HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Februari 2018

Kenyataan Azmin Sahkan Tiada Kerjasama PAS & PKR Dalam PRU14 – ADUN Bangi

 



Kenyataan terbaharu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di akhbar Cina Nanyang Siang Pau mengesahkan tiada kerjasama politik lagi antara PKR dengan PAS dalam PRU 14, kata ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah.

Mohd Shafie yang juga Yang Dipertua PAS Serdang berkata keputusan Azmin itu bukan mengejutkan, malah sudah dijangka sejak dari awal lagi.

“Saya percaya tiada kerjasama dalam PRU14 nanti antara PAS dan PKR. Ia seperti yang diputuskan PAS Selangor dan PAS Pusat.

“Hubungan dan kerjasama yang ada hari ini adalah untuk urusan berkerajaan sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azmin di Nanyang Siang Pau yang memberitahu bahawa PKR tidak akan menjalin kerjasama dengan PAS pada PRU14 walaupun sebelum ini beliau sudah lama bertolak ansur dengan PAS dan sudah bersabar seboleh mungkin.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu turut menafikan ada melakukan rundingan mengenai kerja pra-pilihan raya dengan parti Islam itu untuk pembahagian kerusi pilihan raya di Selangor.

Pada Mac tahun lalu, Mohd Shafie yang ketika itu berjawatan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor merupakan tokoh yang lantang bersuara meminta agar PAS pusat tidak memutuskan hubungan dengan PKR dengan mengambil kira faktor Selangor.

“Kita serah kepada pusat, tetapi mengikut perkembangan yang baik di Selangor ini, pusat juga wajar mempertimbangkan keadaan hubungan yang baik di Selangor.

“Kalau tidak boleh buat satu pengurusan yang menyeluruh untuk Malaysia, minta satu pertimbangan yang wajar kepada Selangor saja pun sudah memadai,” katanya kepada Antarapos.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: