Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik mendakwa Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali sedang menggunakan kuasanya sebagai Menteri Besar Selangor
dalam menentukan agihan kerusi DUN negeri itu.
Edwin Michael Muniandy malah menganggap, Timbalan Presiden PKR itu mahu
membuktikan bahawa diri serta partinya yang berkuasa dalam menentukan
kerusi-kerusi tersebut sehingga sanggup mengenepikan pendirian rakan
parti komponennya yang lain.
"Apabila Azmin keluarkan kenyataan bahawa 80% agihan kerusi sudah
dibuat dan sebagainya, itu menunjukkan siapa sebenarnya yang berkuasa
dalam konteks Selangor buat masa sekarang.
"Harus dilihat Azmin sebagai Menteri Besar (Selangor) mungkin dia
melihat bahawa dia mempunyai kuasa atau autonomi atau 'status-quo' untuk
menentukan agihan kerusi.
"Ini bukan tentang Amanah atau DAP tetapi lebih kepada PKR, dan PKR ini
pula siapa yang mendominasi dan siapa yang mengeluarkan kenyataan itu,
dia adalah Azmin dan saya lihat Azmin membuat kenyataan ini atas
kapasiti bukan sebagai Timbalan Presiden PKR tetapi atas kapasiti
sebagai Menteri Besar Selangor," katanya ketika dihubungi Antarapos hari
ini.
Semalam, Azmin bertegas tiada jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan
seperti yang diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa
hari lalu.
Menurut Azmin, hanya nama jawatakuasa iaitu 'Jawatankuasa Pilihan Raya
Negeri Selangor’ akan ditukar kepada ‘Jawatankuasa Pengagihan Kerusi’
disamping mengekalkan ahli jawatankuasa yang sama.
Malah Azmin yang juga timbalan presiden PKR menegaskan jawatankuasa itu
telah bertemu sebanyak empat kali untuk membincangkan rundingan kerusi
dan 80 peratus kerusi telah dimuktamadkan.
Beliau kemudian turut menyelar rakan parti komponennya, Amanah dengan
berkata parti itu berbohong kerana mendakwa rundingan kerusi ditunda
sebelum ini.
Mengulas lanjut, Edwin turut meluahkan rasa 'pelik' apabila tiada
sebarang kenyataan balas dikeluarkan oleh PPBM sehingga ke hari ini
berhubung isu berkenaan.
Ujarnya, pendekatan yang diambil PPBM ketika ini secara tidak langsung
menunjukkan bahawa parti itu sedang bersekongkol dengan Azmin dalam
usaha untuk memuktamadkan perihal agihan kerusi di Selangor sesama
mereka sahaja.
"Saya sebenarnya menjangkakan mungkin ada kenyataan daripada PPBM bila
isu ini timbul, namun tidak ada sampai sekarang ini kenyataan daripada
PPBM terutamanya Rais Hussin iaitu Pengarah Strategik PPBM.
"Saya percaya mungkin Azmin dan PPBM berpakat untuk menetapkan agihan
kerusi di Selangor dan mungkin dalam konteks ini DAP dan Amanah tidak
dilibatkan langsung," ujarnya lagi.
Rundingan kerusi PH di Selangor dilaporkan menemui jalan buntu ekoran
perbezaan pendapat di antara PKR dan tiga lagi parti komponen di dalam
gabungan itu.
Amanah, DAP dan PPBM dikatakan enggan membuat rundingan kerusi dalam
jawatankuasa pilihanraya negeri Selangor dan kemudian menggesa suatu
jawatankuasa lain dibentuk.
Menurut ketiga-tiga parti itu, jawatankuasa pilihanraya negeri yang
dipengerusikan ADUN Sri Andalas daripada PKR, Dr Xavier Jayakumar tidak
mempunyai mandat bagi merundingkan kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan