ULASAN | Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) mungkin dibatalkan seakan mimpi buruk untuk seluruh penduduk Kelantan dan Pantai Timur.
Kalaupun projek zaman Datuk Seri Najib Razak ini mempunyai sejuta masalah dan ketirisan, namun hasrat bekas perdana menteri itu sedikit memberi rasa gembira kepada rakyat Kelantan dan Pantai Timur.
Kami diberi harapan bahawa kami tidak lagi diabaikan.
Tinggal kini ada satu lagi berita harapan kepada rakyat Kelantan iaitu projek lebuh raya Center Spin Road (CSR).
Dalam persidangan pertama Dewan Rakyat baru-baru ini saya sudah bangkitkan bahawa projek ini wajib dipercepatkan. Pakej atau fasa pembinaan perlu berjalan serentak.
Projek yang sepatutnya bermula awal 1990-an ketika Rancangan Malaysia kelima ini tertangguh sehingga kini. Perlu diingatkan, pengumuman projek ini dibuat ketika zaman Perdana Menteri keempat, yang kini kembali menjadi Perdana ketujuh.
Setakat ini hanya pakej B1 (Pasir Hor-Kadok) saja yang baru siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum.
Ketika musim cuti perayaan jalan Kota Bharu-Kuala Krai memang terlalu sesak. Jika awal cuti pengguna yang melalui jalan menghala ke Kota Bharu akan ‘make jem’ (makan jam).
Pengumuman perdana menteri berkaitan ECRL dibatalkan sepatutnya digantikan dengan pengumuman lain yang lebih menggembirakan, iaitu mempercepatkan pembinaan lebuh raya ini.
Baca: Saifuddin: Status ECRL bergantung rundingan pihak swasta terlibat
Penduduk Kelantan akan lebih berterima kasih jika ia menjadi keutamaan kerajaan.
Mungkin pendekatan lebih lunak perdana menteri ketujuh sikit sebanyak boleh membuatkan kami melupakan penderaan terhadap Kelantan oleh perdana menteri keempat dulu.
Apakah penderaan ini masih berkait rapat dengan keputusan penduduk Kelantan kekal memilih PAS? Walhal kita semua melaung dan mengagungkan prinsip demokrasi?
Dalam masa yang sama rakyat Kelantan juga adalah pembayar cukai.
Seperti firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. (Surat An-Nahl ayat 90)
*ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN adalah anggota parlimen Kuala Krai dan Yang Dipertua PAS Kuala Krai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan