HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 November 2014

Kumpulan siswa UM gesa pelajar sokong Fahmi

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) hari ini meminta semua mahasiswa kampus itu berhimpun menyokong aktivis siswa Fahmi Zainol yang berdepan tindakan tatatertib oleh universiti kerana terlibat dalam pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Progresif UM Vince Tan berkata pihaknya meminta semua mahasiswa menunjukkan solidariti terhadap Fahmi yang akan dibicarakan pada 7 November ini.

Beliau turut meminta siswa Fakulti Undang-undang bersolidariti kepada Abraham Au Tian Hui yang turut menghadapi pendakwaan kerana menghadiri acara itu dan melanggar arahan pentadbiran universiti yang mengharamkan himpunan itu.

"Kami menggesa rakan-rakan pelajar, akademik dan orang ramai untuk datang menyertai kami untuk bersolidariti di Gazebo yang terletak berhampiran prosiding itu akan diadakan," katanya.

Selain itu, Vince juga menggesa supaya pihak universiti menggugurkan kesemua tuduhan yang dikenakan terhadap pelajar yang merempuh pagar UM  pada hari tersebut.

"Kami menuntut supaya semua tuduhan terhadap pelajar ini digugurkan oleh universiti jika mereka masih menghormati kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.

"Kami meminta  pihak universiti supaya memudahcara pemerkasaan aktiviti pelajar dan bukan menyekat kegiatan pelajar," katanya lagi.

Selain itu, Vince mendakwa pentadbiran universiti dilihat "berat sebelah" terhadap aktiviti forum atau debat yang melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat.
 

Tiada ulasan: