Kementerian Sumber Manusia berkemungkinan mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi melindungi kepentingan semua pihak termasuk golongan pekerja dan majikan di negara ini.
Menterinya, M Kulasegaran berkata ketika ini perbincangan sedang dilakukan dan draf menyeluruh berkaitan kajian semula akta itu dijangka siap sepenuhnya minggu hadapan.
Selain itu, beliau berkata kementeriannya juga bercadang menambah lapan perkara baharu dalam akta berkenaan agar sesuai dengan situasi pekerjaan di negara ini.
"Lapan perkara baharu dalam akta itu juga dalam proses untuk dibaca semula kerana ada beberapa akta itu tidak sesuai selain tidak menepati keperluan pekerjaan pada masa ini.
"Kita masih di peringkat perbincangan dengan pemegang yang berkepentingan dalam industri pekerjaan, kesatuan pekerja, pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang boleh menyumbang input kepada penambahbaikan akta ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Kerjaya Untuk Golongan Kelainan Upaya (OKU) di Ipoh, hari ini.
Program sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Sultan Idris Shah dan Persatuan DayBreak dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.
Mengenai program hari ini, Kulasegaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata ia sesuatu yang sangat baik dan pihaknya berharap golongan OKU diberi ruang serta peluang untuk bersama-sama membangunkan ekonomi negara.
Pada masa sama, beliau berharap golongan OKU tidak berasa terpinggir seterusnya memajukan diri setaraf individu normal.
“Kerajaan memuji langkah majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU, ia satu langkah yang baik kerana kita tidak boleh meminggirkan golongan OKU dalam mengupayakan diri mereka," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan