Kumpulan Pro-Aspirasi Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), kembali bangkit dalam pilihan raya kampus
tahun ini, dengan pertambahan bilangan kerusi.
Dalam pilihan raya kampus UKM semalam, Pro-Aspirasi menang 14 kerusi
berbanding hanya empat kerusi pada tahun lepas, manakala Pro-Mahasiswa
atau dikenali sebagai Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) memenangi 15 kerusi
dan satu kerusi dimenangi calon Bebas.
Presiden Aspirasi UKM, Faridul Amri Ahmad berkata sasaran Aspirasi
menambah kerusi untuk sesi 2014/2015 tercapai, dan bilangan kerusi yang
diperoleh pada tahun ini sangat mengejutkan.
"Ini menunjukkan mahasiswa UKM sudah celik dan mampu berfikir mengenai
masa depan mereka. Walaupun kami tidak berjaya merampas Persatuan
Mahasiswa UKM namun kami tetap akan memperjuangkan hak-hak mahasiswa
seiring dengan visi universiti sekali gus mendukung aspirasi kerajaan,"
katanya kepada Bernama hari ini.
Walaupun GMUKM mengekalkan kemenangan namun mereka mengalami kemerosotan
bilangan kerusi berikutan hanya menang 15 kerusi berbanding 22 kerusi
tahun lepas.
Menurut laman rasmi UKM, peratus pelajar yang keluar mengundi dalam pilihan raya kampus kali ini adalah sebanyak 75.24 peratus.
Setakat ini, kumpulan Pro-Aspirasi mengekalkan kemenangan di lima
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia
Sarawak (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan