan bagi membudayakan sentuh anjing di kalangan umat Islam.
"Saya tidak tengok perkara ini berkait dengan isu feqah. Bukan itu
isunya, kita dah belajar samak di sekolah rendah lagi, dah tahu apa itu
jenis-jenis najis.
"Hukum feqah itu alasan sahaja yang sebenarnya dia nak membudayakan,
memecahkan kebiasaan orang Islam dalam pergaulan dengan anjing.
"Kita belajar kalau ikut feqah kalau kita terkena atau terpaksa buat,
bukan kita sentuh untuk kita samak," terangnya panjang lebar.
Syed Azmi sebelum ini dikritik banyak pihak apabila menganjurkan kempen sentuh anjing di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Kempen itu menarik minat ratusan pengunjung yang rata-ratanya terdiri daripada penganut agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan