shahbudindotcom
Derma
RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak sedang
menjadi isu besar dalam negara sekarang ini. Walaupun SPRM seolah-olah
sudah membersihkan Perdana Menteri dengan mengatakan ia adalah sumbangan
penderma dan boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, hukuman
persepsi sedang memasuki fasa yang lebih berat lagi.
Secara
umumnya, baik rakyat biasa mahupun ahli UMNO, malah sesiapa saja yang
berakal waras, tetap sukar menerima pemberian wang sebesar itu sebagai
derma semata-mata.
Lebih
ramai yang mengaitkannya dengan penyonglapan, berkaitan rasuah atau
penggubahan wang haram. Lagi pula peraturan untuk penjawat awam kerajaan
dari segi menerima sumbangan, hamper dan sebagainya sudah cukup jelas
mengenainya.
Ikut
logik akal, kalau nama Najib Razak itu sekadar seorang ofis boy atau
despatch dan bukannya Perdana Menteri, tentulah tiada sesiapa mahu
menderma sebesar itu kepadanya.
Dalam
hal ini, Najib harus mendedahkan siapakah penderma, bagaimana wang itu
dibelanjakan, berapa lebihannya dan mengapa akaun banknya yang menerima
kemasukan RM2.6 bilion itu sudah ditutup?
Badan
penguatkuasa seperti SPRM, PDRM dan Peguam Negara seharusnya juga
melihat semula perkara ini, jika tidak bukan saja undang-undang rasuah
negara menjadi ketawa dunia, malah akan merangsang lebih ramai pemimpin
politik mempunyai simpanan wang tanpa had dalam akaun peribadi
masing-masing.
Lagi
lama Najib berdiam diri dan tidak berterus terang, lagi membengkak
perasaan rakyat dan ahli-ahli UMNO terhadap beliau. Menteri Besar Johor,
Khaled Nordin dan anaknya yang meluahkan perasaan mengenai rasuah dan
wang RM2.6 bilion dalam laman sosial masing-masing adalah manifestasi
denyut nadi rakyat sebenarnya.
Secara
nyata dan disedari oleh sesiapa saja, isu ini kian menjadikan Najib dan
UMNO makin dibenci dan dijauhi, sekaligus membuatkan harapan memenangi
PRU 14 jauh lebih sukar daripada sebelum ini.
Di
media sosial sejak semalam, rakyat meluahkan pelbagai bentuk kemarahan,
sindiran dan kecaman terhadap Najib berkaitan wang RM2.6 bilion itu.
Kata-kata Tun Mahathir bahawa UMNO akan kalah selagi Najib menjadi
Perdana Menteri dan Muhyiddin pula mengingatkan pergerakan dua peratus
pengundi saja berbanding pilihanraya 2008 sudah cukup untuk menjadikan
BN sebagai pembangkang dalam pilihanraya akan datang, mulai diterima ada
asas dan kebenarannya.
Najib
dengan pelbagai isu sebelum ini, ditambah dengan pengesahan SPRM
mengenai wang RM2,600 juta pernah masuk ke dalam akaun peribadinya
sebelum pilihanraya 2013 lalu, menjadikan dirinya kini sebagai beban
utama kepada UMNO dan BN.
Dalam
diam-diam, bukan saja WSJ, Sarawak Report dan The Edge dianggap benar,
malah Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Gani Patail dilihat sebagai
korban politik yang dimangsakan semata-mata untuk memastikan Najib terus
kekal sebagai Perdana Menteri.
Tetapi
oleh kerana Muhyiddin sudah terkeluar daripada kabinet, peluangnya
untuk kembali mungkin nampak sukar walaupun jika Najib berjaya
diketepikan. Bola kini sebenarnya di kaki Zahid Hamidi yang baru
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sama ada mahu terus
mengekalkan Najib atau melakukan sesuatu yang membuatkannya dikenang
sepanjang zaman.
Zahid
akan menerima sokongan penuh jika beliau berani memulakan desakan,
bukan saja agar Najib berterus terang mengenai wang itu, bahkan sokongan
lebih melimpah bakal diterimanya jika tidak gentar mendesak pengunduran
Najib yang sudah menjadi beban kepada parti dan negara.
Ahli-ahli
UMNO akan percaya dan memberi sokongan kepadanya, bukan saja kerana
Najib berada di kedudukan paling teruk ketika ini, tetapi juga kerana
yakin Zahid ada asas agama yang kukuh serta sokongan yang kuat di dalam
parti.
Lebih
dari itu, Muhyiddin, Shafid Apdal, Khaled Nordin dan mereka yang senada
secara diam pasti akan akan turut bersama-samanya kerana mempertahankan
Najib sudah dianggap menghodoh serta mencomotkan lagi wajah parti dan
negara.
Melalui
tindakan ini, Najib juga tidak mungkin berani memecat Zahid kerana
kesan pemecatan Muhyiddin masih baru lagi. Lagi pula, jika Zahid juga
dipecat, siapa lagi yang mahu dilantiknya?
Inilah
masanya untuk Zahid memulakan langkahnya sebagai jihad paling besar
dalam karier politiknya. Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam
kerajaan serta Menteri Dalam Negeri dan kiranya Najib dapat diyakinkan
bahawa beliau tidak dikenakan tindakan undang-undang selepas berundur
serta sepupunya, Hishammuddin akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri
selepas itu, kesepakatan mungkin lebih mudah dicapai.
Lagi
pun ketakutan Najib sehingga beliau memecat Muhyiddin ialah kerana
tiada jaminan dirinya dapat bersara dengan aman kiranya meletakkan
jawatan. Melantik Zahid pula mungkin sebahagian perancangan Najib untuk
memudahkannya berundur dengan selesa, sambil memberi laluan kepada
Hishammuddin.
Berbanding
tidak melakukan apa-apa, malah terus meminta rakyat dan ahli UMNO
menyokong Najib setelah bala RM2.6 bilion ini, ia hanya akan menyebabkan
Zahid turut dibenci dan kemungkinan karam sekali dalam pilihanraya
nanti.
Jika
ingin berjihad, menyelamatkan UMNO, memulihkan negara dan menjadi
pemimpin Perak pertama sebagai Perdana Menteri, ketika isu RM2.6 bilion
tengah panas inilah waktu yang sesuai bagi Zahid memulakan langkah
pertamanya.
1 ulasan:
Setuju .... bukti2 semua dah ada .... cuma Zahid perlu ketengahkan sahaja dan ambil tindakan ...
Catat Ulasan