Oleh: Amirul Azhan
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertindak tegas dan menekan Peguam Negara (AG) untuk mengambil tindakan terhadap ketirisan yang dilakukan kerajaan.
Menurutnya, tiada sebarang tindakan diambil Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed bagi menyelesaikan masalah ketirisan yang berlaku saban tahun, sepertimana didedahkan Laporan Ketua Audit Negara.
“Saya harap Pengerusi PAC (Jazlan) dapat menanyakan dan menunjukkan ‘taring’ beliau terhadap Jabatan Peguam Negara yang seharusnya melakukan pendakwaan yang konsisten dengan segala maklumat dan laporan yang telah didedahkan.
“Isunya adalah iltizam politik kerana jika kerajaan dan Perdana Menteri sudah nampak segala kebocoran dan ketirisan yang telah dedahkan menerusi media dan laporan. Apakah yang akan dilakukan oleh Najib sedangkan segala bukti telah didedahkan?” soal Izzah ketika ditemui di lobi Parlimen.
Pada 17 November 2014, Nur Jazlan Mohamed menyatakan pihaknya masih mempunyai ‘taring’ dan menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tiada tindakan yang diambil terhadap laporan yang dikeluarkan oleh pihaknya.
Menurut Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN, PAC adalah satu-satunya jawatankuasa yang membolehkan rakyat mengenalpasti segala ketirisan yang didedahkan Laporan audit.
Dalam pada itu, katanya PAC patut mendedahkan dan melakukan siasatan lanjut terhadap skandal RM42 bilion 1MDB yang sehingga kini masih menjadi persoalan dan pertikaian banyak pihak.
“Adakah Peguam Negara akan bertindak serius atau menyalahgunakan kuasa untuk membuat pendakwaan politik? Harus ada usaha untuk memecat Peguam Negara dengan melantik orang baru jika Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau tidak dipenuhi,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan