HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Ogos 2018

Hadi setuju perjanjian ECRL, SSER perlu 'diperbetul'

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kerumitan isu berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek saliran paip Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Jelas Abdul Hadi, meskipun projek berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat di Pantai Timur dari segi ekonomi, "perjanjian yang tidak menyenangkan" berhubung projek itu perlu diperbetulkan.

"Kita kena sedar bahawa projek itu untuk kemudahan (rakyat dan negeri) Pantai Timur dari segi ekonominya dan Malaysia pun ke arah jalan segera untuk dihidupkan semula.

"Tetapi di sana ada perjanjian-perjanjian yang tidak menyenangkan, itu yang perlu diperbetulkan dan terserah kepada majlis perundingan dan kerajaan pusat," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi mengakui bahawa tidak mudah untuk kerajaan persekutuan membuat keputusan berhubung perkara itu kerana terdapat perjanjian antarabangsa yang perlu dihormati.

“Tindakan untuk membatalkan (projek ECRL) tidak mudah kerana ada perjanjian yang telah dimeterai dan ada perjanjian antarabangsa yang perlu dihormati.

"Mungkin akan alami banyak masalah sama ada dibatalkan atau diteruskan, tetapi kita perlu melihat mana yang terbaik,” katanya.

Pada sidang media pada akhir lawatan lima harinya ke China, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan menangguhkan kedua-dua projek itu.

Dr Mahathir berkata projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar, dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara dengan jumlah hutang yang tinggi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, pada 24 Ogos lalu, Dr Mahathir dilapor berkata kerajaan masih mengkaji sama ada mahu terus menunda, membatalkan atau meneruskan projek ERCL tanpa perbelanjaan wang yang banyak.


Tiada ulasan: