Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: PAS Pulau Pinang akan bermesyuarat malam ini bagi merangka
pendirian terhadap tindakan kerajaan negeri itu memecat bendahari parti
negeri itu, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatan dalam Majlis
Perbandaran Pulau Pinang minggu lalu.
Mesyuarat itu diadakan setelah rombongan PAS Pulau Pinang diketuai
timbalan pesuruhjayanya, Datuk Mujahid Rawa, mengadakan pertemuan dengan
Ketua Menteri Lim Guan Eng semalam bersabit isu itu.
Mujahid berharap pendirian yang bakal diambil oleh PAS negeri boleh
membantu membawa kepada penyelesaian kemelut terbaru di antara DAP dan
PAS.
"Malam ini saya ada satu perjumpaan Perhubungan Negeri di mana kita
akan cari keputusan untuk disampaikan kepada kerajaan negeri. Kita nak
cari jalan penyelesaian yang baik melalui pendirian kerajaan negeri dan
PAS, " kata beliau.
Mujahid berkata, selepas pembuat pendirian rasmi itu, pihaknya berharap
untuk mengatur satu lagi mesyuarat dengan kerajaan negeri minggu
depan.
"Tarikhnya sampai Isnin ini kita harap akan ada satu keputusan daripada
kita yang boleh diterima daripada kerajaan negeri," katanya kepada
Antarapos ketika dihubungi.
Iszuree dipecat daripada MPPP setelah dikatakan membidas kerajaan
negeri pimpinan DAP pada sidang muktamar PAS yang lalu. Beliau dikatakan
mendakwa nasib beberapa perkampungan Melayu terancam akibat dasar-dasar
kerajaan negeri yang terlampau cenderung kepada pemaju hartanah.
Pemecatan itu berlaku ketika hubungan PAS-DAP begitu rapuh susulan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.
Selain tindakan terhadap Iszuree, Lim mengambil tindakan mahkamah
terhadap Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nasaruddin Hassan kerana dikatakan
mempersoalkan kewibawaan ketua menteri itu.
Dr Mujahid berkata, kerajaan negeri itu mempunyai pendirian tersendiri
dalam menyingkirkan Iszuree daripada portfolionya dalam MPPP.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pendirian Lim, sekadar memberitahu perbincangan berlangsung dengan mesra.
"Kerajaan negeri sekarang ini ada pendirian tertentu dalam hal ini.
Terpulang kepada kami untuk menguruskannya dengan pihak yang dikatakan
mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak patut kepada kerajaan
negeri," ujarnya.
Difahamkan, Iszuree selaku bendahari PAS Pulau Pinang turut hadir dan
berdepan secara langsung dengan Lim semalam untuk menjelaskan
kritikannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan