HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Februari 2018

Perkasa terkejut, dukacita kehadiran diplomat Israel

Manzaidi Mohd Amin
Sirajuddin Salleh


KUALA LUMPUR – Berita kehadiran diplomat lsrael ke Kuala Lumpur memeranjatkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan seluruh rakyat Malaysia khususnya masyarakat  lslam.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh, berita itu amat mendukacitakan kerana selama ini Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan lsrael, malah terkenal sebagai negara lslam yang lantang menentang rejim zionis, selain kuat membela negara dan rakyat Palestin.

“Malaysia selama ini, sama ada kerajaan atau NGO, menentang lsrael kerana kezalimannya merampas bumi Palestin, membunuh dan menyeksa rakyatnya sejak 1948 lagi. Pada Malaysia, bumi suci Baitulmuqaddis adalah ibu negara Palestin.

“Ia mesti dipertahankan walau apa cara sekali pun. Malah Oslo Accord 1993 Juga telah membuat ketetapan bahawa Baitulmuqaddis adalah ibu kota Palestin dan Malaysia selama ini terkenal di mata dunia sebagai negara lslam yang menuntut supaya lsrael keluar dari bumi Palestin yang dikuasai sejak perang 1967, selaras Resolusi 242 dan 338 Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dengan kehadiran diplomat Israel itu sudah pasti membawa erti kerajaan Malaysia membuat pusingan 360 darjah ke arah mengiktiraf rejim zionis, merelakan perampasan bumi Palestin, pembunuhan dan kezaliman ke atas rakyat Palestin.

Ini kata Sirajuddin, sekali gus pendirian Malaysia menggambarkan kerajaan meninggalkan Palestin dan rakyatnya.

“Sia-sialah segala usaha dan pengorbanan kita selama ini, sekali gus juga kredibiliti Malaysia yang selama ini dipandang tinggi oleh negara Islam pasti punah. Lebih teruk dari itu masyarakat Islam negara ini amat marah dan kecewa kerana musuh utama Islam mula mendapat tempat di hati kerajaan.

“Persoalannya apakah ada kuasa-kuasa tertentu dari luar dan dalam negeri yang mengugut kerajaan lantaran negara sedang berhadapan dengan pebagai masalah besar khususnya dalam menghadapi kegetiran PRU14 yang dianggap ibu segala pilihan raya.

“Perkasa tidak percaya kehadiran diplomat Israel ini sebagai suatu kebetulan atau terlepas pandang oleh mana-mana pihak,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, atas kejadian itu, Perkasa menuntut supaya perkara itu berhenti serta merta dan tidak berulang lagi.

lni katanya, bukan soalan diplomasi semata-mata, tetapi soal agama dan kerajaan juga digesa meminta maaf kepada seluruh masyarakat Islam serta memberi penjelasan terperinci mengenai perkara itu secepat mungkin. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: