Zawawi berkata, jika sebelum tertubuhnya Malaysia baru, rakyat sering dimomokkan dengan agenda parti pemerintah terdahulu bahawa rakyat khususnya Melayu-Islam akan hancur tanpa Umno.
Namun kini kata Zawawi, meskipun Umno telah kalah, kedudukan Melayu-Islam masih lagi terancam dengan melalui apa yang disifatkannya sebagai “projek pembodohan orang Melayu “.
“(Kalau dulu) projek pembodohan orang Melayu yang paling tragis dalam sejarah apabila Melayu diperbodohkan bahawa kalau tidak ada parti XYZ (Umno) ini tadi habislah orang Melayu di negara ini.
“Tetapi kini kata-kata orang bahawa habislah kita (Melayu-Islam) bila bukan Islam jadi ketua hakim negara atau peguam negara adalah projek terbaru (memperbodohkan Melayu-Islam) yang hanya sekadar retorik untuk menakut-nakutkan orang Melayu,” katanya pada majlis dialog Townhall berjudul “Polemik Melayu Islam di Malaysia Baharu,” di Petaling Jaya, hari ini.
'Melayu luar bandar dicengkam ketakutan'
Zawawi mendakwa melalui projek pembodohan itu jugalah yang menyebabkan masih ramai Melayu-Islam dicengkam ketakutan, khususnya mereka yang berada di luar bandar.
“Jadi 'makcik-makcik Kiah' di kampung-kampung ini tadi yang ketakutan terus percaya mereka ini kalau tidak ada parti itu tadi makan ubi kayulah kita, maka terpaksalah mereka percaya.
“Ini projek pembodohan orang Melayu sehingga kalau penceramah kata lembu boleh terbang pun orang akan percaya sebab dah tak boleh fikir mana betul dan mana salah,” katanya.
Sedangkan, kata Zawawi golongan bukan Islam telah lama diangkat menjadi pentadbir ketika zaman Uthmaniyah.
“Kerajaan Uthamaniyah sebelum ini melantik menteri-menteri daripada kalangan bukan Islam kerana kepakaran, kebolehan dan kelayakan mereka dalam bidang tertentu,” kata Zawawi yang tidak menyebut lanjut nama-nama menteri berkenaan.
Untuk rekod, undang-undang Uthmaniyah meletakkan orang Kristian dan Yahudi sebagai kafir zimmi (dilindungi).
Kembali kepada Perlembagaan Persekutuan
Menurut Zawawi lagi, rakyat hari ini tidak lagi perlu bimbang mengenai kedudukan Melayu-Islam yang sememangnya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, tegas beliau yang juga bekas yang dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor rakyat harus kembali kepada perlembagaan.
“Dalam Perlembagaan Negara jelas menyebut bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan apabila ia telah dicatatkan dalam perlembagaan maka ia tidak sewenang-wenangnya hendak diubah dengan dua, tiga orang pakar.
“Tidak boleh, kerana ia akan melalui proses yang sangat panjang, perdebatan yang sangat panjang dan mendalam, bukan mudah untuk meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.
“Bagi saya bagaimana untuk kita memartabatkan Melayu-Islam di bawah HARAPAN adalah kita harus kembali kepada Perlembagaan Negara.
“Jadi sekarang ini (adalah) bagaimana kita nak mempotretkan Islam itu sebagai agama yang mensejahterakan seluruh rakyat, tidak kira Islam atau tidak agar tetap mendapat pembelaan dan hak-hak mereka,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis dialog Townhall itu ialah Ketua Biro Pendidikan Pemuda BERSATU dan juga Exco ARMADA Nasional (MALAYSIA), Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Bagaimanapun, Nik Omar Nik Aziz, calon HARAPAN bagi DUN Chempaka, Kelantan pada PRU 14 lalu, yang turut menjadi panelis tidak dapat hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan