QURNISHA HAMKA
Nik Nazmi menjelaskan, pihaknya tidak akan menghalang sesiapa untuk berhimpun. - Foto arkib TRP/ Mokhsin Zamani
PETALING JAYA, Selain menyokong objektif himpunan Bersih 4.0, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut berhimpun bagi menuntut pembebasan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad
menterjemahkan sokongannya terhadap himpunan yang bakal diadakan hujung
minggu ini dan turut berpendirian, ia adalah satu tuntutan yang akan
dipenuhi anak muda hari ini.
“AMK mengarahkan semua anggotanya
menyertai himpunan #Bersih4 pada hujung minggu ini, sama ada di Kuala
Lumpur, bagi yang di Semenanjung Malaysia serta di Kota Kinabalu, bagi
yang di Sabah dan Sarawak.
“Kami menyokong penuh himpunan ini,
termasuk semua tuntutannya, iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih,
hak membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan
ekonomi Malaysia.
“Selari tuntutan-tuntutan ini, AMK juga
menuntut Anwar Ibrahim yang dipenjarakan ketika menjawat Ketua
Pembangkang Malaysia di atas tuduhan fitnah, dibebaskan serta-merta, hak
dan kesihatan beliau mesti dipertahankan,” katanya dalam sidang media
di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Ketika diminta mengulas pertembungan
dengan kumpulan pro Barisan Nasional Anti Bersih, Nik Nazmi menjelaskan,
pihaknya tidak akan menghalang sesiapa untuk berhimpun.
“Kami akan berhimpun, selebihnya adalah
tanggungjawab polis, sekiranya berlaku apa-apa,” kata Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu.
Himpunan #Bersih4 yang dijadualkan
berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini, bertujuan mendesak Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan atas dakwaan pemerintahan tidak
telus dan korup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan