HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Ogos 2015

Umno Pontian: pelihara martabat Muhyiddin

MALAYSIAKINI




 
 
 
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat timbalannya mencalarkan kredibiliti Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Ketua Umno Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad.

Bagaimanapun katanya, status Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno harus tetap dipertahankan kerana beliau dipilih oleh suara akar umbi.

“Tindakan perdana menteri mencalarkan kredibiliti Tan Sri Muhhiddin.

“Kita akan terus angkat martabat dia dan pelihara martabat dia supaya dia jadi pemimpin yang dihormati dan disegani,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lalu Najib menggugurkan Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan ditukarkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari Kementerian Kewangan.

Kata Hasni lagi, Najib sebelum ini berkata sebagai pemimpin, mereka harus memahami budaya yang berlaku dalam negara dan masyarakat boleh melihat apa yang terjadi serta bertindak pantas.

Ahli rasa kecewa

Mengulas lanjut, Hasni berkata, apa yang disuarakan Muhyiddin sebelum pemecatannya bukanlah kesalahan kerana setiap orang berhak menyatakan pendapat masing-masing.

Ia, katanya, tidak boleh dilihat sebagai cara menggugat Najib dan Umno.

Ketika ditanya mengapa Najib bertindak mengetepikan timbalannya, Hasni berkata, mungkin perdana menteri melihat tidak ada persefahaman.

Sementara itu Ketua Umno Simpang Renggam, Datuk Abd Hamid Abd Rahman berkata beliau harus menunggu bermesyuarat terlebih dahulu bagi mengetahui suara akar umbi.

Katanya lagi, terdapat ahli Umno kawasan itu yang melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Najib namun beliau selaku ketua kawasan itu harus mendengar suara majoriti.

“Kita akur pada keputusan parti dan berpegang pada pemimpin sahaja. Keputusan perhubungan untuk buat rombakan itu kuasa mereka. Kita harap masalah boleh diselesaikan.

“Ada sebahagian ahli yang kecewa namun kita ambil kira suara majoriti. Kita perlu buat mesyuarat agung dan selepas itu kita tahu suara akar umbi,” katanya.

Semalam Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin tampil dengan gesaan supaya pembaharuan dibuat dalam Umno, termasuk meminta ahl parti bersuara terhadap amalan rasuah.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan Umno untuk bangsa dan parti dan bukan kepentingan peribadi.

Khaled antara pemimpin Umno Johor yang dilihat berani bersuara selepas Muhyiddin digugurkan.

Sementara itu, Bekas Ketua Umno Kluang Datuk Gapar Gurrohu mengulas lanjut kenyataan Khaled yang dilihat menjurus kepada Najib yang menyingkirkan Muhyiddin berkata: "Johor berasa kecewa dan terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh Najib. Apa yang dikatakan menteri besar (Khaled) itu, faham sendirilah. Siapa yang makan cili terasa pedasnya,” katanya.

Malaysiakini menghubungi ketua bahagian Umno di Johor bagi mendapatkan reaksi mereka namun tidak semua menjawab panggilan telefon atau enggan memberi komen. 
 
 
 

Tiada ulasan: