KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak hari ini menerima tamparan
hebat selepas salah seorang pengasasnya mengumumkan keluar parti.
Idris Bohari, 52, adalah Setiausaha Eksekutif pertama parti itu di
negeri ini dan pernah bertanding sebagai calon PKR di kerusi Parlimen
Saratok dan Santubong sebelum ini.
Idris yang sebelum ini Timbalan Ketua PKR Cabang Petra Jaya mengumumkan
peletakan jawatan itu dalam surat yang beliau tandatangani sendiri dan
akan diserahkan kepada Ketua PKR Cabang Petra Jaya, Baharuddin Mokhsein,
esok.
Beliau berkata, tumpuannya kini adalah kepada keluarga dan akan melupakan politik pembangkang.
"Saya akan aktif untuk membantu mana-mana badan bukan kerajaan sebagai
wadah perjuangan yang baru selain memberikan sokongan tidak berbelah
bahagi kepada pimpinan negeri yang sedia ada.
"Saya mengenali dan kagum akan kepimpinan telus dan berterus-terang
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sejak beliau mengambil alih tampuk
kepimpinan," katanya ketika ditemui pagi ini.
Beliau juga kecewa dengan pergolakan dalaman dalam parti itu yang mengheret perpecahan yang ketara.
"Saya percaya lebih ramai akan mengikuti penghijrahan ini selepas ini
kerana masalah dalaman serta krisis kepercayaan yang berlaku," katanya.
Idris mengakui terdapat pemimpin kanan PKR cuba memujuknya untuk
menarik balik keputusan itu, namun beliau tetap dengan keputusan
tersebut.
"Saya orang perjuangan. Tetapi kalau perjuangan kita tidak dinilai
secara baik oleh platform yang sedia ada, wajar untuk kita mencari
platform yang lain. Yang penting perjuangan perlu dilunaskan," katanya.
Katanya, kekecewaan lain adalah tumpuan yang tidak serius oleh pimpinan
parti pembangkang itu terhadap keperluan parti di peringkat cabang dan
kebajikan ahli-ahlinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan