HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 November 2014

Kampung Kemayan tunggu masa untuk lenyap

MALAYSIAKINI


 


Kampung Kemayan yang terletak berhampiran pantai Bachok ibarat sedang menghitung hari untuk terus lenyap daripada peta akibat hakisan teruk.

Setiap kali musim tengkujuh, penduduk yang tinggal di sini berada dalam ketakutan kerana khuatir pada bila-bila masa sahaja rumah mereka akan dibadai angin kencang dan ombak kuat.

Kini hanya tinggal kira-kira enam buah rumah membabitkan 30 penghuni masih tinggal di kampung itu berbanding 15 buah sebelum ini disebabkan penduduk terbabit tiada tempat lain untuk berpindah.

Seorang penduduk, Ramlah Omar, 67, berkata sebelum ini terdapat kira-kira 15 buah rumah dan sebuah padang bola di kampung itu tetapi kini sebahagian besar kediaman serta padang itu telah lenyap akibat hakisan dan dihanyutkan ombak.

"Lebih seekar dah tempat kami ini dihakis ombak dan saya bersama keluarga hidup dalam ketakutan sokmo (sentiasa) ketika musim tengkujuh.

"Pada musim ini biasanya ombak begitu dekat dengan rumah dan kadang kala zink rumah berbunyi dan rumah bergegar akibat angin kuat," katanya ketika ditemui Bernama.

Ramlah berkata dia bimbang rumahnya yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari laut akan lenyap jika sesuatu tidak dilakukan.

Bagi Daud Abdullah, 78, penduduk yang masih tinggal di kampung itu terdiri daripada keluarga miskin dan tiada tempat lain untuk menetap.

"Yang lain ada tempat tapi bagi kami inilah tempat untuk berteduh sejak sekian lama tetapi keadaan semakin menghimpit kami," katanya.

Daud juga kesal kerana tiada pihak yang datang bertanyakan khabar tentang keadaan mereka selama ini.

"Musim angin (tengkujuh) ini kami tidak lelap mata takut tengah tidur dihanyut air (ombak)," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: