SHAH ALAM: Barisan Exco Selangor menyambut baik keputusan Menteri
Besar, Azmin Ali memotong gaji menteri besar, ahli majlis mesyuarat
kerajaan negeri (exco), speaker dan timbalan speaker dalam Bajet
Selangor 2015 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.
ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari berkata, keputusan tersebut juga selaras dengan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR).
Malah, ia juga membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor
benar-benar prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat hari ini ekoran
kenaikan kos sara hidup.
"Ia adalah satu keputusan yang baik dan sebenarnya ia adalah keputusan
Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) sebaik sahaja keputusan tentang gaji
itu diputuskan.
"Ia selaras dengan semangat yang ada dalam PR iaitu ingin memastikan,
melihat, merasai isu dan keadaan rakyat secara terus disaat rakyat
berdepan dengan isu-isu kenaikan harga barang dan sebagainya. Kita juga
tidak boleh menunjukkan sikap yang sebaliknya.
"Setakat yang kita lihat dalam mesyuarat terbaru ini semua bersetuju
dan kita menjalankan keputusan dengan semangat yang ada dalam PR,"
katanya kepada Antarapos.
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan gaji bagi ADUN adalah munasabah ekoran tuntutan semasa dan sebagainya.
"Gaji ADUN dinaikkan itu agak munasabah sebab dengan tuntutan semasa
dan sebagainya. Tetapi kenaikan agak tinggi dan mengejutkan bagi MB,
exco, speaker dan timbalan speaker sendiri jadi kita tangguhkan sebentar
untuk melihat sejauh mana kewangan negeri ini diguna sebaik mungkin
untuk menangani isu-isu rakyat secara terus sekali gus memastikan
kebajikan rakyat terbela," katanya.
Menteri Besar Selangor Azmin Ali hari ini memutuskan untuk memotong
gaji menteri besar, exco, speaker dan timbalan speaker pada sidang DUN
bulan depan.
Beliau merasakan kenaikan itu sebagai tidak munasabah ketika rakyat sedang berdepan dengan kos hidup yang semakin meningkat.
FOMCA harap pemotongan berbaloi
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pemotongan gaji itu
haruslah setimpal dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
"Oleh kerana mereka ini mempunyai tanggungjawab yang besar jadi biarlah
bayaran untuk mereka ini setimpal dengan amanah yang dipikul tetapi
dalam masa yang sama yang penting wang tersebut untuk membantu
pembanguan negeri," katanya.
Malah, beliau berkata pertimbangan tersebut perlu bagi menghindarkan mereka daripada terjebak dengan rasuah.
"Biasanya orang akan kaitkan gaji rendah dengan rasuah sebab mereka ini
ialah orang yang mempunyai kedudukan yang mudah untuk dapat duit.
"Jadi, bila gaji mereka rendah dan gaji tak dapat menampung kehidupan
seharian mereka jadi kemungkinan mudah untuk anasir luar menyogok
mereka," tegasnya.
Selain itu, Yusof berkata mereka juga boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pentadbiran negeri.
"Kalau pendapatan mereka dah selesa, mereka tak perlu fikir dari segi
kos sara hidup sebab mereka merasakan bahawa pendapatan sedia ada dah
cukup. Tak perlu pendapat dari luar jadi. Mereka tak perlu fikir tentang
wang dan mereka akan memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri,"
tambahnya.
Untuk rekod, pada 27 November lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang
pada masa itu menerajui Selangor membentangkan usul kenaikan gaji beliau
dan pemimpin lain berlipat ganda dengan alasan ia selaras dengan beban
kerja dipikul.
Di bawah usul yang diluluskan itu, menteri besar akan menikmati gaji
baru RM29,250 iaitu dua kali ganda berbanding imbuhannya sekarang.
Exco kerajaan negeri akan menerima RM20,250 sebulan.
Imbuhan untuk 56 ADUN di Selangor pula ditetapkan pada RM11,250 berbanding RM6,000 sebelum ini.
Di bawah skim baru itu, Speaker DUN akan menerima gaji bulanan RM22,500
berbanding RM6,109.29 manakala gaji timbalan speaker pula diselaraskan
kepada RM15,750 iaitu pertambahan 373.3 peratus.
Tindakan ini kemudiannya mendapat kritikan daripada pemimpin Pakatan Rakyat (Pakatan) yang menganggapnya tidak munasabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan