PETALING JAYA: Amanah menyuarakan keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Tampin dan Jelebu kerana mendakwa tiada kawasan di Negeri Sembilan yang merupakan kubu kuat Umno.
Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata, keyakinan itu disuarakan berdasarkan sokongan rakyat, selain Pakatan Harapan (PH) berjaya menembusi semua kawasan di negeri berkenaan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Dan kita tengok semua tempat ada peluang untuk menang.
“Kita rasa untuk Tampin dan Jelebu ini kalau tak ada penipuan, berlaku dengan adil dan (jentera Amanah) menjalankan tugas dengan baik, insya Allah boleh menang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Pada PRU13, BN memenangi 5 daripada 8 kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, manakala baki 2 kerusi dimenangi DAP (Rasah dan Seremban) serta satu lagi kerusi Teluk Kemang menjadi milik PKR.
Calon BN, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Tampin buat penggal ke-4, selepas memperoleh majoriti 11,162 undi mengalahkan calon PAS Abdul Razakek Abdul Rahim yang memperoleh 18,228 undi.
Bagi kawasan Jelebu pula, BN memenangi kerusi itu menerusi Datuk Zainudin Ismail dengan majoriti 7,101 undi. Beliau mendapat 22,114 undi berbanding Raj Munni Sabu daripada PAS yang memperoleh 15,013 undi.
Bagaimanapun, kerusi itu kosong sejak Zainudin meninggal dunia akibat ketumbuhan otak pada 6 Disember lalu.
Ahad lalu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi Konvensyen PH Negeri Sembilan mengumumkan setiap parti dalam gabungan pembangkang itu diperuntukkan 2 kerusi Parlimen.
PPBM akan bertanding di Kuala Pilah dan Jempol; Amanah di Tampin dan Jelebu; DAP di Seremban dan Rasah, manakala PKR di Rembau dan Teluk Kemang.
Zulkefly berkata, Amanah tidak gentar dengan majoriti besar yang dimenangi calon BN di Jempol dan Tampin pada PRU13.
“Kita mampu buat perubahan sebab kesedaran itu sudah ada pada rakyat dengan wujudnya orang masuk Pakatan Harapan sekarang ini…dengan isu Felda yang tak dapat diselesaikan.”
Katanya, jika berlaku pertandingan 3 penjuru, pengundi akan memilih BN atau PH.
“Hanya segelintir sahaja akan pilih PAS. Parti yang tak ada gabungan akan tercicir.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan