PASIR PUTEH: Kegembiraan sebuah keluarga menikmati cuti sempena Tahun
Baru Cina bertukar pilu apabila empat daripada mereka ditemukan mati
lemas manakala seorang lagi masih hilang ketika sedang mandi-manda di
Pantai Tok Bali, jam 10.50 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba
Azhar Elmi Mustofar berkata keempat-empat mangsa yang lemas dikenal
pasti sebagai Yazul Bahari Yakob, 46, dan anaknya Yasmin Nor Aliza, 10,
dari Serdang, Selangor, adik Yazul Bahari, Yusnina Yakob, 38, dari Tanah
Merah dan anak saudara mereka, adik Zufika Suhaimi, 10, dari Semenyih,
Selangor.
“Mayat kesemua empat mangsa ditemukan pada pukul 11.15 pagi dan kami
sedang menjalankan operasi mengesan Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5,
iaitu adik Zufika yang masih belum ditemui,” katanya dipetik Bernama,
Beliau berkata mayat tiga mangsa dijumpai anggota bomba dan seorang
lagi dijumpai oleh orang awam tidak jauh dari tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat.
Beliau berkata 10 anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II
Jaafar Jusin bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik
menerima panggilan pada 10.34 pagi.
Katanya pihaknya kini meneruskan usaha mengesan Khaizuran Waliyuddin
dengan bantuan pelbagai pihak termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam
(APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan