HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Oktober 2014

Penganjur tak suruh pegang, peluk dan cium anjing secara sengaja

 
Pihak penganjur telah mengedarkan risalah dan hukum-hakam mazhab Shafie mengenai hukum memegang anjing secara sengaja adalah haram semasa program tersebut berlangsung

IMG_2950


PETALING JAYA: Penganjur bersama ‘I Want To Touch A Dog’ Norhayati Ismail berkata beliau mengakui kelemahan dari segi penganjuran tersebut.

Menurut beliau, terdapat aspek yang berjaya mereka kawal seperti dari segi menghilangkan rasa takut kepada anjing dan pendidikan dalam berurusan dengan anjing namun mengakui dari segi pengawalan peserta memegang anjing dengan sengaja mereka gagal.

“Kelemahan ini berpunca kerana terlalu ramai peseta di dalam program ini. Pada awalnya kami menjangkakan hanya 500 peserta, tetapi yang hadir lebih 1000 peserta.

“Terlalu ramai dan kami kurang kaki tangan untuk menghalang mereka daripada memegang anjing secara sengaja,” katanya dalam satu sidang media di Kelab Golf Seri Selangor.

Tambahnya, pihak penganjur telah mengedarkan risalah dan hukum-hakam mazhab Shafie mengenai hukum memegang anjing secara sengaja adalah haram.

“Kami telah mengedarkan 500 risalah penerangan cara mengawal anjing dengan betul dan hukum memegang anjing secara sengaja. Namun risalah tersebut tidak cukup.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana kami tidak nampak peserta memegang anjing secara sengaja. Kami hanya mengetahui melalui gambar yang disebarkan di media-media sosial,” jelasnya.

Katanya lagi, peserta yang memegang anjing secara sengaja tersebut atas kelewatan mereka untuk hadir mendengar taklimat dan ceramah daripada Mohd Iqbal Parjin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari, 33, mengenai hukum hakam memegang anjing.

“Kita juga ada menyediakan jurulatih untuk menunjukkan cara memegang anjing dengan betul apabila perlu dan tetapi bukan niat suka-suka.

“Kami tidak menyuruh peserta memegang, memeluk dan mencium anjing kerana itu jelas haram jika dilakukan secara sengaja,” ujarnya.

Jelasnya, pihaknya mengetahui penyebaran gambar umat Islam terutamanya wanita yang bertudung memegang anjing diambil oleh media bagi mengkritik pihak penganjur.

“Kami tidak ada ambil gambar semasa penganjuran. Media yang ambil gambar tersebut dan ada yang memasukkan ke media sosial bagi menghentam kami,” katanya.

Tiada ulasan: