Khalid Samad menjelaskan beliau tidak
membantah pembinaan kilang pencetakan tersebut, namun apa yang lebih
penting beri kefahaman kepada rakyat mengenai ajaran Al-Quran
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Abdul Samad mempersoalkan mana yang lebih penting antara membina kilang pencetakan atau memberi kefahaman kepada rakyat supaya mengikut ajaran Al-Quran.
Menurutnya, beliau tidak membantah sekiranya kerajaan ingin membina kilang percetakan Al-Quran di Putrajaya.
“Kilang itu nak bina tiada masalah tetapi yang terpenting nak beri kefahaman kepada rakyat supaya mengikut ajaran Al-Quran.
“Bila kita nak buat sesuatu mesti ada sebab musabab. Kalau kita cetak, Arab Saudi cetak dan yang lain cetak, kalau banyak sangat pun masalah jugak. Jadi pada saya kefahaman dan penghayatan kepada Al-Quran itu sendiri yang paling penting. Itu yang saya sebut,” katanya ketika dihubungi oleh FMT.
Khalid menjelaskan berikutan, dakwaan daripada Ahli Parlimen Baling (BN) , Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang menyelarnya di Parlimen semalam mengenai tindakan Khalid yang dikatakan mengutuk usaha pihak kerajaan membina kilang percetakan Al-Quran di Putrajaya.
Azeez juga berkata tindakan Khalid amat memalukan.
“Muka macam ulamak tapi perangai macam ular dalam semak yang mengganggu,” katanya
Namun apabila diminta mengulas mengenai dakwaan Azeez itu, Khalid hanya menjawab itu terpulang kepadanya kerana itu penilaiannya.
“Muka macam ulama itu pendapat masing-masing. Dia nampak orang yang berjanggut muka macam ulama itu tak tahulah saya.
“Kalau dia (Azeez) kata muka saya macam ulama itu baguslah, tapi kalau cakap perangai saya macam ular itu terpulang kepada dia (Azeez). Dia punya penilaian sendiri dan bagi saya apa yang saya kata itu ada asasnya dan logiknya,” jelasnya.
Berhubung mengenai Permata Negara (Permata) tersebut, beliau hanya mengetahui program itu di bawah naungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Menjadi pertikaiannya bajet yang diberikan kepada Permata ini lebih besar diberikan daripada kementerian lain.
“Sebelum ini juga tiada bajet yang sebesar seperti diberikan kepada program Permata kepada mana-mana bekas isteri Perdana Menteri. Jadi kita tunggulah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan terhadap peruntukan yang besar kepada Permata,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan