PRK BALAKONG | Keadaan pembangkang yang lemah pada masa ini adalah punca mengapa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh memungkiri janji dan merancang untuk mewujudkan rancangan untuk satu lagi kereta nasional baru, kata Naib Pengerusi Wanita MCA Datuk Ong Chong Swen.
Beliau yang juga senator berkata, sejak mendapat kuasa kerajaan telah gagal menunaikan banyak janji PRU ke-14 dengan menjadikan hutang negara sebagai alasan.
"Ironinya, mereka merancang untuk mewujudkan kereta nasional ketiga! Mengapa ia menjadi keutamaan jika negara menanggung hutang yang besar?
"Pernah tertanya-tanya mengapa kerajaan boleh memungkiri janji, pada masa sama membuat rancangan kereta nasional yang dibenci rakyat?
"Kerana tiada pembangkang yang kuat untuk memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini bagi menyokong calon MCA PRK Balakong, Tan Chee Teong.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat sebelum ini bahawa projek yang akan dilancarkan menjelang 2020 akan melibatkan dana swasta, bukannya rakyat.
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong kemudian menggesa kerajaan berjanji ia tidak akan 'bail-out' projek itu, seperti Proton pada masa lalu.
Jurang besar
Berhubung DUN Selangor, Ong berkata jurang antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang terlalu besar.
HARAPAN memegang 51 kerusi DUN. Baki empat kerusi diduduki BN dan satu oleh PAS.
"Apabila parti pemerintah terlalu kuat dan pembangkang terlalu lemah, ia tidak baik untuk pemantauan dalam DUN," katanya lagi.
Katanya, kemenangan untuk DAP di PRK Balakong tidak akan mengubah apa-apa, sebaliknya kemenangan MCA bermakna menambah seorang lagi pemantau dalam dewan undangan negeri.
PRK Balakong diadakan selepas kematian bekas ADUN Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu.
Ia diadakan serentak dengan PRK Seri Setia - juga dalam DUN Selangor - pada 8 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan